Kalau kita tidak berpuas hati dengan servis atau produk sesuatu barangan dan kita hendak menuntut ganti rugi. Adakah kita patut ke Mahkamah atau ke Tribunal Pengguna?

Mana lebih baik? Mana lebih jimat? Apa bezanya?

Sebenarnya tuntutan boleh dibuat dari salah satu saluran ini tetapi kita pertimbangkan mana lebih lekas dan jimat kerana mengambil kira kita menuntut kerugian dan kos amatlah penting. Kita sudah alami kerugian akibat produk atau servis, kalau hendak menuntut ditambah pula kos pemfailan dan guaman sakit juga kan?

Anda boleh menuntut dari Tribunal Pengguna (TP) bagi pembelian barangan atau perkhidmatan yang tidak bermutu atau perkhidmatan yang tidak memuaskan. Kos pemfailan kes di TP lebih murah berbanding dengan Mahkamah Sivil.

Misalnya sekiranya Pengadu ingin memfailkan kes di TP, kos pemfailan adalah RM5.00 sahaja berbeza dengan Mahkamah Sivil, kos pemfailannya diantara RM108 (Mahkamah Majistret) atau RM208 (Mahkamah Sesyen) tidak termasuk kos-kos lain serta kos-kos guaman sekiranya anda melantik peguam.

TP tidak membenarkan penuntut atau penentang diwakili peguam. Anda boleh mewakili diri sendiri, oleh itu tiada kos upah guaman. Namun anda boleh melantik peguam sekiranya memerlukan peguam untuk menasihati anda bagi kerja-kerja deraf dokumen-dokumen tuntutan ini tetapi peguam tidak boleh hadir dalam prosiding TP.

Tetapi TP mempunyai bidang kuasa yang terhad. Contohnya TP hanya boleh mendengar kes-kes tuntutan yang tidak melebihi RM25,000 seperti yang diperuntukkan bawah Seksyen 98, Akta Perlindungan Pengguna 1999 berkenaan bidang kuasa TP.

TP tidak boleh mendengar tuntutan melebihi 3 tahun dari tuntutan itu bermula selaras dengan Seksyen 99 (2) yang meletakkan had masa tindakan.

TP tidak mendengar tuntutan yang berbangkit daripada kecederaan diri atau kematian. Misalnya kita menggunakan satu produk senaman yang tidak bermutu, sewaktu menggunakannya tiba-tiba alat senaman itu patah menyebabkan penuntut mengalami kecederaan. Kes begini tidak boleh dituntut melalui TP tetapi boleh dituntut dari Mahkamah.

TP juga tidak boleh mendengar tuntutan, antaranya seperti berikut:-

• Tuntutan mendapatkan kembali tanah atau apa-apa estet atau kepentingan mengenai tanah.
• Tuntutan bagi pertikaian mengenai hak di bawah wasiat
• Tuntutan bagi pertikaian nama baik.
• Tuntutan bagi pertikaian rahsia perdagangan atau harta intelek lain.
• Tuntutan bagi pertikaian tuntutan untuk pembelian barangan atau perkhidmatan bagi tujuan perdagangan.

Di atas ini adalah antara contoh, hendak tahu lebih lanjut boleh semak laman web TP. Berbeza dengan Mahkamah, Mahkamah boleh mendengar semua jenis tuntutan pengadu sama ada yang melibatkan kematian, kecederaan, tuntutan berkaitan wasiat atau apa sahaja yang terhad oleh TP.

Berkenaan kos di Mahkamah pula, kos adalah berbeza mengikut peringkat Mahkamah. Misalnya:-

  • Tuntutan RM5,000 hingga RM100,000 di Mahkamah Majistret.
  • Tuntutan RM100,000 hingga RM1,000,000 di Mahkamah Sesyen.
  • Tuntutan RM1,000,000 ke atas di Mahkamah Tinggi.

Kos pemfailan adalah berbeza mengikut peringkat Mahkamah dan yang paling mahal adalah Mahkamah Tinggi, contohnya pemfailan Writ Saman dan Penyataan Tuntutan ialah RM416.00 tetapi nilai tuntutannya tiada had yang sehingga mencecah jutaan ringgit.

Anda juga boleh menuntut di Mahkamah Sivil bagi tuntutan dibawah RM5,000. Kosnya lebih murah berbanding senarai di atas, saya kongsikan prosedurnya di ruang komen. Pemfailan hanyalah RM20 sahaja.

Berkenaan isu masa, mana yang lebih segera diselesaikan? Berdasarkan Seksyen 112 (1) adalah diperuntukkan bahawa TP perlu memberikan award (keputusan) kes tanpa penangguhan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pendengaran (perbicaraan) di TP.

Seksyen ini memastikan bahawa perjalanan kes itu perlu disegerakan. Bermakna selepas perbicaraan, TP perlu segera memberikan keputusan kes.

Cara-cara untuk membuat tuntutan di Tribunal Pengguna:

Borang 1 ini boleh dimuat turun di sini.

Pada pendapat saya, prosiding di Mahkamah Sivil sekarang memang pantas tidak seperti beberapa tahun dahulu. Jadi di mana yang sepatutnya kita failkan adalah bergantung kepada penilaian kita mempertimbangkan kuasa TP dan juga kos-kos yang timbul.

Jom follow saya untuk perkongsian undang-undang yang relevan dengan kehidupan seharian.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: