Sebenarnya berapa lama waktu solat yang patut majikan berikan kepada setiap pekerja? 10 minit? 20 minit? 30 minit?
Tahun lepas, 2019 Jabatan Tenaga Kerja (JTK) ada mengeluarkan garis panduan tempoh yang sepatutnya dibenarkan kepada seseorang pekerja kerana terdapat beberapa aduan berkenaan isu membenarkan pekerja beragama Islam ini bersolat.

Boleh rujuk Garis Panduan Menunaikan Solat Dalam Waktu Kerja
Dalam garis panduan yang dikeluarkan, JTK menekankan tentang kepentingan bersolat di kalangan majoriti pekerja yang beragama Islam selaras dengan Rukun Negara iaitu kepercayaan kepada Tuhan.
Kadangkala kita ini mungkin akan ambil masa yang lama untuk bersolat lama, terutama bagi perempuan misalnya:
Berjalan ke surau (purata1-3 minit, bergantung kepada jarak surau)
Buka tudung (purata 1 minit)
Ambil wuduk (Purata 3-4 minit)
Solat (Purata 6-8 minit)
Pakai tudung semula dan touch up muka. Hehe. Biasalah orang perempuan. (Purata 5-6 minit)
Berjalan dari surau ke meja kerja (purata1-3 minit, bergantung kepada jarak surau).
Keseluruhannya purata paling pendek 15 minit dan paling lama 25 minit.
Bersesuaian dengan kajian yang telah dibuat oleh JTK. Tempoh bersolat yang disarankan adalah sekurang-kurangnya 20 minit bagi setiap Solat Fardu dan sekurang-kurangnya 1 jam 30 minit bagi solat Jumaat.

JTK menambah lanjut dalam garis panduan tersebut tempoh solat dalam waktu bekerja boleh diselaraskan oleh majikan mengikut kesesuaian waktu rehat seseorang pekerja.
Bermakna jika berkerja ikut syif, waktu rehat pekerja mungkin boleh diberikan bersesuaian dengan waktu solat fardhu, misalnya waktu bekerja bermula dari pukul 5 petang. Jadi dianggap pekerja telah menunaikan solat Asar sebelum mula bekerja dan rehat boleh disesuaikan bermula 7.30 malam bagi membolehkan pekerja bersolat Maghrib.
Jika tidak memberikan rehat pada jam 7.30 malam, majikan perlu membenarkan tempoh solat sekurang-kurangnya 20 minit.
Solat Zuhur boleh dilaksanakan sewaktu rehat pukul 1 hingga 2, jika ada lebihan masa 10 minit dari waktu itu kerana menunaikan solat, jadi ianya munasabah.
Tetapi janganlah kita terus bantai pergi solat sehingga 30 minit kerana menurutkan garis panduan ini. Ayat sekurang-kurangnya 20 minit itu boleh menjadi 25 minit, 30 minit. Ini hanyalah garis panduan. Bukan undang-undang wajib. Pun begitu jika majikan enggan membenarkan langsung kita bersolat atau hanya berikan seminit dua, kita masih boleh membuat aduan pada JTK.
Majikan juga mempunyai tanggungjawab menyediakan tempat solat di tempat kerja. Berikut adalah garis panduan penyediaan tempat solat yang disarankan kepada majikan untuk disediakan:-

1)Ruang khas tertutup dengan saiz yang bersesuaian, bersih, selesa dan berhampiran atau di persekitaran tempat bertugas;
2)Ruang untuk menunaikan solat yang berasingan bagi pekerja lelaki dan pekerja wanita;
3)Peralatan asas untuk menunaikan solat seperti sejadah/tikar/alas lantai;
4) Tempat mengambil wuduk yang berhampiran dengan ruang solat; dan
5)Petunjuk arah kiblat yang disahkan oleh Jabatan-jabatan Mufti Negeri.
Kawan-kawan kita ini bekerja bukan semata-mata kerana wang tetapi kerana redha Allah. Apa sahaja pendapatan yang kita perolehi adalah untuk keluarga , dibuat makan dan pakai, menjadi darah daging. Jadi rezeki itu perlu halal supaya kehidupan mendapat keredhaan.
Kalau kita asyik ponteng kecil atau tuang kerja dengan sengaja baring-baring di surau sebelum waktu solat, whatsapp atau melayari Facebook berminit-minit dalam tempoh hendak bersolat yang diberikan oleh majikan, adakah berkat? 10 minit melayari internet, 20 minit waktu sebenar persediaan solat dan solat. Keseluruhan kita ambil 30 minit.
Kita dibayar pada kadar jam, kadar harian. Kalau berhari-hari kita curi masa begini. Sebulan sudah hampir berjam-jam kita ambil. Jadi pastikan jangan curi tulang. Kalau majikan tidak halalkan kegiatan curi tulang, tidak berkat rezeki kita.
Rezeki yang tidak berkat ini kadangkala akan beri kesan kepada kehidupan kita. Jadi bertindak dengan wajar dan bijak. Dalam kita bersolat mencari redha Allah jangan kita terlepas pandang isu kecil tentang mencuri masa kerja ini. Pandai-pandailah kita.
DISCLAIMER:
Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.
Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.