Menyaman kerana mengakibatkan susah hati, kemurungan atau apa sahaja yang memberi kesan kepada mental?

Bolehkah kita menyaman orang kerana mengakibatkan susah hati, kemurungan atau apa sahaja yang memberi kesan kepada mental?

Contohnya susah hati kerana orang tak bayar hutang. Susah hati orang mencemarkan nama kita atau misalnya susah hati kerana dianiaya.

Tindakan menyaman akibat masalah kepayahan atau susah hati, depresi kemurungan ini sering dilaporkan di mahkamah. Semua ada hak untuk menyaman cuma bezanya sama ada mahkamah akan membenarkan tuntutan ini dan memberikan ganti rugi bagi jenis kepayahan ini.

Di mahkamah di Malaysia, bagi kes-kes yang menyebabkan ganti rugi hati dan perasaan adalah berdasarkan ganti rugi dibawah undang-undang tort iaitu dengan sengaja menyebabkan ‘nervous shock’.

‘Nervous shock’ ini membawa maksud kecederaan pada psikologi atau mental. Di mahkamah kalau peguam hendak menyokong hujahnya atau hakim hendak memberikan alasan keputusan bagi tuntutan nervous shock selalu akan merujuk kepada kepada kes prinsip undang-undang dalam kes Wilkinson v. Downton (1897).

Dalam kes Wilkinson ini, Defendan (orang yang disaman) kononnya hendak melawak, telah menipu Plaintif (orang yang saman) bahawa suaminya telah terlibat dalam kemalangan teruk sehingga menyebabkan kedua-dua kaki suaminya patah.

Plaintif percaya lawak bodoh ini sehingga menyebabkan dia mengalami nervous shock yang teruk sehingga sakit. Mahkamah memutuskan akibat nervous shock yang dialami maka, Plaintif ada sebab yang baik untuk menyaman.

Mungkin ada yang baca dan rasa kes ini kelakar. Tapi kena faham juga pemfaktoran masa kes ini berlaku tahun 1897. Plaintif percaya mungkin sebab suami dia berjauhan dengannya, zaman dulu-dulu. Kerja jauh-jauh. Orang kata suami cedera teruk, patah kaki. Susahlah hati dia.

Zaman dahulu, kebebasan wanita tidak macam sekarang. Semuanya terhad. Hendak cari kenderaan untuk menemui suami pun tak macam sekarang. Bersepah-sepah. Jadi bayangkan dia yang ditipu dengan lawak bodoh, dapat tahu pula suami itu cedera. Susah hati sampai sakit.

Namun begitu, walaupun telah bertahun-tahun kes ini masih dijadikan sandaran kepada hujahan di Mahkamah bagi kes yang melibatkan ‘Intentionally causing nervous shock’. Kata kuncinya ‘intentionally’ bermaksud dengan sengaja. Kalau tidak sengaja.

Contohnya saya tidak membalas cinta seseorang. Hahah. Secara tidak sengaja tiba-tiba orang itu mengalami kemurungan dan depresi. Maka dia tidak boleh saman saya kerana saya tidak secara sengaja menyebabkan depresi tersebut. Contoh poyo, tak mahu anda mengantuk membaca. Topik undang-undang selalu sedikit bosan.

Kalau kes tuntut hutang, perbuatan tidak bayar hutang. Berjalan-jalan check in hotel, pergi bercuti dan makan sedap-sedap sehingga menyebabkan si pemberi hutang itu murung, terkilan dan menyebabkan kepayahan sehingga hendak bayar yuran sekolah anak, itu dikira sengaja.

Wajib tuntut hutang dan wajib kita ajar dengan tuntut ganti rugi kepayahan. Jenis manusia tidak kenang budi.

Tetapi ganti rugi bagi Intentionally causing nervous shock ini tidak boleh berdiri dengan sendirinya. Maksudnya perlu dituntut dengan tuntutan lain barulah kuat tuntutan itu. Misalnya dalam kes MOHD RIDZWAN ABDUL RAZAK v. ASMAH HJ MOHD NOR [2016] 6 CLJ 346.

Asmah telah membuat aduan berkenaan gangguan seksual terhadap Ridzwan kepada Human Resource (HR) tempat mereka bekerja. Ridzwan dipanggil bagi siasatan dalaman. Lembaga siasatan mendapati bahawa tidak ada cukup elemen gangguan seksual oleh Ridzwan. Namun Ridzwan diberi amaran keras.

Ridzwan tidak berpuas hati dengan tindakan Asmah kerana menyatakan semuanya adalah fitnah dan membuat laporan tanpa bukti yang kukuh. Ridzwan meminta agar syarikat tempat mereka bekerja mengambil tindakan displin terhadap Asmah. Namun tiada tindakan oleh syarikat.

Tidak berpuas hati, Ridzwan membawa kes ini hingga ke mahkamah dan menyaman Asmah. Asmah mengemukakan tuntutan balas kerana gangguan seksual oleh Ridzwan dan menyebabkan Asmah mengalami kerugian. Tuntutan Ridwan kalah tetapi tuntutan Asmah menang.

Asmah telah mengemukakan kesemua bukti-bukti gangguan seksual tersebut.Asmah mendapat RM100,000 bagi gangguan seksual dan RM20,000 kerana Ridzwan menyebabkan kemurungan teruk kepada Asmah.

Ridzwan tidak berpuas hati merayu sehingga Mahkamah rayuan. Kata peguam Ridzwan dekat Malaysia ini, mana ada sivil kes yang kausa tindakannya disebabkan ganti rugi gangguan seksual? Maknanya dia hendak kata undang-undang menuntut wang sebagai ganti rugi bagi gangguan seksual, tidak wujud.

Kedua, peguamnya juga menghujahkan bahawa undang-undang bagi ‘intentionally causing nervous shock’ belum lagi menjadi undang-undang di Malaysia. Jadi sila jangan kenalkan melalui kes Ridzwan v Asmah. Tambah lagi Asmah gagal buktikan bahawa dia alami nervous shock kerana Ridzwan. Ini hujah peguamnya.

Akhirnya, Mahkamah Persekutuan, memutuskan mereka bersetuju dengan ganti rugi RM100,000.00 bagi gangguan seksual. Namun demikian bagi ganti rugi kemurungan, elemen bagi membuktikan ‘Intentionally causing nervous shock’ gagal dibuktikan dengan teliti dan diselami dengan tepat.

Berdasarkan kes ini Mahkamah berpendapat bawah untuk memulakan saman bagi ‘Intentionally causing nervous shock’ perlu membuktikan mangsa mengalami cedera physical harm. Sebab dalam kes ini saksi seorang pakar sakit jiwa, “secara luarannya Asmah nampak normal tetapi dalamannya, dia terkesan”.

Pendek kata begini. Mahkamah Persekutuan tidak kata tidak boleh. Boleh untuk saman bagi ganti rugi nervous shock tetapi pembuktiannya tinggi. Perlu ada surat dari doktor kata depresi atau kemurungan. Perlu nampak kesan jelas.

Yang paling utama kes ini mengangkat prinsip bahawa pelaku seksual itu bukan sahaja boleh didakwa secara jenayah malahan secara sivil. Mangsa bukan sahaja boleh mendapat keadilan apabila pelaku dihukum jenayah tetapi mendapat ganti rugi.

Sebarkan tulisan ini, manalah tahu mangsa-mangsa gangguan seksual yang tidak mendapat keadilan ditempat kerja atau dimana-mana sahaja mereka. Jom sedekah ilmu.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: