
Sejak saya berkongsi tulisan saya Mangsa Fitnah Viral. Apa yang perlu anda lakukan? Banyak yang berkongsi kes-kes mereka yang menjadi mangsa melalui messenger saya. Sama ada tulisan memalukan tersebut diletakkan dalam post atau melalui komen atau melalui review.
Dalam banyak-banyak perkongsian ini, saya teliti ada yang berbentuk fitnah atau memalukan yang boleh diambil tindakan. Ada juga yang salah faham dan salah tafsir tulisan tersebut sebenarnya tidak berbentuk fitnah.
Tulisan bagaimana yang dikategorikan fitnah? Supaya kita ini tidak tersalah tafsir. Berikut adalah elemen-elemennya:-
1. Perkataan secara lisan atau tulisan tersebut tidak benar atau memalukan seseorang. Sekiranya perkataan tersebut adalah fitnah, maka anda boleh saman.
PERLU DIINGATKAN sekiranya perkataan tidak berbentuk fitnah tetapi memalukan juga boleh disaman terutama merujuk kepada tulisan menyentuh kepada maruah seorang wanita (Seksyen 4 Akta Fitnah 1957) dan tulisan yang memalukan dan/atau menjatuhkan reputasi, kedudukan, perniagaan, profesion atau pangkat seseorang (Seksyen 5 Akta Fitnah 1957)
2. Perkataan secara lisan atau tulisan tersebut, disebarkan dan/atau disampaikan kepada pihak ketiga. Bermaksud tulisan dan perkataan tersebut dibaca oleh orang lain sehingga menyebabkan malu dan jatuh reputasi.
3. Perkataan secara lisan atau tulisan tersebut, merosakkan repustasi, nama baik dan kredibiliti dan mengakibatkan kerugian.
Jadi sekiranya, ada tulisan yang memberi komen seperti “Maaf saya rasa servis tidak memuaskan dan boleh diperbaiki lagi” dalam ruangan review itu bukanlah memalukan atau fitnah atau komen-komen yang merupakan ulasan saksama contohnya seperti “saya kurang berminat dengan produk ini” juga tidak boleh diambil tindakan.
Ulasan saksama dalam Seksyen 9 adalah pembelaan sebab kita bebas memberikan ulasan yang adil dan bukan berniat hendak mengajak orang membenci atau boikot. Malahan ulasan saksama juga tidak boleh mengandungi niat jahat.
Melainkan tulisannya begini “Saya kurang berminat dengan produk ini kerana pemilik produk sombong dan kaki tipu”. Perkataan begini boleh diambil tindakan. Kerana terdapat elemen memalukan.
Sekiranya tulisan atau perkataan digunakan adalah tersirat. Tidak dinyatakan namanya dan tidak jelas penceritaannya ini dipanggil ‘innuendo’ tetapi sekiranya cukup 3 elemen di atas, maka mangsa boleh mengambil tindakan sekiranya pihak ketiga atau orang awam tahu tulisan atau perkataan tersebut disampaikan kepada siapa.
Berdasarkan Seksyen 2 interpretasi Akta Fitnah perkataan membawa maksud gambar, gerak laku dan apa sahaja yang boleh memberi makna. Jadi berhati-hati bukan sahaja tulisan, perkataan malahan gambar atau perlakuan juga boleh menyebabkan tindakan diambil terhadap anda.
Topik-topik fitnah yang berkaitan:
DISCLAIMER:
Tulisan ini di tulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.
Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.