Coronavirus Challenge (COVID-19)

Dalam kekalutan setiap negara berusaha menangani cabaran-cabaran yang disebabkan wabak Covid-19, ada pula “cabaran” lain yang muncul.

Cabaran baru yang dinamakan Coronavirus Challenge ini adalah satu cabaran yang dimulakan dari aplikasi TikTok oleh seorang model berusia 22 tahun bernama Ava Louise.

Berasal daripada Miami, Ava yang juga terkenal sebagai seorang model di Instagram memulakan cabaran itu pada 14 Mac yang lalu. Disebabkan video tersebut, Ava telah menerima berbagai-bagai kecaman daripada netizen.

Jadi cabaran apa yang dilakukan hingga mendatangkan kecaman daripada pelbagai pihak?

Dalam rakaman video itu tersebut Ava dilihat sedang menjilat tempat duduk tandas di dalam kapal terbang yang dinaikinya. Video yang dimuat naik itu telah pun dipadam oleh pihak TikTok kerana mendatangkan kontroversi.

Ava turut memuat naik video tersebut ke laman Twitter dengan kapsyen “Please [retweet] this so people can know how to properly be sanitary on the airplane”.

Ada juga yang berpendapat bahawa Ava patut diambil tindakan kerana melakukan sesuatu yang menggalakkan orang lain dijangkiti.

Berikutan penularan video cabaran ini, Meghan McCain seorang penulis dan personaliti televisyen turut menyelar tindakan model ini dan mengatakan bahawa dia patut dimasukkan ke dalam jel.

Menurut Ava yang mempunyai pengikut seramai 21,000 orang di aplikasi TikTok dan 170,000 orang di Instagram, dia melakukan cabaran itu bagi tujuan ‘social clout’.

‘Social Clout’ adalah istilah yang bermaksud untuk menarik perhatian pengguna-pengguna media sosial. Setakat hari ini,19 Mac 2020, video itu mempunyai 17.8 juta tontonan, 11.7 ribu kicauan (tweet) dan 43 ribu sukaan (like).

Ava juga memberitahu bahawa dia tidak mahu Coronavirus mendapat lebih perhatian daripadanya. Selain itu, dia juga yakin bahawa dia tidak akan dijangkiti virus yang telah meragut nyawa ribuan orang di seluruh dunia ketika ini.

Cabaran ini turut dilakukan oleh seorang lagi remaja. Dalam video kedua ini dapat dilihat remaja itu menjilat tempat duduk tandas yang juga di dalam kapal terbang sebanyak dua kali.

Video itu turut mempunyai kapsyen “Licking the toilet seat because I’m gross like that.”

Tiada apa-apa syarat tertentu yang perlu dipenuhi untuk melakukan cabaran ini. Untuk melakukannya, hanya perlu menjilat tempat duduk tandas.

Satu perkara yang sangat menjijikan dan mungkin membahayakan kesihatan untuk dilakukan walaupun menurut Ava dia telah mencuci tempat duduk itu selama 40 minit sebelum menjilatnya.

Dalam satu cabaran lain yang dinamakan “Skull Breaker Challenge”, seorang remaja perempuan berasal dari Brazil, didapati meninggal akibat melakukan cabaran ini.

Cabaran ini memerlukan tiga orang peserta di mana orang yang berada di kiri dan kanan akan melakukan lompatan dahulu.

Kemudian orang yang berada di tengah akan melompat dan semasa lompatan dilakukan orang yang berada di kiri dan kanan akan menendang kakinya yang akan menyebabkan dia terjatuh ke belakang. Cabaran ini juga boleh mengakibatkan kecederaan yang parah.

Jika perkara seperti ini berlaku, pihak mana yang harus disalahkan? Bolehkan dikenakan tindakan undang-undang kerana mempengaruhi orang lain untuk membahayakan diri mereka?

Kanak-kanak dan remaja sangat mudah terpengaruh dan pantang dicabar. Oleh itu pengguna media sosial perlu bertanggungjawab untuk tidak menularkan perkara-perkara berbahaya seperti ini.

DISCLAIMER:

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: