Apa yang perlu kita lakukan sekiranya kita adalah mangsa fitnah viral?
Bila bergaduh atau ada rasa tidak puas hati dengan kita, tiba-tiba pihak sana muat naik satu status tentang kita. Habis diburukkan pasal kita di media sosial. Ada pula rakan-rakannya yang tukang back up sampai sama-sama menyumpah seranah kita di ruang komen. Habis rosak reputasi dan nama baik kita!
Banyak anak guam saya yang melalui situasi ini dan merasa tertekan. Kalau kita bukan mangsa keadaan, kita tidak faham situasinya. Ada yang sampai tidak tenang dan tidak boleh tidur malam apabila nama mereka diburukkan dan diviralkan. Anda boleh menuntut bagi ganti rugi sekiranya nama anda difitnah dan dimalukan di hadapan pihak ketiga atau lebih dasyat lagi lebih diviralkan.
Tuntutan saman fitnah begini boleh mencecah nilai puluhan atau ratusan ribu ringgit. Malahan ada juga kes yang berprofil tinggi sehingga jutaan ringgit.
Anda sebagai mangsa juga boleh meneruskan dengan tindakan saman fitnah di mahkamah. Apa langkah-langkah yang boleh diambil oleh kita sebagai mangsa fitnah di media sosial atau internet?
1. Bertindak segera.
Jangan tunggu lama-lama. Sebaik sahaja tulisan dimuat naik terus screenshot. Simpan segala bukti yang ada sebelum dipadamkan. Status fitnah dan memalukan ini biasa dipadamkan dalam beberapa hari mungkin kerana pelaku dinasihatkan oleh pihak lain untuk memadamkan.

Sebab: Kalau dipadamkan, anda sudah tidak ada bukti untuk menyokong dakwaan anda dan berkemungkinan melemahkan kes. Bukti utama kes fitnah adalah tulisan fitnah, kalau tak ada kes kurang kuat atau mungkin mengurangkan jumlah ganti rugi.
2. Screenshot bukti-bukti penting.
Screenshot penyataan fitnah sebagai bukti bahawa terdapat kenyataan yang memburukkan anda.
Screenshot senarai jumlah ‘like’, jumlah ‘share’ dan segala komen-komen pembaca yang berbentuk marah, kebencian, perli atau apa sahaja yang berbaur negatif. Malahan, sekiranya anda menerima mesej persendirian dari individu lain berbentuk kebencian akibat komen tersebut, sila screenshot. Ini juga boleh dijadikan bukti kerana reaksi masyarakat terhadap tulisan viral tersebut adalah bukti bagaimana penerimaan masyarakat.
Screenshot profil pelaku yang menunjukkan senarai rakan, senarai follower.

Sebab: Berapa jumlah ‘like’ atau ‘share’ bagi status yang muat naik adalah bukti berapa banyak orang telah membaca dan kongsi status itu. Sekaligus menunjukkan setakat mana cerita buruk tentang anda telah disebarkan.
Profil pelaku menunjukkan siapa identiti pelaku untuk kita ambil tindakan. Berapa jumlah kawannya dalam media sosial menunjukkan berkemungkinan berapa jumlah pembaca.
Status kebencian menunjukkan bahawa tulisan si pelaku telah berjaya menimbulkan kebencian serta rasa marah oleh orang awam.

Ini semua boleh menjadi pemfaktoran untuk menaikkan jumlah tuntutan ganti rugi saman malu.

3. Buat laporan polis.
Selepas lengkap simpan bukti-bukti ini, lebih elok jika dapat ‘save’ dalam komputer kerana sekiranya telefon anda hilang, sekurang-kurangnya anda ada ‘back up’. Buat laporan polis sebagai cover report.
4. Jumpa peguam untuk konsultansi guaman. Dapatkan pendapat peguam sama ada, bukti-bukti anda itu cukup untuk memulakan tindakan di mahkamah.

5. Peguam akan memulakan tindakan kebiasaannya melalui surat tuntutan bagi permohonan maaf, memadamkan status, akujanji tidak mengulangi dan ganti rugi. Sekiranya penulis enggan berbuat demikian di peringkat ini, anda boleh meneruskan saman sehingga ke mahkamah bagi satu tuntutan ganti rugi dan membersihkan semula nama anda.
Sekiranya atas faktor kos, anda tidak dapat meneruskan langkah 4 dan 5 di atas, apa yang anda boleh lakukan adalah simpan semua bukti dan hubungi pelaku. Minta dia padamkan status tersebut jika gagal anda teruskan dengan tindakan undang-undang. Jika dia enggan, anda simpan bukti-bukti tersebut kerana anda mempunyai masa 6 tahun untuk memulakan tindakan saman berdasarkan Akta Had Masa 1953.
Sebaiknya status fitnah itu dipadam segera supaya reputasi dan nama baik anda tidak terus tercemar sepanjang status itu berada di media sosial. Berhati-hati sewaktu anda menulis, jangan kerana tulisan badan binasa.
Sekian. Semoga memberi manfaat.
Topik-topik fitnah yang berkaitan:
DISCLAIMER:
Tulisan ini di tulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.
Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet . Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.