Selepas pihak polis mengeluarkan kenyataan berkenaan peguam yang diburu kerana penyelewengan wang bernilai RM30.4 juta. Ada yang bertanya senarai tersebut. Boleh lihat keratan akhbar link 21 peguam yang di buru polis tersebut.

Mungkin ramai yang tidak mengambil endah berkenaan isu ini kerana tanggapan bukan semua akan menggunakan khidmat peguam. Jangan salah anggap, kemungkinan setiap dari kita menggunakan khidmat peguam adalah tinggi. Terutama bagi transaksi jual beli rumah. Adalah mustahil untuk kita mengendalikan kes jual beli rumah atas kapasiti sendiri tanpa melantik peguam.
Penyelewengan bagaimana agaknya yang boleh dilakukan oleh 21 peguam ini? Bagi yang mengenali sebahagian senarai itu, mungkin mereka tahu jenis kesalahan sebahagian peguam tersebut. Salah satu contohnya adalah penyelewengan wang anak guam dalam akaun pelanggan.

Untuk makluman bagi setiap firma guaman yang mengendalikan kes conveyancing (segala urusan berkaitan jual beli hartanah atau penukaran yang milik) terdapat dua akaun yang wajib dibuka oleh firma tersebut iaitu akaun pejabat dan akaun pelanggan.
Akaun pejabat adalah akaun yang menyimpan pendapatan firma melalui bayaran yuran guaman. Untuk fahaman mudah, dalam akaun ini adalah duit firma. Pendapatan ini adalah membayar kos overhead pejabat setiap bulan dan gaji atau apa sahaja untuk kegunaan pejabat. Manakala akaun pelanggan iaitu wang yang dipegang oleh peguam sebagai pemegang amanah (stakeholder) bagi pihak pelanggan.
Antara contoh wang amanah ialah apabila pelanggan ingin membeli rumah dan pelanggan ingin membuat bayaran deposit 10% kepada penjual wang ini selalunya dibayar dan dipegang dalam akaun pelanggan firma guaman sebelum dipindahkan kepada penjual. Kemudian selepas pinjaman bank diluluskan, wang tersebut akan dimasukkan oleh bank ke akaun pelanggan firma guaman sebagai stakeholder selepas semua terma-terma dipatuhi sebelum dipindahkan kepada penjual.
Kenapa peguam perlu bertindak sebagai stakeholder kerana peguam perlu memastikan segala prosedur, transaksi, terma-terma telah dipatuhi oleh pihak-pihak dan segala nilai terhutang oleh mana-mana pihak telah dibayar. Contohnya penjual telah membayar cukai pintu atau segala bil tertunggak. Tanpa praktis ini memang sukar apabila pembeli mendapati rumah yang dibelinya mempunyai pelbagai tunggakan.
Jadi oleh kerana peguam-peguam juga bertindak sebagai pemegang amanah bagi wang anak guam yang mungkin mencecah ratusan ribu atau jutaan ribu bagi setiap transaksi. Maka wajarlah anda melakukan semakan wajar atau due diligence terhadap peguam-peguam sebelum melantik mereka. Saya kesal kerana kes-kes penyelewengan yang dilaporkan begini benar-benar memberi impak yang buruk kepada profesion guaman yang memang sebelum ini sering disalahanggap sedangkan banyak firma-firma yang mencari makan secara jujur.

Ada sebahagian penyelewengan yang dilakukan bukan oleh peguam tetapi bekas peguam. Semalam NST memetik kenyataan Presiden Majlis Peguam Datuk Abdul Fareed Abdul Gafoor memaklumkan bahawa 21 nama tersebut tidak boleh dipangggil peguam kerana sijil pempraktisan mereka telah ditarik oleh Lembaga Tatatertib Majlis Peguam.
Memetik kata-kata Presiden Majlis Peguam “The police have every right to release their identities if they are being sought after for investigations, after they could not be reached, just like any criminal case.
“As for the public, they need to take the initiative to investigate and check on the background of any lawyers appointed to represent them.

Sila ambil maklum, setiap peguam perlu memperbaharui sijil pempraktisan (lesen) mereka setiap tahun. Sekiranya terdapat salah laku berat atau akaun pelanggan mereka gagal diaudit atau didapati ada aktiviti mencurigakan sijil pempraktisan tidak akan diperbaharui oleh Majlis Peguam.
Carilah peguam yang berdaftar dan mempunyai sijil pempraktisan yang sah sekiranya anda ingin melantik peguam. Sila ambil maklum sebarang dokumen yang ditandatangan atas kapasiti peguam seperti dokumen-dokumen transaksi jual beli rumah tetapi peguam tersebut adalah tidak berdaftar dan mempunyai sijil pempraktisan yang sah, maka dokumen tersebut boleh dipertikaikan.
Anda boleh semak nama-nama peguam ini berdaftar dan mempunyai sijil pempraktisan di laman Web Majlis Peguam Malaysia.
Bagaimana cara menyemak nama-nama peguam ini berdaftar dan mempunyai sijil pempraktisan yang sah:
Langkah 1
Buka laman web Majlis Peguam Malaysia

Langkah 2
Lihat dibahagian atas ada perkataan Directories

Langkah 3
Tekan Find A Lawyer

Langkah 4
Letak nama Peguam dan tekan search.

Langkah 5
Selepas nama tertera tekan di nama tersebut dan segala butiran berkaitan peguam tersebut akan tertera contohnya tahun mula diterima sebagai peguamcara dan peguambela, universiti, alamat firma, nombor telefon dan butiran-butiran lain.

Jangan salah anggap tulisan saya ini untuk promosi diri sendiri atau apa. Apa yang saya ajarkan adalah cara untuk rujuk ribuan nama peguam yang ada dalam Malaysian Bar. Tidak semestinya saya. Carilah mana-mana peguam yang berkenan di hati atau bersesuaian dengan tempat anda.
Sila ambil maklum sekiranya nama tidak tertera dalam laman web tersebut berkemungkinan besar peguam yang dicari tidak berdaftar atau sijil pempraktisan masih belum diperolehi. Berhati-hati dalam sebarang transaksi.
Selain dari itu, sekiranya anda masih rasa curiga cuba semak latar belakang dengan bertanyakan pada rakan-rakan yang lain mungkin berpengalaman atau anda boleh buat carian diinternet sekiranya ada sabitan atau kes-kes tertentu, carian begini akan tertera diinternet.
Tidak kiralah sama ada anda ingin melantik bakal peguam anda, bakal rakan niaga, bakal joint venture, melantik konsultan syarikat. Sentiasa amalkan praktis semak latar belakang kerana ada sebahagian mereka ini akan kita amanahkan dengan wang atau kita mendedahkan kerahsiaan syarikat. Bahaya jika tidak berhati-hati.
DISCLAIMER:
Tulisan ini di tulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.
Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.