The Basement Dad- Kekejaman Josef Fritzl

Elisabeth Fritzl hanya berumur 11 tahun ketika bapanya Josef Fritzl mula menderanya. Dia kemudiannya melarikan diri dari rumah dan bersembunyi di Vienna sebelum ditemui oleh pihak polis dan dikembalikan ke rumah ibu bapanya. Ketika Elisabeth berumur 18 tahun (1984), dia dipanggil oleh bapanya untuk membantu membawa pintu daripada  ruang bawah tanah rumah mereka.

Malangnya, tanpa pengetahuan Elisabeth, pintu tersebut merupakan pintu yang akan digunakan sebagai pintu bilik yang akan menjadi tempat kurungannya untuk 24 tahun akan datang.

Josef meminta Elisabeth memegang pintu tersebut untuk dipasangkan sebelum menekap satu tuala yang telah dibasahkan dengan sejenis bahan kimia ke mukanya. Elisabeth yang tidak sedarkan diri kemudiannya dibawa ke dalam bilik kurungannya.

Setelah kehilangan Elisabeth, ibunya Rosemarie ada membuat laporan. Josef walau bagaimanapun telah memaksa Elisabeth menulis surat yang kemudiannya diserahkan kepada pihak polis sebulan setelah Rosemarie membuat laporan.

 Menurut surat tersebut, Elisabeth menyatakan dia tinggal bersama rakannya sekarang dan mengugut untuk keluar negeri jika ibubapanya mencari dia. Josef juga memberitahu pihak polis bahawa Elisabeth telah menyertai satu kultus keagamaan (Religious Cult).

Apa yang menyedihkan ialah Elisabeth bukan setakat dikurung oleh bapanya sendiri tetapi dia juga turut dirogol oleh Josef berulang kali hingga melahirkan anak. Tiada rawatan diberi sepanjang tempoh kandungan dan semasa dia melahirkan, bapanya hanya menyediakan pembasmi kuman (disinfectant), gunting dan juga sebuah buku lama mengenai kelahiran.

Rumah Keluarga Fritzl.

Sepanjang tempoh kurungan itu, Elisabeth telah melahirkan tujuh orang anak yang tiga daripadanya tinggal bersama bapa dan ibunya di rumah mereka sebagai anak angkat manakala seorang lagi anaknya yang mati semasa dilahirkan, mayatnya dimasukkan ke dalam pembakar (incinerator) untuk dilupuskan.

Menurut pihak berkuasa, walaupun kerap menerima kunjungan Pekerja Sosial yang memantau keadaan anak-anak angkat ini, tetapi tiada apa yang mencurigakan mengenai keluarga Fritzl.

Elisabeth juga dipaksa bapanya untuk menonton video pornografi dan setelah itu mengulangi apa yang dilakukan dalam video tersebut bersama Josef didepan anak-anaknya. Tujuannya adalah untuk memalukan Elisabeth. Josef juga memberi amaran kepada Elisabeth dan anak-anaknya yang mereka akan dibunuh jika cuba melarikan diri.

Perbuatan Josef hanya dikesan setelah anak perempuan sulung Elisabeth bersama Josef, Kerstin pengsan akibat kegagalan buah pinggang dan memerlukan bantuan perubatan. Josef membawa sepucuk surat yang kononnya daripada ibu Kerstin kepada pihak hospital namun pegawai perubatan mendapati apa yang diceritakan oleh Josef mengelirukan.

Pihak hospital kemudiannya menghubungi pihak polis sebelum kes kehilangan Elisabeth dibuka semula. Josef Fritzl ditahan pada 26 April 2008 pada usia 73. Pasti ramai yang tertanya-tanya bagaimana mungkin Elisabeth berjaya dikurung oleh bapanya selama puluhan tahun tanpa disedari sesiapa termasuk ibu dan adik beradiknya yang lain.

Semasa siasatan dijalankan, Josef memberitahu cara untuk memasuki ruangan bawah tanah tempat kurungan Elisabeth yang hanya boleh dimasuki melalui sebuah pintu kecil  yang tersembunyi dan hanya  boleh dibuka menggunakan kod rahsia.

Bilik tersebut mempunyai dua pintu yang salah satunya seberat 500 kg dan satu lagi seberat 300 kg. Pintu ini terletak di belakang sebuah rak di dalam bengkel bawah tanah Josef. Pintu ini turut dilindungi oleh kod elektronik yang perlu menggunakan sebuat alat kawalan. Untuk sampai ke bilik kurungan Elisabeth, penyiasat perlu melalui sebanyak lima lagi bilik yang dikunci. Bilik kurungan tersebut juga dilengkapi dengan tandas, katil, ruangan memasak dan juga peti sejuk.

Menurut laporan dari seorang pakar sakit jiwa forensik (forensic psychiatrist), Josef Fritzl mengalami beberapa masalah personaliti yang teruk seperti  “Borderline Personality Disorder”, “Schizotypal” dan “Schizoid” yang mungkin berpunca dari zaman kanak-kanak yang tidak gembira bersama ibunya. Dia juga turut mengaku telah mengurung ibunya di loteng sehinggalah kematian ibunya.

Pada November 2008, Josef Fritzl didakwa atas kesalahan membunuh, merogol, sumbang mahram, menculik, dan perhambaan dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa parol selama 15 tahun pada Mac 2009.

Walaupun Elisabeth dan anak-anaknya telah menerima  rawatan secara dan secara fizikalnya berada dalam keadaan yang baik, namun kesan terhadap mental mereka mungkin kekal selama-lamanya. Terdapat juga laporan bahawa, Elisabeth menyalahkan ibunya ke atas apa yang terjadi. Ini kerana dia merasakan bahawa, ibunya hanya mendiamkan diri tentang apa yang dilakukan bapanya sepanjang dia membesar.

Persekitaran akan mempengaruhi pemikiran atau tingkah laku seseorang itu sepanjang hidupnya. Kadang-kala kita tidak sedar perbuatan yang kita tontonkan kepada kanak-kanak akan memberi kesan besar dalam hidupnya pada masa hadapan seperti dalam kes ini, perbuatan tidak bermoral Josef Fritzl turut berpunca daripada perbuatan ibunya yang mengabaikan Josef semasa dia kecil.

DISCLAIMER:

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: