Kadangkala bila nasib tak baik, polis atau penguatkuasa yang lain datang ke premis perniagaan kita mengeledah barangan dan merampas barangan perniagaan kita atau mungkin telefon atau mungkin komputer kita. Jadi ilmu ini penting untuk kita tahu.

Waran tangkap TPA

Ramai yang salah faham tentang isu waran tangkap dan/atau waran geledah ini kerana ramai yang sangkakan kalau polis atau pihak berkuasa hendak buat tangkapan wajib ada waran. Sebenarnya, tidak semestinya ada.

Sebelum saya terangkan lebih jauh. Pertama sekali, saya terangkan setiap satu jenis waran ini.

Waran tangkap adalah perintah menahan seseorang bagi satu kesalahan dan mengemukakan individu tersebut ke mahkamah bagi menjawab pertuduhan atau kesalahan.Waran geledah adalah perintah untuk memasuki, mengeledah dan merampas barangan yang dirasakan relevan dengan kes.

Waran geledah-TPA

Secara asasnya untuk menahan dan menangkap atau mengeledah memang memerlukan waran seperti yang diperuntukkan dalam Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) tetapi KTJ juga turut memberikan pengecualian bagi pihak polis menjalankan kerja-kerja penangkapan dan mengeledah.

Bawah Seksyen 23 KTJ, pihak polis dibenarkan untuk menahan tanpa waran. Antara elemen yang perlu dipenuhi adalah oleh polis untuk menangkap suspek tanpa waran adalah polis menerima maklumat yang kredibel berkenaan sesuatu jenayah oleh suspek dan juga polis mengesyaki secara munasabah suspek melakukan jenayah. Jadi polis perlu membuat tangkapan segera.

S 23 KTJ

Contohnya polis mengesyaki suspek adalah orang yang menyerang dan mencederakan seseorang dalam satu rusuhan. Maklumat ini sah, bahawa suspek memang melakukan jenayah. Kalau hendak tunggu waran tangkap dikeluarkan, akan ambil masa. Polis perlu bertindak segera sebelum suspek melarikan diri. Begitu juga bagi jenayah lain.

Bawah Seksyen 62 KTJ, pihak polis dibenarkan untuk mengeledah dan merampas tanpa waran. Antara elemen yang perlu dipenuhi adalah sekiranya polis percaya bahawa dengan mendapatkan waran geladah akan melambatkan masa dan menyebabkan barang jenayah tersebut sempat disembunyikan. Maka, polis yang berpangkat tidak rendah dari Inspektor boleh mengeladah tanpa waran.

S 62 KTJ

Sekiranya elemen ini gagal dipenuhi dan polis masuk dan membuat pengeledahan polis boleh didakwa menceroboh dan perlu membayar ganti rugi.

Merujuk kepada kes HASNI ABAS v. KETUA POLIS NEGARA [2010] 10 CLJ 141, pihak polis menerima maklumat terdapat kereta KIA Sportage yang dicuri disimpan dalam rumah Plaintif. Polis telah memanjat rumah tersebut tanpa waran geledah.  Plaintif mendakwa tindakan polis adalah salah dan sepatutnya polis mendapatkan waran geledah. Akibat tindakan polis tersebut, Plaintif menuntut RM1,464 bagi menggantikan pagar dan membaiki pagar. 

Diakhir kes Mahkamah memutuskan bahawa tindakan polis ada selaras dengan Seksyen 62 KTJ dan dibaca dengan Seksyen 20 Akta polis (iaitu senarai tugas am polis).

Jadi jelas ya, ada keadaan yang perlukan waran dan ada yang tidak. Sekiranya ada merasakan anda telah ditahan atau digeledah secara salah, anda boleh membuat laporan polis sebagai cover report sebagai bantahan. Kemudian diikuti dengan saman sivil.

Di post lain saya akan terangkan pula tentang tahanan reman (reman bukan hukuman pemenjaraan tetapi adalah proses tahanan untuk siasatan) dan berapa lama seseorang boleh ditahan reman?

DISCLAIMER:

Tulisan ini di tulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: