Minggu ini telah didedahkan beberapa rakaman percakapan berkaitan DS Najib. Persoalannya bolehkah rakaman yang dirakam begini dijadikan bukti di mahkamah?

Adakah rakaman tanpa kebenaran boleh dijadikan bukti?
Tulisan saya tidak langsung menjerumus ke arah politik, hanya perkongsian ilmu dari kes yang pernah direkodkan oleh mahkamah dan berkenaan keputusan dan pandangan mahkamah berkenaan isu ini.
Jadi tidak perlu dipolitikkan tulisan ini, hanya fokus pada ilmu yang saya kongsi perolehi.
Berdasarkan Seksyen 3 Akta Keterangan 1950, dokumen rakaman suara, pita rakaman (tape) adalah juga merupakan dokumen. Seksyen yang sama juga memberi maksud bukti iaitu keterangan yang diberikan dan dokumen yang dikemukan. Jadi jelas rakaman suara boleh dijadikan bukti.
Namun demikian, banyak kes-kes di mahkamah yang berdebat dan berhujah tentang ciri-ciri rakaman bagaimana yang akan diterima sebagai bukti?
Contohnya dalam kes GHAZALI SALLEH & ANOR. v. PUBLIC PROSECUTOR [1993] 3 CLJ 638, mahkamah berpendapat bahawa memandangkan rakaman tape boleh diubah, oleh itu perlu ada bukti bahawa rakaman itu dilindungi dengan rapi sebaik sahaja rakaman dibuat sehinggalah ia dibawa ke mahkamah.

Manakala dalam Ng Yan Pee v. PP [1959] 3 MC 249, 253, Mahkamah Rayuan berpendapat bahawa rakaman suara hanya boleh diterima sebagai bukti sokongan sekiranya rakaman tersebut terang dan jelas.
Dalam kes MOHD ALI JAAFAR v. PP [1998] 4 CLJ SUPP 208 pula, mahkamah telah memberi garis panduan yang sangat terperinci berkenaan dengan ciri-ciri rakaman yang sepatutnya diterima oleh mahkamah.
Dalam kes ini, pengadu seorang perempuan telah pergi ke Jabatan Imigresen. Pengadu bertemu dengan Ali dan Ali memaklumkan bahawa Pengadu telah melakukan kesalahan kerana tidak mempunyai setem memasuki Singapura.

Pengadu meminta bantuan Ali agar tidak didakwa dan Ali meminta agar pengadu melakukan seks dengannya. Pengadu telah mengemukan rakaman perbualan tentang permintaan seks.
Ciri-ciri/garis panduan rakaman yang sepatutnya diterima oleh mahkamah seperti yang dihuraikan oleh mahkamah dalam kes Ali:-
1. Tape tersebut telah dimainkan secara keseluruhan dan didapati bersih sebelum rakaman dibuat.
2. Mesin rakaman berfungsi dengan baik.
3. Tape tersebut tidak diolah atau digubah dan perlu dibuktikan tape tersebut dalam simpanan siapa.
4. Saksi yang merakam dan mendengar suara boleh mengenalpasti identiti pemilik suara.

5. Rakaman tersebut perlu ditulis (transcribe) (bermakna setiap patah perkataan dalam rakaman perlu ditulis dan diserahkan kepada mahkamah bersaman rakaman).
6. Saksi yang memberi keterangan berkenaan rakaman perlu menyemak rakaman suara tersebut sama ada berpadanan dengan transcribe dan identiti.
Ini adalah antara kes-kes yang sering dirujuk dalam mahkamah bagi hujahan sama ada sesuatu bukti rakaman itu sepatutnya diterima atau tidak. Namun demikian kes-kes ini adalah sebelum zaman kemajuan telefon pintar.
Zaman kes-kes di atas direkodkan, mereka masih menggunakan rakaman pita namun demikian sekarang, kebanyakan rakaman dibuat melalui telefon. Oleh itu, kita perlu sesuaikan ciri-ciri di atas dengan peredaran masa.
Yang pastinya rakaman yang boleh diterima pakai di mahkamah, tidak boleh lompat-lompat. Contohnya dengar minit ke 5, kemudian minit ke 11. Mahkamah akan mendengar secara keseluruhan.
Rakaman tersebut juga tidak boleh diolah atau digubah dan untuk memastikan tidak diubah atau diolah biasanya saksi seperti pakar bunyi, computer forensic atau apa sahaja pakar yang relevan dengan kepakaran ini akan dipanggil. Zaman ini macam-macam profesion wujud, bersesuai dengan keperluan dengan peredaran zaman.
Jadi begitulah serba sedikit prosedur di mahkamah. Bermakna kalau kita sendiri, rakaman kita boleh dirakam dan dijadikan bukti di mahkamah.
DISCLAIMER:
Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.
Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.