Kesalahan memegang kad pengenalan individu lain, boleh didenda maksimum RM20,000 atau maksimum penjara 3 tahun.
Perkara ini mungkin nampak remeh tetapi mungkin juga boleh terjadi. Contohnya, tersimpan kad pengenalan pasangan atau kekasih. Mungkin juga tugasan kita di bahagian pendaftaran atau keselamatan di sesuatu tempat memerlukan kita memegang sebarang butiran pengenalan individu yang berkunjung. Mungkin juga kadangkala sebagai jaminan kepada satu pinjaman kecil.

Ilmu ini penting juga untuk tahu manalah tahu kalian bakal berhadapan dengan situasi berlaku kemalangan di jalan raya dan pihak yang anda terlanggar minta anda berikan kad pengenalan untuk tujuan merekodkan butiran. Kemudian setelah kalian serahkan, tiba-tiba dia enggan pulangkan sehingga kalian bayar sedikit pampasan.
Atau mungkin juga bakal berhadapan dengan situasi, sedang kalian membeli-belah tiba-tiba datang satu individu minta sedikit bantuan kewangan kononnya tiada duit pulang ke rumah dan dia berjanji akan pulangkan semula, sebagai jaminan dia minta kalian pegang seketika kad pengenalannya sehingga dia pulangkan wang.
Situasi begini mungkin boleh terjadi, oleh itu penting untuk tahu tentang kesalahan memegang kad pengenalan individu lain.
Anda adalah dilarang menyimpan kad pengenalan individu lain tanpa sebarang kuasa yang sah, seperti yang diperuntukkan di bawah Peraturan 25 (1) (o), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (PPN).
25 Kesalahan-kesalahan dan penalti-penalti
(1) Mana-mana orang yang-
(o) tanpa kuasa yang sah atau sebab yang munasabah memiliki suatu kad pengenalan yang bukan kepunyaannya, dan
adalah melakukan suatu kesalahan terhadap Peraturan-Peraturan ini dan apabila disabitkan boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Sekiranya anda memegang, menyimpan kad pengenalan individu lain anda boleh dihukum penjara maksimum 3 tahun atau denda tidak melebihi 20 ribu ringgit atau kedua-duanya sekali di bawah Peraturan 25 tersebut.
Untuk makluman hanya beberapa pegawai kerajaan sahaja yang dibenarkan untuk meminta dan memeriksa kad pengenalan sesuatu individu iaitu pegawai pendaftaran. Ini bukan pegawai pendaftaran dekat mana-mana kaunter ya, ini pegawai pendaftaran seperti yang di definisikan dalam peraturan 2 PPN.
2 Tafsiran, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990
“pejabat pendaftaran” ertinya-
(a) Jabatan Pendaftaran Negara atau mana-mana cawangan Jabatan Pendaftaran Negara;
(b) Jabatan Pengangkutan Jalan atau mana-mana cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan;
(c) Jabatan Imigresen atau mana-mana cawangan Jabatan Imigresen; atau
(d) mana-mana premis yang ditentukan oleh Ketua Pengarah,

Contohnya pegawai pendaftaran di mana-mana cawangan JPN, JPJ, Jabatan Imigresen dan yang lain-lain sila rujuk peraturan tersebut.
Selain dari itu pegawai polis, pegawai kastam, pegawai tentera yang sedang bertugas dan mana-mana pegawai yang diberikan kuasa oleh Ketua Pengarah JPN. Secara amnya pegawai-pegawai ini, boleh memeriksa atas kapasiti tugas dan sekiranya berlaku salah guna kuasa untuk mengugut secara memegang dan menyimpan kad pengenalan, anda masih berhak membuat laporan.
Sekiranya berlaku satu situasi misalannya seperti kemalangan yang saya sebutkan di atas, ada yang memegang kad pengenalan anda dengan tujuan ugutan. Buat laporan polis kemalangan beserta kesalahan menyimpan kad pengenalan. Individu itu boleh didakwa kerana kesalahan memegang kad pengenalan.
Jangan berikan kad pengenalan kepada yang bukan mempunyai kuasa dan jangan simpan kad pengenalan individu lain.
Topik-topik kad pengenalan yang berkaitan:
- Bagaimana Jika Pengawal Keselamatan Berkeras Hendak Simpan Kad Pengenalan?
- Tidak Membawa Kad Pengenalan atau Tertinggal Boleh didenda Maksimum RM20,000 atau Penjara 3 Tahun
DISCLAIMER:
Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.
Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.