Kematian yang sepi (Kodokushi)

Di Jepun, banyak kes warga tua yang mati seorang diri tanpa pengetahuan orang lain sehinggakan ada beberapa syarikat mencari makan dengan cara menawar servis perkhidmatan mengemaskan kediaman si mati ini. Fenomena kematian sepi ini dipanggil Kodokushi.

Kali pertama saya mendapat tahu tentang syarikat begini yang saya rasakan begitu ‘rare’ berbanding mana-mana negara di dunia setelah saya menonton siri Undercover Asia di Channel 732, Astro. Memang ‘rare’.

Dokumentari itu membawa penonton ke rumah si mati dan menunjukkan proses bagaimana syarikat ini mengemas rumah tersebut. Salah satu rumah yang ditunjukkan adalah si mati, meninggal di atas sofa di ruang tamu.

Mayat telah dibersihkan, segala ulat-ulat telah dibuang, “Lihat, kesan hitam ini adalah kulit si mati yang terlekat di sini”, kata pekerja pembersihan. Fuh! Geli-geleman juga membayangkan kerja-kerja mereka ini. Bayangkan waktu mula-mula mengemas bau mayat yang telah meninggal dunia beberapa hari, pasti menusuk hidung.

Tambah pula si mati meninggalkan rumah yang kotor. Proses mengemas bukanlah mudah. Setelah diselidik, si mati ini langsung tidak berhubung dengan orang luar. Bersendirian. Sehinggakan bekalan elektrik dipotong, pun masih tinggal seorang diri dalam kegelapan.

Berdasarkan, statistik dan anggaran, setiap tahun hampir 30,000 kematian secara Kodokushi ini. Sehingga syarikat-syarikat pembersihan ini menawarkan pelbagai pakej pembersihan termasuklah pakej insurans yang memberikan pelindungan kepada pemilik rumah dimana si mati ini ditemui.

Malahan ada yang menambah khidmat sehingga memberikan wang pampasan bagi kehilangan bayaran sewa dan juga servis ritual keagamaan bagi membersihkan rumah tersebut dari roh.

Berdasarkan undang-undang hartanah di Jepun iaitu “ Real Estate Transaction Law”, ejen hartanah perlulah memberitahu bakal penyewa tentang perkara yang telah berlaku kepada penyewa sebelumnya.

Menyembunyikan perkara buruk yang pernah berlaku di hartanah tersebut boleh menyebabkan pemilik hartanah berdepan liabiliti.

Walaupun Kodokushi ini telah bermula diketahui sekitar tahun 1980 namun kes paling mula mendapat perhatian betapa seriusnya fenomena ini, pada tahun 2000 apabila mayat seorang lelaki berusia 69 tahun ditemui dirumahnya selepas 3 tahun.

Kenapa orang tidak sedar lelaki ini mati? Kerana setiap bulan, jumlah sewaan dan bayaran utiliti rumah sewa lelaki ini ditolak secara auto debit dari bank setiap bulan sehinggalah simpanan bank lelaki tersebut telah habis dan bayaran yang boleh ditolak.

Kehidupan si mati ini, sebatang kara. Tiada keluarga. Kalau ada pun tidak berhubung antara satu sama lain. Jiran-jiran juga tidak ambil tahu.

Selain fenomena Hodokushi, Jepun juga kini berdepan dengan masalah Hikikomori, iaitu keadaan di mana golongan muda di sana menolak untuk bersosial, lebih suka menyendiri sehingga tidak meninggalkan rumah selama beberapa tahun.

Salah satu faktor penyebab hal ini berlaku adalah kemajuan teknologi di mana mereka lebih gemar menghabiskan masa di internet, media sosial dan juga permainan video.

Nasib baik di Malaysia ini, kita sentiasa mengamalkan dan mengalakkan budaya sentiasa berkunjung antara satu sama lain. Terutama sewaktu musim perayaan. Malahan dalam Islam juga dilarang memutuskan silaturrahim dan digalakkan sentiasa menjaga hubungan sesama manusia.

Jadi anak-anak generasi muda sekarang perlu dididik tentang kepentingan menjaga silaturrahim. Jangan terlalu menyendiri, kurangkan kegilaan teknologi. Sewaktu hidup, jaga hubungan sesama manusia supaya tidak menjadi kera sumbang.

DISCLAIMER:

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: