Kalau berlaku kemalangan di atas lebuhraya, akibat kecuaian lebuhraya, anda boleh menuntut jumlah ganti rugi 100% kepada highway tanpa membuat tuntutan insurans dan tanpa kehilangan NCB.

Kebiasaannya sewaktu musim perayaan atau cuti panjang, ramai yang memandu untuk pulang ke kampung atau bercuti. Jadi saya kongsikan kes kemalangan bagaimana yang boleh anda tuntut ganti rugi kemalangan dengan pihak highway secara 100%.
Sekiranya anda menggunakan lebuhraya dan tiba-tiba ada objek ditengah-tengah jalan raya. Anda cuba elak atau tidak sempat untuk dielak sehingga menyebabkan kemalangan dan kerosakan kepada kereta anda, anda sebenarnya boleh menuntut dari pihak lebuhraya.
Cara-caranya adalah seperti berikut:-

1) Bila berlaku kemalangan disebabkan kecuaian lebuhraya contohnya ada serpihan tayar lori, kotak, bangkai haiwan dan/atau sebarang objek asing yang sepatutnya menjadi tugas pekerja lebuhraya melakukan pembersihan atau pembaikian lebuhraya yang tidak mengikut aspek keselamatan.

2) Turun dari kenderaan anda. Catat waktu kemalangan. Catat arah laluan kemalangan contohnya di lebuhraya Karak dari arah Gombak menuju ke arah Kuantan. Catat kilometer kemalangan. Macam mana hendak tahu kilometer kemalangan? Cuba lihat dibesi-besi pembahagi jalan ada tag kecil kuning, ada nombor. Itulah dia.
3) Tangkap gambar kerosakkan kenderaan, tangkap gambar tempat kejadian, tangkap gambar kilometer kejadian, tangkap gambar objek yang dilanggar atau dielakkan, tangkap gambar papan tanda jalan (jika ada) atau apa sahaja gambar yang relevan.

4) Telefon hotline lebuhraya seperti nombor-nombor yang tertera telefon kecemasan di jalan raya atau boleh google untuk mendapatkan nombor. Laporkan tentang kemalangan. Jika dibantu oleh petugas lebuhraya, ambil nama petugas lebuhraya dan nombor pendaftaran kenderaan petugas lebuhraya.
5) Buat laporan polis berkaitan dengan kemalangan.

6) Pergi ke pejabat lebuhraya yang berdekatan seperti pejabat plus atau apa sahaja lebuhraya yang relevan, dapatkan borang tuntutan kemalangan akibat kecuaian lebuhraya. Lampirkan juga laporan polis berkenaan kemalangan. Isi segala butir-butir kemalangan.
7) Pihak lebuhraya akan menyemak segala butiran dengan memeriksa rakaman CCTV di lebuhraya. Itulah pentingnya maklumat yang anda berikan. Kalau salah arah atau kilometer, memang tak akan kelihatanlah kemalangan anda dalam CCTV kan?
8 ) Pihak lebuhraya akan menyiasat sama ada kecuaian akibat lebuhraya. Jika ya, mereka akan menanggung segala kos pembaikian. Jika kenderaan anda rosak atau musnah akibat kemalangan kerana kecuaian lebuhraya dan kenderaan anda turut menghentam pembahagi jalan atau lampu jalan, semua kos akan ditanggung lebuhraya.
TETAPI JIKA kemalangan akibat kecuaian anda sendiri seperti memotong di laluan kecemasan dan melanggar lampu jalan, jadi anda perlu menanggung kos pembaikian lampu jalan BUKAN PIHAK LEBUHRAYA.
9) Adalah menjadi tanggungjawab pihak lebuhraya untuk memantau setiap 45 minit kawasan lebuhraya dari sebarang objek yang menganggu lalu lintas (waktu pemantauan mungkin berbeza berdasarkan jarak sesuatu lebuhraya). Jadi sekiranya berdasarkan rakaman CCTV, mereka baru sahaja 10 minit mengalihkan objek asing dari lebuhraya kemudian ada objek asing lain jatuh di atas jalan raya dan anda mengelak hingga menyebabkan kemalangan. Ada kemungkinan tuntutan anda tidak dibenarkan. Jadi butiran kemalangan amat penting!

10) Hantar kenderaan anda untuk dibaiki terlebih dahulu dan anda perlu tanggung kos pembaikian terlebih dahulu. Kemudian lampirkan resit pembaikian serta gambar kerosakkan semasa kemalangan dan selepas pembaikian dan diserahkan kepada pejabat lebuhraya untuk dilampirkan bersama tuntutan yang telah dibuat sebelum ini. Segala laporan polis, resit-resit atau dokumen betul mesti salinan original.
Permohonan tuntutan perlu dihantar sebelum tempoh 2 bulan dari tarikh kemalangan.
11) Tunggu bayaran ganti rugi dari lebuhraya. Jika mereka lewat, buat follow up. Jika mereka enggan membayar 100% buat rayuan kerana mereka memang perlu menanggung kos tersebut dan ‘fight for your right’.

Tahukah anda terdapat banyak kes kemalangan akibat kecuaian lebuhraya yang tidak dituntut saban tahun, sedangkan peruntukkan itu memang disediakan oleh pihak lebuhraya. Perkongsian ini adalah dari pengalaman sahabat saya yang telah berjaya membuat tuntutan 100% untuk nilai kerosakkan ribuan ringgit dek kerana keretanya menghentam serpihan lori yang gagal dibersihkan oleh pihak lebuhraya. Dia minta saya kongsi. ‘Sharing is caring’ katanya.
Terdapat juga kes, pihak lebuhraya menolak tuntutan penuntut dan penuntut kemudiaanya menyaman lebuhraya. Boleh baca tulisan saya berkenaan kes Noor Ana Bt Bakri & 3 lagi lawan Projek Lebuhraya Usahasama Berhad & 1 lagi [2019] 5 LNS 19 mahkamah membenarkan tuntutan kehilangan tanggungan sebanyak RM 422,400.00 kepada anak dan isteri si mati dan tuntutan sebanyak RM 57,600.00 kepada bapa si mati.
DISCLAIMER:
Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.
Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.