Keputusan Inkues Muhammad Adib bin Mohd Kassim

Sumber dari Bernama, keputusan berkenaan inkues Muhammad Adib Bin Mohd Kassim, kematian Adib adalah disebabkan perbuatan jenayah dilakukan lebih dua individu tidak dikenali.

Bermakna hasil dapatan inkues adalah akibat perbuatan jenayah dan bukan kemalangan seperti ada yang didengar-dengar sebelum ini.

Jadi sekali lagi saya nyatakan bahawa inkues kematian bukanlah jatuh hukum kepada pelaku tetapi untuk mengetahui punca kematian. Masih ada prosiding jenayah selepas ini.

“Inkues bukanlah satu perbicaraan jenayah. Tidak ada pertuduhan, tidak ada pendakwaan mahupun pembelaan. Dalam erti kata lain, tiada tertuduh yang dibicarakan oleh mahkamah”- Perenggan 14, Dalam Perkara Inkues Terhadap Kematian Chandran Perumal; Si Mati Mahkamah Khas Koroner, Kuala Lumpur.

Laporan mahkamah kes Chandran Perumal ini adalah rujukan yang sangat baik jika ingin tahu berkenaan prosiding inkues, beban pembuktian dan prosedur inkues. Dalam kes ini, Chandran ditemui mati dalam sel, sewaktu dalam tahanan polis.

“Dia dijumpai mati di selnya pada 10 September 2012. Bedah siasat mendedahkan bahawa kematian si mati adalah akibat sakit jantung hipertensi. Laporan bedah siasat juga menunjukkan perutnya kosong kerana si mati tidak makan apa-apa dan mengambil apa-apa ubat. Terdapat juga tanda-tanda kecederaan pada mayat si mati. Dalam inkues yang dijalankan atas kematian si mati, koroner memutuskan kematian si mati adalah akibat kecuaian, peninggalan dan keabaian tugas oleh pihak polis”

-Petikan fakta kes dalam kes yang dilaporkan [2018] 8 CLJ 529, iaitu kes tuntutan kematian oleh pentadbir pusakan si mati.

Sekiranya berlaku kematian yang disyaki terdapat elemen unlawful (Seksyen 329 Kanun Tatacara Jenayah), siasatan akan dimulakan oleh polis. Sekiranya berdasarkan siasatan polis mendapati kematian adalah disebabkan bukan sebab semulajadi atau unsur jenayah, polis akan mengaturkan bagi post-mortem mayat tersebut dengan pegawai perubatan kerajaan berdekatan (Seksyen 330 KTJ).

Selanjutnya pegawai perubatan kerajaan akan menyediakan satu laporan berdasarkan post-mortem (Seksyen 332 KTJ) dan menyerahkan kepada Majistret laporan (Seksyen 333, KTJ).

Seksyen 337 KTJ, menyatakan adalah tugas koroner untuk memastikan:

a) Bila si mati meninggal dunia/mati?

b) Di mana si mati meninggal dunia/mati?

c) Bagaimana si mati meninggal dunia/mati?

d) Si mati mati di dalam apa cara?

e) Adakah sesiapa bertanggungjawab secara jenayah berkenaan kematian si mati?

– Perenggan 4, Laporan Inkues Chandran Perumal.

Inilah antara perkara-perkara yang perlu dititik beratkan oleh mahkamah sewaktu memutuskan laporan kematian dalam inkues. Banyak elemen-elemennya. Jadi, sewaktu inkues masih belum ada pertuduhan.

Dalam kes Chandran Perumal ini, selepas memperolehi laporan inkues, ahli keluarga menyaman akibat kecuaian, peninggalan dan keabaian tugas oleh pihak polis. Ahli keluarga berjaya mendapat pampasan.

Jadi berdasarkan laporan inkues kes Adib, sah bahawa kematiannya akibat perbuatan jenayah. Polis akan membuat siasatan lanjut untuk mengenal pasti siapa pelakunya kerana disahkan bahawa kematiannya disebabkan oleh kelakuan jenayah sama ada membunuh dengan niat atau mungkin tanpa niat atau mungkin akibat kecuaian.

Tanpa siasatan dan tangkapan mengenal pasti si pelaku serta keterangan saksi sewaktu siasatan, maka pelaku akan lepas bebas tanpa dihukum dan ini sangat tidak adil kepada arwah Adib dan ahli keluarganya. Siasat dan bawa si pelaku ke muka pengadilan.

Saya doakan semoga keadilan terhadap arwah diperolehi dan arwah serta ahli keluarga mendapat pembelaan dan keadilan sewajarnya. Takziah kepada ahli keluarga dan semoga terus bertabah.

DISCLAIMER:

Tulisan ini di tulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: