Tidak Membawa Kad Pengenalan atau Tertinggal Boleh Didenda Maksimum RM20,000 atau Penjara 3 Tahun

Nampak remeh tetapi berat. Anda hendak ke kedai berdekatan dan sengaja anda tinggalkan kad pengenalan. Hanya bawa beberapa keping duit kertas. Malas hendak bawa dompet, renyah. Dekat sahaja jarak rumah dengan kedai. Apalah sangat akan berlaku?

Dalam perjalanan ke kedai tiba-tiba anda ditahan polis. Anda diminta kemukakan kad pengenalan. Anda beri alasan tertinggal di rumah dan minta maaf. Walaupun sebenarnya anda adalah warganegara, walaupun anda sebenarnya memang ada dan tertinggal kad pengenalan tetapi anda masih boleh didakwa dibawah Peraturan 6, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (PPN).

Peraturan 6 adalah berkenaan tanggungjawab penyimpan kad pengenalan yang memperuntukkan bahawa siapa-siapa yang diisukan dengan kad pengenalan, PADA SETIAP MASA perlu membawa kad pengenalannya dan bertanggungjawab ke atas penyimpanan kad pengenalan tersebut.

Peraturan 6, Tanggungjawab menjaga kad pengenalan

“Orang yang kepadanya suatu kad pengenalan telah dikeluarkan hendaklah, selepas itu dan selagi dia masih menjadi orang berdaftar atau orang berdaftar semula di bawah Peraturan-Peraturan ini, pada setiap masa membawa pada dirinya kad pengenalan dan tertakluk kepada peruntukan-peruntukan Peraturan-Peraturan ini, bertanggungjawab atas penjagaannya.”

Ayat di atas adalah secara terperinci yang diperuntukkan dalam peraturan tersebut. Bermakna jika anda mempunyai kad pengenalan tetapi anda tidak bawa, masih bersalah. Kata kuncinya adalah “MEMBAWA DAN MENYIMPAN” kad pengenalan dan bukan semata-mata “MEMPUNYAI DAN BERDAFTAR”. Maksudnya jangan tinggal dalam almari rumah.

Bagi kesalahan di bawah Peraturan 6 ini boleh didenda di bawah Peraturan 25 (n) iaitu kegagalan mematuhi peraturan 6 yang boleh didenda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 3 tahun atau kedua-duanya sekali.

Peraturan 25,  Kesalahan-kesalahan dan penalti-penalti

(1) Mana-mana orang yang-

(n) gagal mematuhi peraturan 6 atau 7;

adalah melakukan suatu kesalahan terhadap Peraturan-Peraturan ini dan apabila disabitkan boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Saya sering ke mahkamah dan kadangkala pertuduhan bagi kesalahan tidak membawa dan menunjukkan kad pengenalan ini sering dibaca bersama kesalahan lain. Setakat pengalaman saya sehingga hari ini di mahkamah kebiasaannya pertuduhan kesalahan ini dibaca dengan kesalahan yang lain.

Bermakna kebetulan polis menahan anda di tempat awam kerana memiliki barangan terlarang atau kesalahan lain, kemudian polis meminta kad pengenalan dan anda gagal kemukakan. Anda akan didakwa oleh dua kesalahan iaitu membawa barang terlarang dan juga kesalahan tidak membawa kad pengenalan. Ini kita panggil ‘double trouble’. Jadi elakkan.

Jenuh hendak hadapi proses turun naik mahkamah ini, tambah pula akan melibatkan masa, wang dan susah hati. Andai kata anda berjaya merayu untuk kesalahan ini dan hanya didenda RM1,000 dan bukan maksimum RM20,000, itu masih duit juga dan masih juga perlu hadapi proses yang merunsingkan. Jadi apalah salahnya, bawalah sekeping kad pengenalan itu dan letak dalam poket anda. Elakkan masalah.

Topik-topik kad pengenalan yang berkaitan:

  1. Kesalahan Memegang Kad Pengenalan Individu Lain
  2. Bagaimana Jika Pengawal Keselamatan Berkeras Hendak Simpan Kad Pengenalan?

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: