
Billie Jean (23) dan tunangnya Billy Payne (36) ditemui mati dirumah mereka manakala anak mereka yang berusia tujuh bulan tidak dicederakan ditemui dalam dakapan ibunya.
Terdapat kesan tembakan pada kepala mereka selain kesan kelaran di leher Billy manakala anak mereka berlumuran dengan darah ibubapanya. Sudah semestinya semua orang membayangkan orang yang sanggup melakukan perkara ini berperwatakan garang dan terlihat kejam bukan?
Media sosial adalah satu platform yang menghubungkan ramai orang dan seperti orang lain, pasangan ini juga mempunyai akaun Facebook yang membolehkan mereka berkawan di alam maya. Salah seorang rakan mereka di Facebook bernama Janelle Potter.

Janelle (31) ialah seorang wanita mempunyai masalah pembelajaran dan berfikiran seperti kanak-kanak. Dia tidak bekerja dan tinggal bersama ibu bapanya Barbara dan Marvin Potter. Dia juga sentiasa berseorangan, tidak mempunyai kawan dan pernah menjadi mangsa buli sepanjang zaman persekolahannya. Disebabkan ini, internet manjadi satu-satunya tempat yang membolehkan Janelle berinteraksi secara bebas dengan orang lain.
Berasa kasihan melihat Janelle, adik perempuan Billy memperkenalkan abangnya kepada Janelle. Billy pula memperkenalkan Janelle kepada sepupunya yang bernama Jamie Curd yang kemudiannya menjadi teman lelaki Janelle. Walaupun mempunyai teman lelaki, Janelle sebenarnya menyukai Billy.
Mungkin dalam fikiran Janelle, Billy adalah lelaki pertama yang memberi perhatian kepadanya jadi apabila Billy berjumpa dengan teman wanitanya Billie Jean setahun kemudian, sikap Janelle mula berubah walaupun pada mulanya mereka berkawan.
Janelle mula memberitahu ibunya bahawa dia telah dibuli oleh rakan-rakannya di alam maya terutamanya Billie Jean. Janelle mendakwa mereka telah menghantar mesej kejam yang mengatakan bahawa dia terlalu cantik untuk hidup.
Janelle mula menghina dan melakukan ugutan terhadap pasangan itu di Facebook yang menyebabkan Billie Jean dan Billy bertindak untuk “unfriend” Janelle di Facebook. Perkara ini menambahkan lagi kemarahan Janelle terhadap pasangan itu.

Apabila siasatan dimulakan, pihak polis turut menyoal Janelle dan dia mengatakan bahawa Billie Jean dan Billy kerap menggodam akaun Facebooknya. Mereka juga menyoal dan melakukan ujian pengesanan penipuan (polygraph test) ke atas teman lelaki Janelle, Jamie Curd. Selain gagal dalam ujian itu, Jamie juga bertanyakan soalan yang dianggap pelik oleh pihak polis iaitu “Is the CIA here?
Satu soalan yang menimbulkan kekeliruan kerana mengapa pula pihak CIA akan datang untuk menyiasat kes bunuh di pekan kecil seperti ini? Tidak lama selepas itu, Jamie mula mengaku bahawa dia berada bersama bapa Janelle, Marvin semasa lelaki itu menembak mati Billie Jean dan Billy.
Menurut Marvin, dia melakukan pembunuhan itu atas galakan daripada seorang ejen CIA bernama Chris. Polis menemui beberapa beg yang mengandungi salinan email daripada ejen CIA ini yang memberi amaran bahawa Janelle dalam bahaya dan dia bertugas untuk melindungi Janelle.
Menurut email dari Chris kepada keluarga Potter, dia mempunyai maklumat bahawa Billy merupakan penjual dadah manakala Billie Jean adalah seorang pelacur dan mereka ingin merogol serta membunuh Janelle.

Anehnya, kesemua email daripada Chris ini sebenarnya datang daripada komputer milik Janelle Potter sendiri. Selain itu, email-email itu juga mempunyai kesilapan ejaan dan tatabahasa yang selalu dilakukan oleh Janelle.
Chris dan ibu Janelle, Barbara kerap berbalas email hingga ke satu tahap, Barbara mula memanggil Chris “son” dan Chris memanggil Barbara “mom”. Dalam satu email Barbara kepada Chris, Barbara ada menggambarkan keingginan untuk melihat pasangan Billie Jean dan Billy yang membuli anaknya mati.
Pihak pendakwa raya percaya bahawa Janelle telah mencipta identiti Chris, seorang ejen CIA untuk memperdaya ibubapa dan teman lelakinya serta mendesak bapanya untuk membunuh pasangan Billie Jean dan Billy. Perbuatan ini dikenali sebagai “catfishing”.
Peguam bela Janelle mendakwa tahap pemikiran Janelle adalah seperti kanak-kanak berusia lapan atau sembilan tahun tetapi menurut pendakwa raya “ She may be on a fourth-grade level, but she has a Ph.D in manipulation”.

Pada tahun 2013, Marvin didapati bersalah di atas pembunuhan Billie Jean dan Billy Payne dan dikenakan hukuman penjara seumur hidup manakala Jamie Curd berdepan 25 tahun penjara. Janelle dan ibunya pula didapati bersalah bagi tuduhan membunuh darjah pertama dan melakukan konspirasi untuk merancang pembunuhan itu dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada tahun 2015.
Dalam kes ini kita dapat lihat bagaimana identiti palsu seseorang digunakan untuk mempengaruhi orang lain dan menyebabkan pembunuhan berlaku. Dapat juga dilihat betapa besarnya pengaruh media sosial ke atas emosi atau psikologi seseorang sehingga sanggup membunuh hanya kerana satu butang “unfriend”.
Jumlah butang “like” yang ditekan atau jumlah rakan di alam maya dianggap sebagai satu pencapaian dan menjadi suatu yang besar dalam kehidupan pada hari ini. Jika kita perhatikan, semakin banyak perkara negatif berlaku disebabkan media sosial.
Mungkin berpunca dari sikap berlumba-lumba untuk memaparkan kehidupan yang terlalu sempurna sehingga tanpa sedar menyebabkan orang lain berasa tertekan jika tidak mencapai tahap yang sama. Oleh itu, gunalah media sosial secara berhemah dan hanya untuk perkara yang positif. Sentiasa fikirkan kesan apa yang ditulis di media sosial ke atas orang lain.
DISCLAIMER:
Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.