Banyakkan kita baca tentang perkongsian mangsa-mangsa penipuan. Untuk mendapatkan keadilan setelah cuba membuat laporan polis dan tindakan mahkamah tetapi tidak dilayan. Langkah akhir adalah viralkan supaya memberi tekanan kepada penipu untuk memulangkan semula wang.

Ada juga kes, mangsa mungkin redha dengan penipuan tetapi tidak mahu yang lain menjadi mangsa. Jadi mereka berkongsi kisah mereka ditipu dan wajah individu supaya yang lain lebih peka dan tidak menjadi mangsa.

Hati-hati juga. Bukan semua berita perkongsian wajah penipu adalah benar. Ada sesetengah kes mungkin juga fitnah yang diadakan-adakan oleh pesaing atau pihak yang irihati.

Pun begitu, adakah kita boleh disaman kerana berkongsi status atau menularkan si penipu atau scammer?

Mari saya kongsikan satu kes, si pencuri/penipu yang menyaman mangsa kerana mangsa melaporkan kesnya kepada pemberita dan laporan kes itu menjadi viral.

Kalau anda pernah kenal pelakon bernama Zahida Rafik. Pada sekitar tahun 2012, Zahida telah menyerahkan kepada pemandunya sejumlah wang bernilai dua ratus ribu ringgit untuk dimasukkan ke dalam akaun bank.

Kebiasaannya sebelum ini, Zahida akan memasukkan sendiri wang ke dalam bank tetapi kerana ada kecemasan, ini kali pertama Zahida meminta pemandunya memasukkan jumlah ini ke bank bagi pihaknya.

Pemandunya kemudian lesap! Marah dan terasa ditipu. Zahida membuat laporan polis dan Zahida memberitahu kepada wartawan sewaktu ditemurah isi kandungan laporan polis dan situasi.

Akibat tidak berpuas hati dengan tindakan Zahida, pemandunya telah menyaman malu Zahida kerana menyebarkan berita tentangnya sehingga mengakibatkan kebencian dan kemarahan awam dan mencemarkan nama baiknya. Manakala Zahida pula, menyaman pemandunya bagi nilai RM200,000 yang telah diambil.

Kes ini mula dibicarakan di Mahkamah Tinggi dan keputusannya. Jangan terkejut! Zahida diperintahkan oleh Mahkamah untuk membayar RM200,000 kepada pemandu tersebut kerana perbuatannya yang memalukan pemandu tersebut. Malahan, Zahida gagal untuk menuntut jumlah yang diambil oleh pemandu kerana tiada bukti yang kukuh pemandu itu mengambil wang tersebut.

Tidak berpuas hati dengan keputusan ini. Zahida merayu di Mahkamah Rayuan. Jadi Mahkamah Rayuan meneliti semula kes Zahida. Setelah mendengar hujahan dari kedua-dua peguam dan meneliti bukti-bukti.

Mahkamah Rayuan tidak bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi dan memutuskan perbuatan Zahida bukanlah memalukan tetapi ada justifikasi sebenar atau ulasan yang betul. Memang wangnya telah diambil oleh pemandu. Jadi kenyataannya bukan fitnah. Kalau dikatakan memalukan juga, sebenarnya kenyataan itu tidak akan keluar jika tidak disebabkan perlakuan pemandu itu sendiri. Betul juga! Siapa suruh curikan?

Memandangkan kuasa Mahkamah Rayuan lebih besar dari Mahkamah Tinggi, jadi keputusan Mahkamah Rayuan bahawa Zahida tidak perlu membayar ganti rugi fitnah/memalukan perlu diikuti. Malahan pemandu itu perlu memulangkan semula duit Zahida.

Pemandu tersebut tidak berpuas hati dengan Zahida, jadi dia merayu ke Mahkamah Persekutuan dan pada Januari 2019, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan atas alasan yang sama bahawa kenyataan Zahida adalah justifikasi.

Begitulah undang-undangnya. Perkara betul. Siapa suruh curikan? Kalau tak kerana perbuatan sendiri, tidak akan muka kita terpampang di sana sini. Semuanya dek kerana perbuatan sendiri.

Kalau benar berlaku penipuan dengan niat untuk orang awam berwaspada dan tidak menjadi mangsa, mungkin boleh jadi alasan. Jika niat hendak menjatuhkan orang atau menyalahkan orang lain atau irihati, perbuatan menularkan itu salah dan akan diambil tindakan undang-undang.

Hati-hati sewaktu berkongsi. Jika tidak yakin benar jangan kongsi! Saya kongsikan berita kes Zahida dan juga muka depan laporan kes Zahida di sini.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: