
Tempoh hari ada anak guam yangberjumpa dengan saya, katanya dia telah ditipu puluhan ribu ringgit oleh seorang scammer. Tambahnya lagi sudahlah duit ditipu, selepas buat laporan polis tiada pula tindakan dari pihak polis. Tapi kenapa?
Ini bukan kali pertama. Sudah banyak kali saya ditanya soalan ini. Biasanya selepas laporan polis dibuat pihak polis akan mengisukan satu surat kepada Pengadu bahawa kes ini perlu dirujuk pada Majistret.
Dalam kata lain, kes ini bukanlah kes jenayah tetapi kes sivil dan anda perlu melantik peguam untuk menuntut secara sivil terhadap pelaku.
Ramai yang ingin meneruskan secara siasatan jenayah kerana hukuman yang mungkin menekan dan memaksa tertuduh membuat bayaran, tiada kos guaman untuk tindakan berbanding sivil kerana kes sivil anda perlu melantik dan membayar yuran guaman manakala prosiding jenayah kes akan dikendalikan oleh pendakwaraya tanpa kos.

Dalam Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) di BAB XIII, MAKLUMAT KEPADA POLIS DAN KUASA MENYIASAT, ada diperuntukkan garis panduan undang-undang bagi tugasan pihak polis dan prosedur membuat laporan polis sehingga tindakan susulan yang perlu diambil. Tetapi saya tidak mahu cerita tentang seksyen undang-undang, saya mahu cerita secara praktikal.
Ada perbezaan laporan yang akan disiasat dan diambil tindakan secara jenayah dan tidak. Mana-mana kesalahan di bawah Kanun Keseksaan (KK) yang ada dalam Jadual Pertama kesalahan jenayah dalam (KTJ) akan diteruskan dengan siasatan dan tindakan lanjut oleh polis. Jadual Pertama ini, secara asasnya mengandungi semua jenis kesalahan jenayah KK.

Bermakna sekiranya,laporan anda itu tidak mengandungi unsur-unsur jenayah yang dilakukan oleh Pelaku jadi berkemungkinan siasatan tidak akan diteruskan. Misalnya begini anda ingin membuat laporan terhadap seseorang yang menipu dan mengambil duit anda. Kesalahan ini secara jelas dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dan secara tidak jujur telah mendorong untuk menyerahkan harta atau wang.
Laporan polis anda perlu ada elemen-elemen seperti 1) Menipu dan secara tidak jujur 2) Dorongan untuk menyerahkan harta atau wang 3) Harta atau wang yang diserahkan. Ketiga-tiga elemen ini perlu ada.
Misalnya cukup elemen 1 dan 2 tiba-tiba anda tergerak hati dan anda hasil siasatan anda projek yang dijanjikan tidak pernah wujud.
Anda kemudian menghentikan pindahan wang dan anda buat laporan polis tetapi anda masih buat laporan polis bagi penipuan projek yang tidak wujud. Laporan begini tiada siasatan lanjut atau tindakan polis.
Begitu juga dengan kes-kes lain sekiranya tidak cukup elemen jenayah, maka tiada siasatan atau tindakan lanjut oleh polis.
Berkenaan apa elemen jenayah, saya tidak mahu jelaskan secara terperinci disini kerana bimbang ilmu ini disalahguna oleh scammer atau pelaku untuk digunapakai supaya tidak menjadi elemen penipuan dan kes polis tidak akan diteruskan. Ramai nanti yang menjadi mangsa.
Surat pemberitahuan di bawah adalah merupakan contoh sekiranya kes tidak diteruskan secara siasatan jenayah.

Berikut sedikit tips yang boleh dipertimbangkan:-
1. Kaji selidik dulu kesalahan pelaku, apakah elemen-elemen jenayah pelaku.
2. Buat deraf laporan polis sebelum ke balai polis dan pastikan terdapat elemen jenayah.
3. Berhati-hati dalam pemilihan ayat bagi setiap laporan polis dan pastikan supaya tidak menjadikan ianya sebagai tuntutan sivil.
Contohnya kalau laporan polis dibawah Seskyen 420 perlu ada elemen tipu daya dan dorongan. Kalau kes rogol jangan ada perkataan “Saya dengan rela hati”.
Begitulah serba sedikit panduan membuat laporan. Saya kongsi diruang komen bagaimana bacaan pertuduhan di Mahkamah di bawah Seksyen 420 supaya anda tahu serba sedikit ayat dan elemen jenayah dalam kes penipuan ini. Anda boleh share status ini supaya lebih ramai yang bijak dan tahu bagaimana hendak membuat laporan yang betul.
DISCLAIMER:
Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.
Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.