Kisah anak guam sahabat saya, tentang seorang despatch part time yang membantu kerja-kerja majikannya di pejabat.
Pemuda despatch yang membantunya bekerja ini sedang bercuti sementara menyambung pelajarannya dalam bidang kejuruteraan. Oleh sebab tidak mahu membuang masa dan membuat duit tambahan, dia bantu sahabat saya. Jadi dia masuk pagi dan pulang tengahari.

Pada hari kejadian, sahabat saya meminta dia menghantar surat. Malang tidak berbau, motosikal ditunggangnya merempuh lori pasir. Kakinya cedera parah berderai pasir masuk ke dalam luka di kakinya. Doktor tidak dapat menyelamatkan kakinya yang parah dan tambah teruk bila ada pasir yang tidak dapat dibuang dari luka yang dalam itu.
Akhirnya, kaki pemuda ini dipotong dan tidak dapat diselamatkan. Dia masih tabah. Jenis yang kuat semangat. Ada yang melawatnya di hospital dan bertanya tentang pampasan Socso sekiranya ada.
Memandangkan dia bekerja hanya untuk sebulan dua, jadi majikan tidak mendaftar Socso untuknya. Walaupun sebenarnya Seksyen 5 Akta Keselamatan Pekerja 1969 mensyaratkan semua pekerja tanpa mengira jumlah gaji perlu diinsuranskan dengan Socso supaya dapat menuntut sebarang pampasan.
Dia tidak boleh menuntut kepada pemandu lori yang dilanggar kerana kejadian itu disebabkan oleh kecuaiannya sendiri. Dia juga tidak boleh tuntut pampasan dari Socso bagi bencana kerja selaras dengan Sekyen 2(6) Akta kerana dia tidak diinsuranskan.
Section 2 Definition
(6) “employment injury” means a personal injury to an employee caused by accident or an occupational disease arising out of and in the course of his employment in an industry to which this Act applies;

Walhal sekiranya dia berdaftar pasti dia boleh tuntut di bawah Seksyen 24 Akta yang sama iaitu kemalangan sewaktu dalam perjalanan kerja atau dalam tugasan. Sekurang-kurangnya ada pampasan untuk buat belanja perubatan atau kos-kos lain yang timbul.
Di bawah Seksyen 24 ini, kemalangan perjalanan kerja dan tugasan merangkumi perjalanan pergi ke tempat kerja, dalam tugasan bekerja (contohnya menghantar barangan atau mesyuarat atau apa sahaja yang relevan) dan perjalanan pulang bekerja.
Section 24 Accidents while travelling
(1) An accident happening to an insured person shall be deemed to arise out of and in the course of his employment if the accident happens while the insured person-
(a) is travelling on a route between his place of residence or stay and his place of work;
(b) is travelling on a journey made for any reason which is directly connected to his employment; or
(c) is travelling on a journey between his place of work and the place where he takes his meal during any authorized recess.
(2) If the accident under subsection (1) occurs during any interruption of, or deviation from, the insured person’s journey made for any of the purposes stipulated in the same subsection, the accident shall not be deemed to arise out of and in the course of his employment.

Pun begitu, bukanlah semua tuntutan dibenarkan. Sekiranya dapat dibuktikan anda bukan dalam perjalanan dari rumah anda ke tempat kerja contohnya anda dari rumah mentua dan kemalangan dalam perjalanan ke tempat kerja, berkemungkinan besar tuntutan anda akan ditolak.
Ini kerana, rumah mentua bukanlah laluan biasa ke tempat kerja oleh itu ianya tidak selaras dengan tuntutan Seksyen 24. Ini diputuskan dalam kes Ketua Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial lwn. Leong Ah Lee [2019] 1 LNS 367. Leong gagal memperolehi tuntutan kerana tidak memenuhi elemen di bawah Seksyen 24.
Leong adalah orang berinsurans dan Penyelia di syarikatnya. Waktu bekerja dari jam 8.00 pagi sehingga 5.00 petang. Pada 24.11.2017 jam lebih kurang 7.55 pagi, ketika sedang menaiki motosikal dalam perjalanan dari pasar ke rumah untuk menghantar barang dan mengambil beg kerja sebelum ke tempat kerja, beliau telah terlibat dalam satu kemalangan.
Akibat dari kemalangan itu, Leong mengalami kecederaan patah tulang dan luka-luka di badan. Leong mendapat cuti sakit 2 bulan lebih. Jadi Leong menuntut pampasan bagi bencana kerja dan di bawah Seksyen 24.

Namun demikian mahkamah berpendapat bahawa perjalanan Leong bukanlah ke tempat kerja tetapi dari pasar ke rumah sebelum ke tempat kerja. Oleh yang demikian Leong tidak berkelayakan.
Begitulah sedikit sebanyak tentang undang-undang Socso. Jadi kena betul-betul dalam perjalanan kerja atau dalam tugasan kerja. Ada juga kes dilaporkan yang mahkamah menyentuh kalau pekerja hendak pergi merokok dan berlaku kemalangan, walaupun berlaku pada jam bekerja itu bukanlah bencana kerja.
Tidak masuk pula kes yang memonteng dan kaki lencong kan?
Jadi moralnya:
1. Pastikan anda telah didaftarkan Socso oleh majikan supaya anda dapat pampasan sewajarnya. Nilainya tidak besar tetapi sangat bernilai sewaktu berlaku bencana.
2. Pastikan anda tidak ponteng atau melencong dalam sewaktu bekerja. Haha.
DISCLAIMER:
Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.
Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.