Individu boleh DIPENJARA maksimum 2 tahun atau didenda bagi penyebaran COVID-19.

Waktu cuti sekolah ini, masih ramai yang tidak ambil langkah berjaga-jaga. Tidak hairan langsung tentang penularan wabak ini. Sejak bulan Januari, syarikat penerbangan sudah mula menawarkan harga tiket penerbangan yang serendah-rendah harga. Bukan satu syarikat yang menawarkan, bahkan majoriti mereka.

Jujur saya katakan, bagi kaki jalan yang seperti saya, terliur rasanya melihat tawaran begitu tetapi fikir logik. Tawaran yang terlalu “too good to be true” ini selalunya akan ada udang disebalik batu.

Saya tidak mahu diri sendiri susah, keluarga susah dan siapa-siapa disekeliling susah kerana rasa ‘terliur’ saya yang berakhir dengan COVID-19. Setakat semalam 15/3/2020, di Malaysia seramai 428 disahkan dijangkiti virus ini. Bukan isu yang main-main.

Untuk pengetahuan semua bagi mereka yang tahu mereka dijangkiti atau percaya mereka berkemungkinan mempunyai penyakit berjangkit dan mendedahkannya kepada orang lain boleh dihukum PENJARA ATAU DENDA dibawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (APPPB).

Seksyen 12 memperuntukan bahawa jika anda tahu anda berpenyakit atau percaya anda mempunyai sesuatu penyakit berjangkit kemudian mendedahkan orang lain kepada risiko jangkitan dengan cara pergi ke tempat awam dan menggunakan kemudahan lain, maka ini adalah kesalahan di bawah Akta ini.

Ingat kata kunci atau elemen khusus dalam Seksyen 12 ini adalah “anda tahu”, kalau pun anda tidak tahu “anda mempunyai sebab untuk percaya anda berpenyakit” COVID-19.

Misalnya anda demam dan enggan mendapat rawatan kerana takut hendak berdepan dengan realiti sekiranya hasil pemeriksaan anda sah dijangkiti COVID-19. Nah! Di situ anda mempunyai sebab untuk percaya anda dijangkiti COVID-19 dan anda ke tempat awam seperti biasa. Ini adalah kesalahan.

Pada pendapat saya, anda tidak perlu demam untuk anda percaya anda dijangkiti. Dalam situasi COVID-19 yang menular secara pantas, dalam tempoh beberapa bulan sahaja sudah mencecah puluhan ribu seluruh dunia, saya yakin dan percaya kita semua MEMPUNYAI SEBAB UNTUK PERCAYA KITA BOLEH MENGHIDAP PENYAKIT COVID-19 ini dan sekiranya kita masih pergi ke tempat awam, menggunakan alatan awam maka kita adalah bersalah di bawah Akta ini.

Sekiranya anda di dakwa di Mahkamah, anda boleh didenda bagi kesalahan pertama maksimum 2 tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali. Kesalahan kedua atau berikutnya maksimum 5 tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.

Selain dari kesalahan dari segi Akta ini juga, ahli keluarga atau orang yang terkesan boleh menuntut dari anda secara tuntutan ganti rugi. Bukan sahaja anda berdepan dengan hukuman penjara atau denda malahan anda perlu membayar ganti rugi yang puluhan atau ratusan ribu ringgit.

Ada satu kes tuntutan ganti rugi dibawah Akta ini iaitu Kerajaan Malaysia & ORS v. Lay Kee Tee & ORS [2009] 1 CLJ 663.

Dalam kes ini 184 orang (responden-responden) yang mendakwa mengalami penderitaan akibat dari virus Nipah/Japanese Encaphalities (JE) atau waris-waris mereka yang telah meninggal dunia akibat virus tersebut atau pemilik-pemilik ladang kinzir yang terjejas oleh virus yang sama telah menuntut dari Kerajaan beberapa ganti rugi iaitu dan keseluruhannya lebih kurang RM1.6 juta.

Dalam kes ini, Responden-responden telah meminta kerajaan (perayu-perayu) supaya membunuh khinzir-khinzir bagi mengawal penyebaran virus, kemudiannya memfail tuntutan terhadap kerajaan antara lain atas alasan kerajaan cuai dan gagal bertindak dengan cepat untuk mengawal virus dari tersebar. Menurut responden-responden, perayu-perayu telah membiarkan keadaan menjadi gawat sekaligus menyebabkan mereka menanggung kerugian.

Jadi, beringat, jangan kerana hendak memuaskan rasa sendiri anda tidak ambil langkah berjaga-jaga. Berhati-hatilah. Sila kongsikan kepada yang lain-lain sebagai langkah berjaga-jaga dan waspada.

DISCLAIMER:

Tulisan ini di tulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: