
Peniaga online yang menggunakan strategi perkataan “PM tepi” di media sosial boleh dipenjarakan atau denda!
Semalam dilaporkan di Harian Metro seorang peniaga perabot di Seri Kembangan diserbu oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada 12/3/2019 kerana strategi menggunakan perkataan “PM tepi” di sosial media.

Syarikat perabot ini menggunakan konsep PM atau mesej peribadi ketika berurusan dan beroperasi menerusi laman Facebook sejak Ogos tahun lalu (2018).
Saya kongsikan maklumat ini supaya rakan-rakan peniaga akan lebih peka dan mencari alternatif yang lebih baik berbanding membalas komen pelanggan yang berminat dengan “PM tepi”.
Berdasarkan kenyataan KPDNHEP, kenapa ‘PM tepi’ ini salah? Saya rumuskan seperti berikut:-
1. Tidak mempamerkan harga barangan yang dijual;
2. Tidak mempamerkan spesifikasi barangan yang dijual;
3. Penjual atau peniaga perlu meletakkan maklumat yang jelas mengenai produk serta perkhidmatan yang ditawarkan supaya hak pengguna tidak dicabul;
4. Konsep ‘PM tepi’ menjadi satu kesalahan mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012.

5. Juga jika sabit kesalahan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 boleh didenda dibawah Seksyen 145 iaitu maksimum RM50,000.00 (bagi individu)/ RM100,000.00 (bagi badan korperat) atau penjara atau kedua-duanya sekali.
Jadi konsep ‘PM tepi’ ini menjadi kesalahan kerana dianggap tidak telus dan boleh berlaku manipulasi harga. Oleh yang demikian adalah kesalahan. Dalam kes ini, serbuan berlaku kerana terdapat aduan.
Sepanjang kita berniaga, ada juga kemungkinan perihal kita ini diadukan. Jadi kita perlu lebih peka dengan setiap peraturan atau undang-undang yang ada supaya tidak mengalami hukuman denda atau penjara.

Peniaga online perlu mematuhi Jadual 1, Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012 iaitu mendedahkan maklumat seperti berikut bagi mengelakkan hukuman denda atau penjara:-
1. Nama orang yang menjalankan perniagaan atau nama perniagaan atau nama syarikat.
2. Nombor pendaftaran perniagaan atau syarikat, jika terpakai.
3. Alamat e-mel dan nombor telefon, atau alamat orang yang menjalankan perniagaan.
4. Perihalan tentang ciri utama barang atau perkhidmatan itu.
5. Harga penuh barang atau perkhidmatan termasuklah kos pengangkutan, cukai dan apa-apa kos lain.
6. Kaedah pembayaran.
7. Terma-terma dan syarat-syarat.
8. Anggaran masa penghantaran barang atau perkhidmatan kepada pembeli.
Mungkin rakan-rakan peniaga boleh guna strategi yang baru dengan mengambil kira point di atas.
DISCLAIMER:
Tulisan ini di tulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.
Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.