Secara amnya kita tahu yang sekiranya anda bukan pihak berkuasa seperti yang diperuntukkan dalam, Peraturan 7, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (PPN), anda dilarang menyimpan kad pengenalan seseorang.

7  Pengemukaan dan pemeriksaan kad pengenalan

(1) Mana-mana pegawai pendaftaran, pegawai polis, pegawai kastam atau mana-mana anggota Angkatan Tentera semasa menjalankan tugas menjaga atau mengawas, dan mana-mana pegawai, atau kelas atau perihal pegawai awam lain yang diberi kuasa secara bertulis bagi pihak itu oleh Ketua Pengarah, boleh memeriksa pengenalan mana-mana orang.

Semalam saya ada berkongsi tentang topik kesalahan menyimpan kad pengenalan individu lain. Jadi selain dari pegawai dalam tulisan tersebut, orang lain tidak dibenarkan untuk memegang kad pengenalan seseorang.

Ramai yang berkongsi cerita yang masih terdapat pihak pengurusan apartment atau kondominium yang meminta kad pengenalan untuk disimpan dan digantikan dengan kad pelawat. Ini jelas adalah kesalahan dibawah Peraturan 7 dan Peraturan 25 (1)(o) PPN.

25  Kesalahan-kesalahan dan penalti-penalti

(1) Mana-mana orang yang-

(o) tanpa kuasa yang sah atau sebab yang munasabah memiliki suatu kad pengenalan yang bukan kepunyaannya, dan

adalah melakukan suatu kesalahan terhadap Peraturan-Peraturan ini dan apabila disabitkan boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Tetapi kenapa masih diamalkan sekiranya amalan mengambil kad pengenalan oleh pegawal keselamatan apartment salah. Saya percaya sebab tidak celik undang-undang, misalnya banyak lagi amalan yang dilarang oleh undang-undang diamalkan, paling popular amalan bermain kutu. Walaupun salah masih diamalkan secara besar-besaran, siap ada perjanjian.

Begitu juga dengan amalan mengambil kad pengenalan oleh pihak bukan berkuasa, mungkin juga ada yang tidak tahu undang-undang. Jika kita enggan berikan kad pengenalan, pegawal keselamatan akan beri alasan ini adalah arahan pihak pengurusan dan kita dilarang masuk sama sekali jika enggan beri kerjasama.

Jadi adakah kita perlu patuhi arahan pengurusan atau PPN? Ingin saya ingatkan bahawa segala peruntukkan yang ada dibawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara adalah dibawah kuasa Akta Pendaftaran Negara 1959.

Akta ini digubah oleh Parlimen, maka akta ini adalah lebih berkuasa berbanding arahan mana-mana pengurusan. Mana boleh undang-undang pengurusan perumahan ingkar undang-undang parlimen dan menggunakan peraturannya sendiri.

Menyimpan kad pengenalan oleh pihak bukan berkuasa tidak boleh dianggap main-main kerana mungkin berlaku penyelewengan atau salahguna kad pengenalan. Contohnya duplicate kad pengenalan, pemalsuan, kecurian identiti dan segala kesalahan lain dalam Peraturan 25 PPN.

Oleh itu, tindakan menyimpan kad pengenalan tanpa kuasa memang dianggap serius. Jadi sekiranya masih ada pihak pengurusan yang tidak tahu undang-undang ini, saya cadangkan penghuni di perumahan tersebut buat surat rasmi dan hantar kepada pengurusan supaya menghentikan amalan ini dan beri amaran sekiranya gagal laporan polis akan dibuat.

Jangan berikan kad pengenalan kepada bukan pihak berkuasa. Banyak berlaku kecurian identiti. Cukup sekadar mereka ada salinan kad pengenalan dan butiran kita untuk mereka guna dan curi identiti untuk perkara-perkara seperti tuntutan hutang atau kegiatan jenayah. Sebab itu kita tidak mahu kad pengenalan ini diserahkan kepada pihak lain sesuka hati.

Topik-topik kad pengenalan yang berkaitan:

1. Kesalahan Memegang Kad Pengenalan Individu Lain
2. Tidak Membawa Kad Pengenalan atau Tertinggal Boleh didenda Maksimum RM20,000 atau Penjara 3 Tahun

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: