Suspek Wan Amirah, mangsa kes langgar lari di Cyberjaya telah ditangkap. Soalannya bolehkah suspek dihukum gantung sampai mati kerana menyebabkan kematian kepada mangsa kemalangan?

Selalu saya ditanya soalan ini, kenapa si pelaku tidak boleh dihukum gantung sampai mati kerana kesalahan membunuh akibat melanggar mangsa sehingga mati. Bukan sahaja si pelaku meragut nyawa tetapi juga menyebabkan kehilangan kepada ahli keluarga. Mengapa mangsa dan keluarga tidak mendapat keadilan sewajarnya?
Kalau yang pernah menonton video kemalangan tersebut pasti tidak puas hati sekiranya si pelaku hanya dihukum penjara sahaja atas perbuatannya menyebabkan kematian. Tambah pula dalam kes Wan Amirah, dikatakan bahawa semua berlaku kerana si pelaku marah tidak dapat meletakkan kereta ditempat letak kereta. Kerana hendak menunjukkan rasa marah, dia reverse ke belakang dan dia menekan minyak secara melulu dan merempuh kereta dihadapan serta arwah Wan Amirah Wan Alias. Semuanya hanya kerana kebodohan memuaskan nafus marah. Kemudian melarikan diri. Perbuatan begini sungguh pengecut.
Jadi kalau ikutkan fakta kes, saya sendiri berpendapat tidak adil dengan hanya hukuman ringan. Melihat video tersebut, saya rasakan hukuman penjara 2 atau 3 tahun sahaja. Si pelaku perlu dihukum dengan hukuman yang setimpal! Supaya jadi pengajaran kepada yang lain-lain juga.


Tetapi undang-undang tidak memperuntukkan begitu. Bagi kes-kes kemalangan yang pemandunya tidak mempunyai niat membunuh secara melanggar akan didakwa di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Tidak mempunyai niat membunuh bermaksud, bukanlah si pemandu dengan niat keluar dari rumah untuk membunuh dengan melanggar seseorang tetapi kematian tersebut berlaku akibat pemanduan dan/atau kecuaian pemandu.
Kenapa didakwa di bawah seksyen 41 APJ dan bukan Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) iaitu hukuman bunuh bagi kesalahan membunuh? Bukankah si pelaku telah meragut nyawa?
Bagi dihukum bunuh dibawah Sesyen 302 seseorang itu perlu mempunyai niat membunuh dan memenuhi elemen jenayah bunuh. Contoh anda tahu dengan menikam seseorang akan mengakibatkan kematian, jadi dari awal anda susah mula membawa pisau, mengatur rancangan, menikam sehingga mati dan menyembunyikan mayat (atau mungkin tidak sembunyikan mayat, tetapi jelas anda ingin menamatkan nyawa mangsa). Maka cukuplah elemen jenayah dibawah seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Berbeza dengan melanggar seseorang sehingga mati. Anda keluar rumah, niat hendak pergi kerja, kemudian telanggar kanak-kanak melintas sewaktu hendak ke sekolah dan malangnya kanak-kanak tersebut meninggal dunia. Maka itu bukanlah satu jenayah bunuh dibawah Seksyen 320 KK dan ianya adalah kesalahan memandu secara bahaya sehingga menyebabkan kematian Seksyen 41 APJ yang dihukum minimum penjara 2 tahun dan maksimum 10 tahun DAN denda minimum RM5,000.00 dan tidak lebih dari RM20,000.00. WAJIB PENJARA sekurang-kurangnya 2 tahun. Lesen juga akan ditarik dan digantung.

Andai kata masih diteruskan dakwaan terhadap si pelaku dibawah 302 KK. Apa yang akan berlaku? Maka si pelaku akan ke mahkamah diwakili peguamnya dan peguam akan membela si pelaku dengan menyatakan pelaku tidak ada niat membunuh dan dakwaan membunuh adalah tidak berasas. Selepas meneliti segala bukti-bukti dan keterangan, maka mahkamah berpendapat memang tidak ada niat membunuh tetapi pemanduan secara bahaya. Berkemungkinan si pelaku akan dibebaskan kerana tidak sesuai bagi kesalahan membunuh. Lagi tidak adil!!! Sudahlah menyebabkan kematian, bebas pula!
Saya faham, kalau anda kata ini tidak adil. Hukum dunia, undang-undang manusia. Benar! Tidak tergambar perasaan kehilangan yang tersayang. Tetapi setakat di dunia ini, undang-undang manusia inilah yang boleh menyumbat si pesalah yang ini ke dalam penjara kerana dan dihukum dari bebas lepas. Untuk setiap perbuatan jahat, insyallah akan dibalas dengan setimpal ‘di sana’ kelak. Sama-sama kita doakan si pelaku mendapat balasan di dunia dan akhirat.

Juga kita doakan roh arwah ditempatkan dikalangan orang beriman. Amin. Takziah kepada ahli keluarga.
DISCLAIMER:
Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.
Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.