Rata-rata mungkin sudah menebus eTunai ini tetapi bagi mereka masih tidak peka eTunai adalah satu peruntukkan sebanyak RM450 juta selaras dengan Belanjawan 2020. Mereka yang layak, warganegara Malaysia, berumur 18 tahun ke atas, gaji setahun tidak melebihi RM100,000.

Pemohon boleh menggunakan beberapa aplikasi e-Wallet terpilih iaitu Touch N Go e-Wallet, Boost atau GrabPay. Pemohon diminta memasukkan gambar kad pengenalan dan gambar selfie bersama kad pengenalan sebagai salah satu syarat. Sebelum itu pemohon perlu menekan butang terima terma dan syarat.
Yang menjadi buah mulut sekarang berkenaan hak privasi data peribadi pemohon. Apakah bahaya yang dihadapi dengan menekan butang terma dan syarat ini? Kalau anda yang peka, sewaktu hendak menerima e-Tunai tersebut anda akan menekan butang iaitu setuju terma dan syarat dan juga setuju terma Notis Privasi. Bermakna anda setuju dengan segala syarat-syarat. Apa kesannya?
Privasi Polisi ini adalah terma yang selalu digunapakai terutama sekali dalam perbankan.

Contohnya bank-bank seperti Maybank juga ada Notis Privasi. Bagi pengguna akaun Maybank memang wajib kita memberi data peribadi kepada Maybank sebagai pengesahan identiti (memang benar dan bukan palsu), untuk tindakan undang-undang sekiranya berlaku jenayah penipuan yang melibatkan akaun dan pelbagai lagi tujuan yang relevan.
Saya rasakan ini adalah munasabah kerana ini melibatkan transaksi wang dalam akaun Maybank, terutama sekali di zaman sekarang yang banyak kes scam, penipuan. Data perlu ada bagi memastikan kesahihan identiti. Data perlu ada sekiranya ada penipuan melibatkan akaun, akaun akan disiasat, transaksi akaun akan disemak.
Lihat gambar di bawah, laman web rasmi Maybank “To whom do we disclose your personal data?”, pada siapa data peribadi ini akan diberikan. Antaranya, dalam entiti Maybank Group,kredit agensi bagi tujuan tuntutan hutang, strategik rakan kongsi, penguatkuasa dan agensi kerajaan yang dibenarkan dibawah undang-undang atau melalui perintah Mahkamah dan lain-lain. Sila baca.

Kalau rajin anda semaklah kesemua Notis Privasi bank atau entiti lain. Sama sahaja, mereka pegang data kita, mereka boleh gunapakai untuk tujuan tertentu seperti polisi dan terdapat syarat-syarat lain lagi tetapi asasnya masih boleh dikongsikan.

Begitulah juga nature e-Wallet, iaitu dompet penyimpanan wang secara maya. Duit boleh keluar masuk, boleh membuat pembelian dan lain-lain. Memang memerlukan data peribadi mengambil kira jika berlaku permasalahan penipuan, jadi memberikan salinan kad pengenalan dan gambar itu bukanlah tidak munasabah.
Berkenaan isu kebocoran data, kenapa syarat dan terma e-Tunai membenarkan data pemohon digunapakai. Selain dari e-Tunai ini sebenarnya tanpa kita sedar akaun-akaun bank yang kita miliki sekarang sudah pun kita beri perkongsian untuk kita kongsi data.
Misalnya kes Mahkamah yang saya kendalikan yang melibatkan akaun seringkali butiran penuh individu yang terlibat dalam kes diberikan oleh pihak bank kerana mematuhi arahan pihak berkuasa atau undang-undang yang sedia ada. Jadi kita tidak boleh beri andaian berlaku kebocoran maklumat dan ianya tidak sah. Undang-undang telah mensyaratkan bahawa identiti dan data ini perlu diberikan oleh pihak bank (berdasarkan prosedur) untuk memastikan keadilan di mahkamah dipatuhi.
Kalau kita lihat terma dan syarat e-Tunai yang dipersetujui oleh pemohon-pemohon bahawa data-data ini akan digunapakai oleh antaranya syarikat e-Wallet, syarikat berkaitan, kerajaan Malaysia, jabatan kerajaan, agensi kerajaan (yang lain sila rujuk terma) bagi tujuan-tujuan seperti dalam terma dan bukanlah sesuka hati.

Berdasarkan terma-terma e-Tunai secara ringkasnya membenarkan data digunakan bagi tujuan:
1) Proses kelayakan mendapat e-Tunai, untuk mendapatkan kepastian betul ke tidak data yang diberikan.
2) Untuk mendapat pengesahan dengan syarikat e-Wallet yang turut memberikan eTunai ini sekiranya terdapat pertikaian. Contohnya pemohon dah pohon melalui e-Wallet Touch and Go. Kemudian pemohon yang sama pohon melalui e-Wallet GrabPay. Jadi pemohon membenarkan mereka semak data sesama sendiri.
3) Memproses sekiranya terhadap aduan terhadap syarikat e-Wallet bagi insentif ini.
4) Mengumpulkan data (termasuk transaksi perbelanjaan) bagi wang eTunai yang digunakan untuk program ini dan lain-lain. Sila baca.

Insentif yang diberikan keseluruhannya 450 juta, kalau mereka tidak terperinci dalam proses kelayakan, boleh jadi juga ada salah guna. Berkemungkinan, orang yang sama boleh dapatkan 10 kali e-Tunai.
Zaman sekarang ini scammer dimana-mana, macam-macam gaya penipuan. Jadi pengesahan dan prosedur yang ketat untuk memastikan wang tersebut tidak salah diagihkan dan tidak diberikan kepada individu yang sama lebih dari sekali adalah perlu.
Semua syarat penggunaan data adalah bertujuan memastikan ketelusan wang e-Tunai dimasukkan dan digunakan.
Sebenarnya terma dan syarat eTunai itu tidak terlalu ketat berbanding terma dan syarat e-Wallet GrabPay. Kalau ada lihat syarat Privacy Policy oleh Grab membenarkan untuk mengumpul, menggunakan dan memproses data peribadi pengguna melalui applikasi Grab atau Website Grab. Malahan data peribadi anda boleh dikongsi dengan senarai-senarai lain dalam polisi tersebut.
Data tersebut juga boleh dipindahkan di luar negara dimana anda berkunjung. `Berdasarkan polisi itu juga, Grab boleh memegang segala data ini selagi mana anda tidak memadam aplikasi ini.

Polisi tersebut juga memberi definisi bahawa data peribadi membawa maksud nama, kewarganegaraan, nombor telefon, butiran bank dan kad kredit, alamat email, gambar pengguna, kepentingan peribadi, nombor kad pengenalan, cap jari, kaum , tarikh lahir, agama, kenderaan, status perkahwinan, keadaan kesihatan dan maklumat insuran. Boleh kata semualah!

Jadi semua ini boleh dikongsikan oleh Grab selagi mana anda menjadi pengguna aplikasi Grab. Informasi ini juga boleh dipindahkan ke luar negara sekiranya anda berkunjung dan menggunakan aplikasi Grab di negara tersebut dan informasi ini boleh dikongsikan oleh entiti lain seperti dalam Polisi Privacy Grab yang anda tandatangani.
Entiti lain berdasarkan polisi tersebut antaranya adalah pengguna grab lain, syarikat kumpulan Grab, Grab Service Provider, dengan penasihat undang-undang dan penguatkuasa kerajaan. Semua perkongsian ini boleh dilakukan tanpa memerlukan Perintah Mahkamah sebagai syarat.
Jadi kalau anda tidak selesa informasi peribadi anda digunapakai oleh Grab, jangan anda muat turun applikasi ini. Padam dari telefon.
Jujur saya katakan bagi proses mendapatkan data peribadi oleh kerajaan bagi tujuan keselamatan, tindakan undang-undang, dakwaan mahkamah, mereka memang sudah ada data dan boleh disemak melalui Jabatan-Jabatan Kerajaan lain.

Misalnya di PDRM ada data rekod jenayah kita dan melalui kad pengenalan sahaja mereka sudah tahu berapa laporan dikeluarkan atas individu tersebut. JPJ, ada maklumat berkenaan pemilik kenderaan, butiran dan jenis-jenis kenderaan individu termasuk rekod saman. JPN, ada maklumat berkenalan kad pengenalan kita dan senarai ini tidak akan habis.
Bagus juga isu ini berlaku sekurang-kurangnya ramai yang peka tentang syarat-syarat bagi aplikasi yang dimuat turun. Kalau tidak sebelum ini, semua main klik saja tanpa fikir panjang.
DISCLAIMER:
Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.
Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.