Kes fitnah atau defamation atau saman malu ini memang setiap hari berlaku.
Apa tidaknya pada kadar harian puluhan ribu atau ratusan ribu status yang dimuat naik oleh individu di semua saluran internet atau media sosial tetapi tidak banyak yang dibawa ke mahkamah untuk tujuan ganti rugi atas beberapa sebab.

Kenapa? Sebabnya….
1) Ini paling utama sebab kos. Kos guaman yang tinggi antara salah satu penyebab.
2) Sudah ada permohonan maaf dari si penulis dan mangsa berpuas hati.
3) Elemen fitnah tidak cukup kerana kebiasaannya dinasihatkan supaya tidak diteruskan. Misalnya perkataan itu bukanlah fitnah tetapi perkara benar atau sebenarnya perkataan itu tidak menyebabkan jatuh reputasi pun.
4) Rata-rata orang tidak mahu memanjangkan cerita dan hendak move on berbanding menghadapi proses turun naik mahkamah.

5) Kerana pihak-pihak bimbang dengan membawa ke mahkamah akan lebih memburukkan keadaan. Kes defamation ini kebiasaannya berlaku akibat rasa tidak puas hati dan/atau ingin membongkarkan sesuatu. Jadi berkemungkinan sewaktu memberi keterangan lebih banyak rahsia-rahsia dari kedua-dua pihak akan terbongkar.
Perbalahan antara bekas kekasih, pesaing, musuh ‘turun-temurun’ yang kebiasaanya menyimpan pelbagai rahsia. Jika diteruskan kes ke mahkamah habislah rahsia luar dalam keluar sewaktu perbicaraan.
Contohnya bekas teman wanita yang menceritakan rahsia bekas teman lelakinya di media sosial dan menjadi viral. Untuk memastikan tulisan itu tidak benar, maka peguam teman lelaki perlu mengupas setiap kenyataaan dikeluarkan adakah benar atau berbentuk fitnah. Jadi, bagi tujuan mengupas ini, banyaklah rahsia akan keluar. Lebih memburukkan keadaan.
Kebiasaannya di atas ini, adalah sebab-sebab kenapa tindakan defamation tidak diteruskan.
Kalau saya memang tak galakkan menulis pasal seseorang di internet, dek kerana 3 4 baris tulisan kita sampai ke mahkamah, sampai bayar peguam, sampai susah hati tak tidur malam. Macam-macamlah. Buat apa serabutkan kepala, cuba hidup tenang-tenang sudah.

DISCLAIMER:
Tulisan ini di tulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.
Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.