Mahkamah Pendapat Awam – Court of Public Opinion

Satu-satunya mahkamah yang kita tahu, adalah mahkamah dalam sistem perundangan. Mahkamah ini adalah untuk mengadili pihak-pihak atau menjatuhkan hukuman. Hukuman atau sesuatu hukuman ini dibuat berdasarkan peruntukkan undang-undang, prosedur, berdasarkan penilaian dan semakan fakta yang dinilai oleh hakim bagi sesuatu kes.

Dalam mahkamah sistem perundangan ini, pihak-pihak mempunyai peluang untuk membela diri. Mengemukan kesnya dengan bukti dan saksi berserta dengan keterangan. Berbeza dengan Mahkamah Pendapat Awam yang mana pengadilannya tidak mengambil kira pembelaan atau pembuktian pihak yang diadili.

Ramai yang kurang sedar sebenarnya wujudnya Mahkamah Pendapat Awam. Impak mahkamah ini kadangkala lebih menakutkan dari mahkamah sebenar dan berpanjangan. Seringkali pihak yang diadili tidak mendapat keadilan.

Misalnya, anda menulis dan menyebarkan tentang seseorang di media sosial. “Perempuan penipu, perampas suami orang dan kaki scammer. Saya adalah salah seorang mangsanya. Dia tipu duit saya RM1,000.00. Tolong sebarkan tulisan ini dan gambar perempuan penipu ini supaya tiada orang jadi mangsanya”.

Berapa ramai diantara kita yang akan percaya dan sama-sama sebarkan? Berapa ramai diantara kita yang terus percaya. Berapa ramai diantara kita yang mengenali wanita ini terus menjatuhkan hukuman.

Sedangkan sebenarnya wanita ini meminjam duit penulis status RM1,000 tetapi lewat bayar kerana ada masalah peribadi. Kerana marah, si penulis terus membuat fitnah dan ingin memberi tekanan kepada wanita ini supaya segera bayar.

Tanpa diadili di mahkamah menggunakan sistem perundangan yang betul, wanita ini telah dilabelkan sebagai penipu, telah dituduh scammer. Walhal yang kongsi status tidak tahu. Mana-mana ahli keluarga yang mengenali terbaca status ini terus menganggap tuduhan tersebut benar dan memandang serong. Masa depan dan reputasinya telah diburukkan. Jadi saya katakan wanita ini telah diadili dan diputuskan oleh Mahkamah Pendapat Awam.

Saya beri satu contoh perbezaan Mahkamah Perundangan dan Mahkamah Pendapat Awam serta kesannya. Kalau anda pernah membaca tentang kes OJ Simpson yang merupakan pemain American Football. Sewaktu eranya dia amatlah popular sehinggakan dia turut menjadi pelakon filem, penyampai berita dan jurucakap beberapa jenama.

OJ berkahwin dengan wanita berkulit putih bernama Nicole Brown. Sepanjang perkahwinan mereka dilaporkan banyak aduan dan laporan keganasan rumah tangga yang dibuat oleh Nicole. Perkahwinan berikut berakhir dengan perceraian. Satu hari mayat Nicole dan kawannya Ron ditemui di hadapan rumah Nicole. Mayat tersebut ditikam bertubi-tubi, berlumuran darah dan dibiarkan mati begitu sahaja.

OJ yang merupakan individu yang berkepentingan mengambil kira beberapa pemfaktoran yang lain didakwa dan dibicarakan di mahkamah. Perbicaraan ini dianggap perbicaraan terbesar di abad ini. Perbicaraan ini mengambil masa 11 bulan dan jutaan penonton yang mengikuti sepanjang proses perbicaraan dan laporan berita tentang kes ini.

Setelah beberapa bulan perbicaraan, akhirnya keputusan dibaca pada Oktober 1995. Dipercayai hampir 100 juta orang seluruh dunia menyaksikan laporan keputusan tersebut. Akhirnya OJ didapati tidak bersalah dan dibebaskan. Tiada pemenjaraan, tiada hukuman mati atau tiada hukuman penjara seumur hidup.

Kalau kalian hendak tahu, salah seorang peguam yang mewakili OJ adalah Robert Kardashian bapa kepada Kim Kardashian. Robert mula mendapat liputan kerana kes ini. Pada 1996, melalui satu temu bual walaupun Robert adalah merupakan peguam kepada OJ namun Rob menyuarakan dia meragui sama ada OJ tidak bersalah. Sejak hari itu OJ dan Rob yang merupakan teman rapat, tidak lagi bertegur sapa.

Keputusan kes ini mendapat reaksi berbeza kerana OJ berkulit hitam manakala mangsa adalah orang berkulit putih. Terdapat juga kaum kulit hitam yang menganggap OJ sengaja difitnah dan diperangkap kerana semata-mata dia berkulit hitam.

Walaupun OJ memenangi perbicaraan jenayah tersebut, keluarga mangsa-mangsa telah menyaman ganti rugi kerana menyebabkan kematian kepada mangsa. Keluarga mangsa berjaya menuntut USD33.5 juta.

Walaupun OJ lepas dari hukuman pemenjaraan atau hukuman mati namun demikian majoriti rakyat di USA menganggapnya bersalah. Ini kerana terdapat banyak bukti-bukti yang boleh mengaitkan OJ dengan kejadian tersebut. Namun demikian, ada juga beberapa alasan pembelaan yang diterima mahkamah. Saya tidak mahu tulis secara terperinci kerana ianya akan berjela-jela.

Walaupun OJ bebas dari tuduhan jenayah sehingga ke hari ini rata-rata rakyat di USA berpendapat OJ memang melakukan pembunuhan tersebut. Sejujurnya saya yang membaca kes ini dan mengikuti dokumentari kes OJ ini, mempunyai pendapat mungkin dia melakukanya.

OJ lepas tuduhan jenayah tetapi tidak tuduhan Mahkamah Pendapat Awam. Kesannya populariti dan nama baik OJ jatuh merudum dan ramai yang membenci OJ. Kebiasaannya kita menganggap jika menang di mahkamah mungkin orang awam akan melupakannya tetapi tidak kerana kesan sebenar yang berpanjangan adalah Mahkamah Pendapat Awam.

Court of Public Opinion ini kadangkala adalah senjata dalam dunia politik. Sebab itu rata-rata ahli politik cuba mengambil hati orang awam, yang paling penting pendapat awam. Sebab itu dengan mengeluarkan bukti-bukti sesuatu kes berkenaan politik contohnya rakaman video lucah, rakaman suara atau apa sahaja, tidak kisahlah ada atau tidak dakwaan di mahkamah kemudiannya tetapi sudah cukup ianya diadili oleh Court of Public Opinion.

Court of Public Opinion ada kebaikan dan keburukannya. Baiknya ia jika mangsa tidak dapat pembelaan sewajarnya dan hanya suara awam yang boleh membantu menyelesaikan. Buruknya ia apabila ia menjadi senjata menjatuhnya seseorang yang tidak bersalah.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: