
Bayangkan kalau berlaku jenayah di kawasan kejiranan kita. Kita kenal benar pelakunya dan dia telah mencederakan seseorang kerana hilang sabar. Betapa kita tahu perlakuannya itu adalah sangat merbahaya.
Tiba-tiba dia yang ditahan polis kerana kesalahan menyerang dibebaskan serta-merta atas alasan mental.
Bayangkan pula selepas dibebaskan kita boleh lihat suspek berjalan-jalan berkeliaran di kawasan kejiranan kita.
Secara jujurnya, saya tidak akan mendekati dan merasakan dia mungkin ancaman kerana masalah mentalnya dan kerana dia pernah melakukan jenayah. Jadi wajarkah suspek dibebaskan?
Banyak kes serangan terhadap mangsa atau si mati yang dilaporkan di Malaysia kerana si pelaku menghadapi masalah mental tetapi kebiasaannya pelaku ini terus ditahan dan diasingkan dari masyarakat.
Dua tiga hari ini masyarakat kita terkejut dengan kes seorang doktor yang memukul bekas isterinya dan bekas ayah mentuanya sehingga cedera dan berdarah.

Berdasarkan susunan cerita di media sosial, mangsa mengakui terpaksa menggunakan langkah viral kerana segala laporan polis yang dibuat dan juga perintah sekatan di mahkamah tidak mendapat keadilan.
Masyarakat tertanya-tanya adakah benar mangsa dan keluarganya tidak memperoleh keadilan yang sewajarnya? Kenapa tiada tangkapan terhadap pelaku yang dianggap kejam dan merbahaya ini? Di mana silapnya sistem perlaksanaan kita? Soalan-soalan ini riuh ditanyakan dalam ruang komen media sosial yang berkongsi kes ini.
Pihak polis kemudian tampil menerangkan situasi sebenar Ketua Polis Daerah Sungai Buloh berkata “Kertas siasatan kes sudah 95 peratus lengkap cuma kita masih menunggu laporan perubatan suspek daripada pihak hospital”-dipetik dari Sinar Harian.
Persoalannya kenapa suspek tidak terus ditahan tetapi dibenarkan bebas sementara menunggu siasatan selesai? Dan kenapa pertuduhan mahkamah tidak disegerakan?
Dibawah Kanun Acara Jenayah, Seksyen 29 memperuntukkan bahawa seorang suspek yang ditahan boleh dibebaskan dengan jaminan dengan Perintah Majistret atau oleh polis yang kuasanya tidak rendah dari seorang Inspektor.

Jadi memang benar polis dibenarkan melepaskan dengan jaminan dan segala kerja siasatan dan kertas kerja masih diteruskan walaupun suspek dibebaskan secara jamin.
Melepaskan suspek atas jaminan tidak bermakna kes ditutup terus. Dalam tempoh jaminan ini suspek perlu memenuhi syarat-syarat jamin sekiranya ada, contohnya melaporkan diri atau apa sahaja.
Kenapa suspek tidak ditahan dan dilepaskan secara jamin? Suspek kan bahaya?
Benar. Tetapi sekiranya pihak polis perlu mengambil masa untuk membuat kertas siasatan dan tempoh reman yang dibenarkan bagi kesalahan tersebut contohnya maksimum 7 hari manakala siasatan memakan masa 2 minggu. Maka, suspek terpaksa dilepaskan kerana adalah menjadi kesalahan menahan suspek melebihi tempoh seminggu semata-mata menunggu siasatan selesai.
Selepas suspek didakwa semula di mahkamah selepas siasatan selesai, suspek masih boleh meminta dibebaskan dengan jaminan dari mahkamah sekiranya suspek kes ini didakwa bawah Seskyen 324 (kesalahan yang boleh dijamin)

Berkenaan dengan laporan perubatan. Sebenarnya kes ini boleh diteruskan dengan siasatan dan diikuti terus dengan dakwaan ke mahkamah tanpa melengahkan masa. Bermakna selepas laporan dibuat, suspek ditahan dan didakwa di mahkamah.
Ada juga keadaan kes di mana bukti diketengahkan kemudian walaupun kes dah dibawa ke mahkamah contohnya laporan kimia dan laporan lain. Selagi mana elemen jenayah itu sudah jelas disabitkan berdasarkan elemen sesuatu Sekyen, suspek boleh terus didakwa. Bukti-bukti lain boleh datang terkemudian. Tidak perlu tunggu-tunggu sehingga kes sudah jadi serius.
Berkenaan laporan perubatan, ianya adalah pembelaan dan akan digunakan oleh suspek di mahkamah. Jadi laporan tersebut tidak perlu ditunggu diperingkat ini sehingga menyebabkan suspek dilepaskan. Beban membuktikan ini lebih kepada suspek.
Semoga kes ini mendapat keadilan segera.
DISCLAIMER
Tulisan ini di tulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.
Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet . Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.