Perjalanan Menjadi Peguam #1

Buat adik-adik yang bercita-cita hendak menjadi peguam atau ibu bapa yang ingin menanam minat anak-anak menjadi peguam, saya kongsi kategori ini dalam laman web ini supaya dapat serba sedikit garis panduan bagaimana hendak menjadi peguam atau kerjaya sebagai peguam.

Kadangkala perspektif negatif dan salah anggapan terhadap kerjaya sebagai peguam, menyebabkan kita terasa demotivated atau hilang semangat untuk mengejar cita-cita sebagai peguam.

Kadangkala juga mungkin tidak ada panduan atau tunjuk ajar dari yang mempunyai kerjaya berlatar belakangkan undang-undang menyebabkan kita tidak tahu arah mana yang hendak dituju.

Atau mungkin juga kerana kurang keyakinan diri atau tanggapan bahawa profesion ini lebih kepada golongan tertentu atau berada menyebabkan kita tidak yakin memilih.

Atau mungkin juga keputusan peperiksaan tidak straight A merasakan kita tidak layak menyambung pelajaran sehingga ke peringkat undang-undang.

Atau mungkin juga kita ini jenis yang pendiam dan kurang berinteraksi. Kata orang hendak menjadi peguam biar yang jenis bercakap.

Ah! Itu semua tanggapan. Tanggapan tidak semestinya betul. Kadangkala tanggapan juga adalah mitos. Tidak tepat! Kita jangan mudah percaya kepada tanggapan orang tanpa pembuktian yang tepat.

Nampak! Perlu ada spirit pelajar undang-undang kalau hendak menanam cita-cita sebagai pelajar undang-undang. Spiritnya perlu ada.

Kalau di mahkamah, setiap apa yang diutarakan perlukan bukti. Sebagai pelajar undang-undang dan bakal peguam, kita juga perlu praktiskan yang sama. Kalau hendak dengar cerita-cerita orang biar ada bukti.

Di mahkamah, hakim tidak boleh menilai melalui bukti hearsay iaitu ‘saya dengar orang itu cakap’. Bukti perlu sahih datang dari orang yang melihat dan mengalami. Bukan dengar atas dengar atau dengar atas lihat!

Sebab itu, ada prinsip undang-undang adalah Innocent until proven guilty. Ini adalah hak tertuduh yang dibicarakan di Mahkamah Jenayah dan ianya terkandung dalam Artikel 11, PERISYTIHARAN HAK ASASI MANUSIA SEJAGAT (Universal Declaration of Human Rights)

Bermaksud ‘setiap orang yang dituduh dengan kesalahan adalah berhak dianggap tidak salah sehingga dibuktikan salah menurut undang-undang’. Jelas, undang-undang ini perlukan bukti. Jangan kita terus buat kesimpulan.

Begitu juga tentang kerjaya berasaskan undang-undang, jangan kita mengadili peguam itu pekerjaan yang jahat atau hakim ini sebelah kakinya di syurga atau sebelah di neraka. Sebenarnya semuanya terletak pada individu, jika kita berjaya menjalankan secara amanah dan telus, maka teluslah hasilnya.

Dalam slot tulisan “Perjalanan menjadi peguam”, saya akan kongsikan tentang segala pengalaman dari sekolah, universiti sehinggalah pengalaman kerja sebagai peguam, garis panduan, ilmu undang-undang, trivia dan apa-apa yang relevan.

Semoga tulisan atau perkongsian slot ini dapat memberikan gambaran tentang bagaimana hendak menjadi peguam atau memberi semangat untuk menanam cita-cita sebagai peguam.

Tulisan seterusnya saya akan kongsikan mitos-mitos salah faham kerjaya peguam.

Ditulis oleh Nor Zabetha
Peguamcara dan Peguambela
Beramal dan berdaftar di Mahkamah Tinggi Malaya sejak 2009

DISCLAIMER:

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: