Apabila saya dirujuk oleh bakal anak guam bagi memulakan kes saman kerana keingkaran Perjanjian, kebiasaannya Perjanjian yang dibuat sendiri ini banyak kesilapan.
Kesilapan-kesilapan ini yang menyebabkan Perjanjian boleh dicabar di mahkamah, tidak boleh dilaksanakan atau lebih teruk tidak laku dan tidak boleh digunapakai untuk menuntut.
Berikut adalah merupakan 5 kesilapan:
1) Butiran pihak perjanjian tidak lengkap.

Saya ada menerima beberapa perjanjian, hanya ada nama tetapi tiada nombor kad pengenalan. Kadangkala nama dan nombor kad pengenalan ada tetapi tiada alamat. Ada juga yang terlupa letak tarikh.
Kalau kurang butiran, bagaimana kita hendak memulakan saman. Dalam Writ Saman kita perlu letak nama penuh dan nombor kad pengenalan kerana hendak merujuk kepada identiti dan senang proses hendak membankrapkan lagi.
Kalau tidak ada nombor kad pengenalan, panjang proses hendak mencarinya. Bukan tidak boleh, boleh tetapi ambil masa dan tambah kos.
2) Perjanjian tidak setem

Ini mungkin bukanlah kesilapan yang bakal membatalkan perjanjian tetapi cukup menyusahkan apabila proses cabar mencabar di mahkamah tentang kesahihan dan kedudukan perjanjian yang tidak disetem.
3) Tidak ada Klausa/ Syarat Pengingkaran (Default Clause)
Ini memang kesilapan yang boleh dikatakan majoriti. Hampir kesemua bakal anak guam yang merujuk kepada saya dengan perjanjian sendiri tidak meletakkan syarat ini dalam perjanjian.
Apa itu Klausa Pengingkaran? Ianya adalah satu perenggan syarat yang mengatakan apakah perlakuan yang dianggap mengingkari dan apa kesan-kesannya.
Contohnya, perjanjian hutang tanpa faedah sebanyak RM10,000 antara pemberipinjam dan peminjam, yang perlu dibayar dalam tempoh 12 bulan.
Klausa Pengingkaran memperuntukkan sekiranya Peminjam gagal membayar salah satu ansuran yang ditetapkan pada sekian tarikh membolehkan pemberipinjam mengambil tindakan di mahkamah.
4) Terma tidak ikut undang-undang

Ini memang akan menyebabkan Perjanjian tidak laku dan tidak boleh dipakai di mahkamah.
Ramai yang tidak tahu bahawa sesetengah amalan atau praktis adalah salah disisi undang-undang. Misalnya praktis main kutu (simpanan wang bulanan secara berkumpulan) adalah menyalahi Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971.
Tidak kiralah apa terma atau syarat atau cara, main kutu adalah salah. Jadi tiada guna untuk buat perjanjian antara pemain kutu sebagai kononnya mengikat pihak-pihak dari segi undang-undang.
Contoh lain: Pemberi pinjam yang tidak ada lesen terutamanya individu tidak boleh memberikan pinjaman dengan faedah. Kalau beripinjam 10 ribu hanya boleh dibayar balik 10 ribu tanpa faedah.
Adalah menjadi kesalahan jika kita memberipinjam dan meletakkan faedah, silap haribulan kita boleh didenda di bawah Akta Pemberipinjam Wang 1951, Sesyen 5(2) dan boleh didenda minimum RM250,000 dan tidak melebihi RM1,000,000 atau penjara atau kedua-duanya sekali.

5) Salin dan tampal ‘Cut and paste’
Kalau buat perjanjian, janganlah cut and paste dari Google secara meluru. Baca dulu terma atau syarat, fahami terma dan cuba sesuaikan dengan keadaan perjanjian kita.
Tambah pula kita salin bulat-bulat dan tak sesuaikan. Apalah guna kalau ada perjanjian tetapi tidak boleh digunapakai di mahkamah bila hendak menuntut.
DISCLAIMER:
Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.
Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.