HIGHWAY OF TEARS

Papan tanda “GIRLS DON’T HITCHHIKE ON THE HIGHWAY OF TEARS” adalah salah satu papan tanda yang dapat dilihat sekiranya anda melalui lebuhraya Yellowhead atau lebih dikenali sebagai Highway of Tears di Canada.

Bahagian bawah papan tanda tersebut juga dipaparkan gambar beberapa wanita dan remaja perempuan. Siapakah mereka?

Hitchhike adalah perbuatan menahan dan menumpang kenderaan orang lain untuk ke sesuatu tempat. Selalunya dilakukan oleh para pelancong untuk menjimatkan kos.

Tahun 1970, tahun di mana bermulanya kes-kes kehilangan dan juga pembunuhan ramai wanita. Mayat-mayat ini telah ditemui di sepanjang “Highway of Tears” ini.

Sehingga tahun 2019, jumlah kes pembunuhan yang melibatkan lebuhraya ini adalah sebanyak 18 orang, walau bagaimanapun, pihak berkuasa mengesyaki bahawa jumlah sebenar kematian adalah lebih tinggi.

Menurut penyiasat kes ini, mereka berdepan kesukaran untuk menyiasat kes ini kerana kawasan lebuhraya ini sangat sunyi dan terasing daripada kawasan lain. Kebanyakan mayat yang ditemui telah lama mati dan menyukarkan proses mendapatkan bukti.

Ramai daripada mangsa terdiri daripada wanita penduduk asal atau asli di situ. Hal ini mendatangkan sedikit kontroversi di mana mungkin berlaku ketidak adilan dalam sistem yang menyebabkan kes melibatkan penduduk asli tidak mendapat siasatan yang sewajarnya.

Unit yang ditugaskan untuk menyiasat kes iaitu E-PANA hanya ditubuhkan pada tahun 2005 sedangkan kes ini bermula sejak 1970 lagi.

Terdapat juga dakwaan daripada ahli keluarga mangsa bahawa pihak berkuasa telah mengabaikan kes tersebut kerana menganggap kebanyakan mangsa dalam keadaan mabuk, merupakan seorang pelacur ataupun memberi keizinan untuk melakukan seks sebelum kehilangan dan juga pembunuhan berlaku. Jadi pihak berkuasa menganggap bahawa mangsa-mangsa ini sendiri menjadi sebab kepada kejadian yang menimpa diri mereka.

Walaupun kes-kes ini berlaku di tempat yang sama, namun sebenarnya pembunuh yang bertanggungjawab melakukan pembunuhan-pembunuhan ini adalah orang yang berbeza.

Sehingga kini kebanyakan kes-kes ini masih belum berjaya diselesaikan dan hanya lima orang suspek kes-kes ini yang telah dijatuhi hukuman. Suspek terakhir yang dijatuhi hukuman ialah Cody Alan Legebokoff.

Legebokoff telah membunuh tiga orang wanita dan seorang remaja perempuan pada tahun 2009 dan 2010. Dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa parol pada 2014 sehingga kini.

Semasa ditahan pihak berkuasa, Legebokoff berada dalam keadaan berlumuran darah, begitu juga dengan beberapa peralatan yang berada di dalam traknya.

Apabila disoal, dia mengatakan dia baru selesai memburu dan membunuh rusa. Tiada rusa yang ditemui sebaliknya pihak polis menemui dompet salah seorang mangsa bernama Loren Leslie.

Jika anda seorang yang suka melancong, perlulah bersikap hati-hati dan tidak mudah percaya dengan sesiapapun kerana anda tidak tahu mungkin orang tersebut mempunyai niat buruk terhadap anda.

DISCLAIMER:

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: