
Secara umumnya masih ramai yang berpendapat bahawa seseorang yang telah diisytiharkan bankrap itu langsung tidak dibenarkan untuk pergi ke luar negara. Namun sebenarnya terdapat beberapa situasi yang dibenarkan kepada seorang yang bankrap untuk ke luar negara seperti bagi tujuan ibadah, pekerjaan, perubatan.
Seseorang yang bankrap boleh ke luar negara atas alasan-alasan di atas melalui permohonan kepada Jabatan Insolvensi
Seseorang yang bankrap sebenarnya dibenarkan untuk pergi menunaikan umrah namun mestilah mematuhi prosedur-prosedur tertentu yang telah ditetapkan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia.

Prosedur-prosedur yang perlu dilalui adalah seperti berikut:
1. Anda perlu pergi ke agensi umrah pilihan anda untuk mendapatkan surat yang mengesahkan anda bakal menjalani ibadah umrah.
2. Bawa surat daripada agensi umrah tersebut dan pergi ke cawangan Jabatan Insolvensi Malaysia yang mentadbir kes kebankrapan anda.
3. Jabatan Insolvensi akan memberikan Borang A iaitu borang permohonan ke luar negara di bawah Seksyen 38 (1)(C) Akta Kebankrapan 1967 untuk diisi
ataupun
anda juga boleh memuat turun borang tersebut daripada laman web Jabatan Insolvensi Malaysia dan mestilah dilengkapkan dan diserahkan sekurang-kurangnya 7 hari/21 hari dari tarikh ke luar negara.

4. Selain Borang A, anda juga perlu mengisi Borang B (Borang Penjamin) dan juga Borang B (Borang Pembiaya) yang juga boleh dimuat turun dari laman web Jabatan insolvensi.
Borang Penjamin adalah borang berkaitan Bon Jaminan iaitu suatu jaminan atau janji oleh suatu pihak untuk menerima tanggungjawab bagi memastikan seseorang bankrap mematuhi apa-apa syarat yang dikenakan oleh Ketua Pengarah Insolvensi atau mahkamah.
5. Bayar duit jaminan untuk ke luar negara untuk meluluskan permohonan anda. Duit yang dibayar ini selalunya berjumlah RM 1,000 bergantung kepada pihak Insolvensi. Bayaran ini kemudiannya akan ditolak daripada nilai keseluruhan hutang pemohon.
6. Menunggu kebenaran bertulis daripada pihak Insovensi, ianya bergantung kepada budi bicara Ketua Pengarah Insolvensi.

Antara maklumat-maklumat yang anda perlu isi bagi borang ini adalah seperti nombor kes kebankrapan, sebab-sebab kebankrapan dan juga nama penjamin anda.
Terdapat juga bukti lain yang mungkin diperlukan contohnya, tiket kapal terbang.
Walau bagaimanapun anda perlu faham bahawa terdapat had/jumlah bilangan berapa kali yang dibenarkan umrah oleh Jabatan Insolvensi bagi seorang yang bankrap, semuanya tertakluk kepada keputusan Jabatan Insolvensi.
Satu perkara yang sangat penting untuk diingati ialah jangan bertindak untuk mengerjakan umrah secara senyap-senyap tanpa kelulusan daripada pihak Insolvensi kerana anda mungkin akan disekat di bahagian imigresen di lapangan terbang.
Selain itu, harus kita ingat bahawa menunaikan umrah itu hanya dituntut sekiranya seseorang itu berkemampuan.

Sekiranya mempunyai kemampuan kewangan haruslah diutamakan tanggungjawab untuk membayar hutang terlebih dahulu.
Sekiranya semua prosedur yang ditetapkan oleh pihak Insolvensi telah dipatuhi, hasrat anda untuk menunaikan umrah pasti akan dipermudahkan.
DISCLAIMER:
Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.