Disebabkan kes-kes depresi, murung atau kecenderungan mencederakan atau membunuh diri kerana tulisan-tulisan netizen di internet yang semakin menjadi-jadi.
Kementerian Kesihatan Malaysia telah memberi amaran bahawa bagi kesalahan Body Shaming ada undang-undang yang mengawal dan pesalah boleh disabitkan kesalahan.

Tujuannya untuk mengelakkan komen-komen jahat dengan menjadikan saiz dan penampilan seseorang sebagai bahan jenaka atau bahan pembulian
Body Shaming ini kalau dilihat dari segi istilah bermaksud memalukan bentuk dan saiz tubuh badan tetapi skopnya lebih luas bukanlah setakat saiz atau tubuh badan sahaja sebenarnya. Body– tubuh badan, termasuk warna kulit, rupa bentuk, keadaan wajah .
Jadi sekiranya ada yang menulis atau menghina seseorang tidak kiralah dalam ruangan status atau komen-komen seperti “Besar macam tong drum”, “Ini manusia ke lori?”, “Muka pecah rumah”, “Kurus macam penagih” atau “Gelap macam kuali”. Ini adalah Body Shaming dan boleh didakwa di bawah undang-undang.
Saya juga menyelar pelawak-pelawak dalam dunia hiburan untuk mengeluarkan idea-idea lawak yang berbentuk Body Shaming.

Lawak-lawak mereka sering menjadi ikutan golongan muda dan dianggap cool serta kelakar. Jadi tidak hairanlah, ramai remaja yang menggunakan bahan lawak Body Shaming ini sewaktu bergurau sesama teman-teman, pada mereka ini mungkin lawak Alaf Baru.
Modal lawak ini kadangkala sering digunakan oleh pelawak-pelawak di Malaysia. Beberapa tahun dahulu saya pernah menonton jenaka di hari raya “Ingatkan Myvi tadi, manusia rupanya”, lawak ini ditujukan kepada seorang lagi pelawak yang berbadan besar. Kemudian penonton ketawa berdekah-dekah.
Di sini, saya berpendapat, pelawak yang melabelkan orang gemuk sebagai kenderaan dan bukan seperti manusia adalah SALAH dan penonton yang ketawa juga salah kerana menggalakkan. Ini adalah perbuatan buli. Kerana galakkan inilah lawak Body Shaming makin menjadi-jadi.
Kerana itu juga, remaja-remaja atau peminat-peminat yang menjadikan pelawak-pelawak ini sebagai idola, mengikuti gaya lawak ini dengan membahan teman-teman disekeliling dan tambah teruk apabila ada galakkan dari orang keliling.
Body Shaming bukan jenaka. Body Shaming adalah penghinaan dan pembulian dan salah di sisi undang-undang!


Selaras dengan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia anda boleh didakwa di bawah Seksyen 233 (1) (a), Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, dll iaitu dengan mengeluarkan komen apa-apa komen berbentuk lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.
Hukumannya denda tidak melebihi RM50,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya sekali.
DISCLAIMER:
Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.
Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.