Gagal hadir mahkamah kerana disaman adakah polis akan datang ke tempat tinggal anda atau bekerja? Ramai yang tidak ambil serius perkara ini. Saman dalam konteks di atas merujuk kepada saman-saman yang dikeluarkan oleh pihak polis, saman JPJ, saman Kementerian Kesihatan, saman LHDN, saman kastam dan saman daripada pihak berkuasa tempatan atau mana-mana jabatan dan agensi penguatkuasaan dan bukan merujuk kepada saman sivil untuk tuntutan wang atau gantirugi.

Kadangkala kita ini tak tahu pun rupanya ada saman yang dikeluarkan terhadap kita, mungkin kerana sudah bertukar alamat atau atas sebab-sebab lain. Akibat tidak ke mahkamah untuk pendengaran saman maka waran tangkap dikeluarkan. Selalu berlaku orang awam mendakwa tidak menerima saman, sehingga tiba-tiba waran tangkap dikemukakan.

Tahukah anda bahawa adalah menjadi tanggungjawab anda sendiri untuk mengemaskini perubahan alamat tempat tinggal di dalam daftar kad pengenalan atau jabatan yang berkaitan (JPJ misalnya) supaya serahan saman dapat dilakukan ke alamat terkini dan tempat di mana anda bermastautin? Situasi yang paling kerap berlaku di mahkamah adalah pemilik kenderaan menerima waran tangkap atas kesalahan yang dilakukan oleh orang lain yang memandu atau menunggang kenderaan milik mereka.

Ini berlaku kerana terdapat juga saman yang dihantar bukan sahaja kepada orang yang melakukan kesalahan, tetapi dikeluarkan juga kepada pemilik berdaftar kenderaan tersebut berdasarkan daftar JPJ. Sebagai contoh kesalahan lesen kenderaan motor tamat tempoh, membenarkan pemandu yang tiada lesen memandu atau pemandu bawah umur 16 tahun membawa kenderaan milik anda. Kesalahan-kesalahan ini membawa kesan berantai bukan saja kepada pemandu tetapi kepada pemilik juga.

Kebanyakannya tidak sedar saman dikenakan ke atas mereka sehinggalah waran tangkap dikeluarkan. Oleh itu hati-hati dalam membenarkan kenderaan anda digunakan oleh orang lain walaupun ahli keluarga sendiri.

Mungkin juga kerana gagal bayar kompaun, kita disaman ke mahkamah dan kita tidak hadir ke mahkamah sehingga menyebabkan waran tangkap dikeluarkan. Ini boleh terjadi sekiranya sebelum ini anda menerima nota dari posmen untuk mengambil surat berdaftar di pejabat pos berdekatan tetapi anda mengabaikan permintaan itu.

Oleh yang demikian, jangan ambil mudah sekiranya menerima kad pos berdaftar daripada pihak Poslaju. Kesannya di masa akan datang pasti akan lebih menyusahkan anda. Jadi apa akibat sekiranya waran tangkap dikeluarkan terhadap anda, anda terus diburu polis di rumah dan di tempat kerja? Tidak sebenarnya.

Prosesnya adalah nama anda akan dimasukkan dalam data polis dan ditandakan sebagai individu yang mempunyai waran tangkap. Bila ada nama ini, anda seolah-olah disenarai hitamkan. Sila ambil maklum sekiranya waran tangkap telah dikeluarkan polis mempunyai hak penuh untuk menahan anda di mana-mana sahaja sekiranya anda dikesan.

Waran tangkap ini adalah perintah mahkamah kerana perbuatan anda yang gagal hadir ke mahkamah. Waran tangkap ini kekal sehingga dibatalkan oleh mahkamah, atau sehingga penama tersebut meninggal dunia. Jangka hayatnya lama bukan? Kebiasaannya penahanan atau tangkapan dibuat sewaktu anda ditahan sewaktu sekatan jalan raya selepas semakan terhadap anda atau mungkin sewaktu di lapangan terbang hendak keluar negara, sewaktu nama anda disemak.

Sekiranya anda ditahan dan ditangkap, tindakan polis yang selanjutnya adalah menahan dan mengemukakan anda ke mahkamah pada hari berikutnya untuk dituduh atau tindakan lain yang berkaitan.

Sekiranya anda enggan mengaku salah atau mempunyai dokumen untuk membuktikan sebaliknya, anda masih boleh memohon untuk dibicarakan. Pendek kata anda masih boleh memohon untuk menjalani proses perbicaraan yang teratur. Mahkamah atas budi bicara mempunyai kuasa untuk membatalkan waran tangkap terhadap anda dan menggantikannya dengan suatu jaminan untuk memastikan kehadiran anda ke mahkamah sehingga kes anda selesai.

Zaman sekarang ini ramai yang ambil mudah akan kesan saman yang dikeluarkan oleh pihak penguatkuasaan, lebih-lebih lagi atas kesalahan yang kedengaran ringan dan remeh. Stigma ini harus dihentikan.

Saman atas kesalahan membuang puntung rokok merata-rata atau merokok di kawasan larangan juga boleh menjadi penyebab anda bermalam di lokap. Setiap saman yang dikeluarkan dan gagal dipatuhi mempunyai kesan yang sama di bawah Kanun Tatacara Jenayah. Jadi, sila ambil maklum bahawa kesan mengabaikan saman sehingga keluar perintah waran tangkap adalah sesuatu yang serius.

Menghadapi situasi ditahan dan dibawa ke mahkamah adalah sangat membimbangkan dan sudah pastinya menjadi igauan ngeri sesiapa saja. Oleh itu sentiasalah peka terhadap saman yang dikeluarkan dan selesaikan segera.

DISCLAIMER
Tulisan ini di tulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia. Tulisan ini saya kongsikan juga dari amalan di mahkamah dan pandangan pegawai di mahkamah.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet . Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

Leave a comment

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: