Apa hak peniaga sekiranya mereka dikasari atau penguatkuasa menggunakan kekerasan sewaktu rampasan gerai atau premis perniagaan?

Dua hari lepas ada dimuat naik di sosial media tentang tindakan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang melanggar Food Truck dan menggunakan cara kasar sewaktu rampasan Food Truck. Boleh tonton melalui video ini.
Saya sendiri tidak mengetahui hujung pangkal video ini, jadi saya tidak mahu komen siapa salah siapa betul kerana saya tidak tahu punca kejadian sehingga berlaku rempuhan dan kekasaran itu.
Ada juga kes yang dilaporkan yang melibatkan kekecohan dan kekerasan oleh penguatkuasa sewaktu menjalankan rampasan terhadap peniaga dan juga peniaga terhadap penguatkuasa. Yang nyata tiada siapa-siapa pun yang boleh mengatasi undang-undang, tidak kiralah penguatkuasa atau peniaga.
Sebelum saya menulis lanjut berkenaan hak peniaga. Pertama, kita perlu tahu dahulu apakah undang-undang yang mengawal atau digunapakai oleh Majlis Tempatan. Undang-undang yang digunapakai oleh setiap Majlis Tempatan adalah undang-undang kecil.
Apa itu Undang-undang Kecil? Undang-undang ini bukan dibuat melalui Parlimen atau Dewan Undangan Negeri. Undang-undang Kecil ini hanya boleh dibuat dengan kuasa yang diberikan oleh Akta Parlimen. Contoh undang-undang kecil seperti gambar ini.

Lihat di perenggan atas yang saya gariskan merah “Pada menjalankan kuasa-kuasa yang diberikan oleh…” itu adalah kuasa yang diberikan dalam Akta Parlimen.
Undang-undang kecil ini boleh dibuat oleh kementerian atau Majlis Tempatan dengan kuasa yang diberikan Akta yang relevan. Setiap majlis undang-undang kecil Majlis Tempatan adalah berbeza mengikut negeri. Anda boleh semak undang-undang kecil yang digunakan oleh Majlis Tempatan berdasarkan laman web masing-masing seperti dalam gambar ini.

Kenapa anda perlu tahu tentang undang-undang kecil ini? Sebab anda perlu tahu apa hak anda dalam setiap undang-undang. Contoh ada undang-undang kecil berkenaan kedai potong rambut, penjualan daging, tandas awam, penjaja dan lain-lain. Pendek kata undang-undang ini lebih terperinci dan lebih kepada tatacacara, amalan, lesen, kuasa penguatkuasa dan lain-lain. Jadi perlu tahu, apa peruntukkan bagi setiap jenis undang-undang.
Kalau tidak tahu penguatkuasa datang buat rampasan atau semakan berdasarkan undang-undang kecil yang mana? Bagaimana hendak tahu kita melakukan kesalahan apa? Contoh dalam gambar ini, Undang-undang Kecil Pengimport Daging, Majlis Perbandaran Pulau Pinang 1977, ada dinyatakan kuasa untuk masuk dan menyita oleh Majlis.

Jadi dalam setiap undang-undang kecil ini ada dinyatakan apa garis panduan yang perlu dipatuhi. Bagi peniaga yang menghadapi situsi rampasan ini, sila tanya rampasan dan tindakan diambil bawah undang-undang yang mana. Contohnya dalam kes dakwaan kekerasan dan rampasan oleh MPPP di Padang Kota saya percaya adalah berdasarkan Undang-undang Kecil Penjaja, 1979 MPPP seperti gambar di bawah.

Berdasarkan undang-undang ini terdapat garis panduan yang perlu dipatuhi oleh peniaga-peniaga seperti Seksyen 20 memperuntukkan bahawa setiap penjaja perlu memperoleh lesen perniagaan dan mematuhi Undang-undang Kecil ini. Seksyen 21 pula memperuntukkan tentang kuasa penguatkuasa yang membenarkan penguatkuasa merampas barangan milik peniaga yang tidak berlesen.
Merujuk kepada baris bawah Seksyen 21 tersebut “…yang adalah kepunyaaan atau dimiliki oleh seseorang yang tidak berlesen untuk menjalankan perniagaan sebagai penjaja dibawah undang-undang ini boleh dirampas oleh Pegawai Kesihatan atau mana-mana pegawai yang diberikuasa secara bertulis oleh Majlis dan dipindahkan serta ditahan ditempat sedemikian sepertimana yang ditentukan oleh Majlis atau risiko pemilik”

Namun tidak dinyatakan dimana-mana dalam Undang-undang kecil ini bahawa penguatkuasa berhak untuk memusnahkan, merosakkan harta benda atau merobohkan harta benda sewaktu rampasan. Cuma MPPP berhak untuk melupuskan barangan-barangan yang telah dirampas dan tidak dituntut oleh pemilik selepas 3 bulan selaras dengan Seksyen 22. Tiada kuasa yang diberikan kepada Majlis Tempatan untuk memusnahkan atau merosakkan sewaktu rampasan. Oleh yang demikian tindakan penguatkuasa adalah salah dan wajar diambil tindakan.
Peniaga atau penjaja mempunyai hak untuk menuntut ganti rugi ke atas segala kerosakan yang dialami serta kerugian bagi tindakan penguatkuasa yang gagal mematuhi kaedah rampasan sebenar yang diperuntukkan oleh Undang-Undang Kecil tersebut.
Peniaga tersebut boleh membuat satu laporan polis akibat berkenaan tindakan penguatkuasa. Kemudian, peniaga buat anggaran kerugian seperti nilai kerosakan. Bagi menuntut nilai kerugian ini peniaga boleh memfailkan saman terhadap majlis tempatan di mahkamah.

Malaysia ini ada undang-undang kes tuntutan ganti rugi terhadap kerajaan, PDRM dan badan-badan lain turut dilaporkan di mahkamah dan mendapat ganti rugi sewajarnya.
Misalnya dalam kes Suzana Md Aris v. DSP Ishak Hussain & Ors [2011] 1 CLJ 226. Dalam kes ini, suami kepada Plaintif telah rebah dan mati setelah muntah darah, sewaktu dalam tahanan polis. Mahkamah mendapati bahawa terdapat kecuaian oleh pihak polis untuk mengambil langkah-langkah penjagaan yang wajar sewaktu si mati dalam tahanan polis. Oleh yang demikian Mahkamah membenarkan ganti rugi melebihi RM1,300,000.00++ bagi kesemua jenis ganti rugi yang dituntut.

Tidak kiralah siapa pun, tiada siapa yang ‘above the law’ berdasarkan undang-undang.
DISCLAIMER
Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia. Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet . Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.
Leave a Reply