Ghost Island

Jika anda pernah menonton filem Skyfall (2012) lakonan Daniel Craig sebagai James Bond, ada satu adegan di mana Bond dan seorang wanita menuju ke sebuah pulau di mana watak penjahat dalam filem itu, Raoul Silva bersembunyi. Nampak sangat sunyi dan agak menyeramkan. Sesuailah menjadi tempat tinggal seorang penjahat.

Sesiapa yang menonton mesti merasakan pulau dengan bangunan terbiar yang dilihat dalam filem tersebut dijana menggunakan teknik janaan imej komputer (CGI). Siapa sangka tempat seperti ini benar-benar wujud.

Gunkanjima yang bermaksud “Battleship Island” atau juga dikenali sebagai Hashima Island terletak lebih kurang 20 kilometer daripada Pelabuhan Nagasaki. Pulau ini mendapat namanya kerana mempunyai bentuk yang seakan-akan sebuah kapal perang.

Pada tahun 1880-an, iaitu zaman perindustrian di Jepun, telah ditemui satu lombong arang yang berada betul-betul di bawah pulau tersebut. Lombong arang bawah tanah ini beroperasi daripada tahun 1887 hingga 1974.

Syarikat Mitsubishi telah bertanggungjawab untuk membangunkan pulau tersebut dan membina kemudahan-kemudahan seperti bangunan kediaman, sekolah, restoran, kedai, bilik mandi awam dan juga hospital. Separuh daripada penduduk di situ bekerja di lombong arang manakala yang selebihnya bekerja di sekolah, restoran dan sebagainya.

Pada suatu masa, terdapat seramai lebih 5,000 penduduk tinggal di pulau yang berkeluasan 480 meter panjang dan 150 meter lebar ini. Ini bermakna, pulau ini mempunyai kepadatan penduduk yang sangat tinggi.

Pulau ini ditinggalkan sepenuhnya setelah kehabisan arang untuk dilombong dan penggunaan arang digantikan dengan petroleum. Sejak itu pulau ini juga dikenali sebagai Ghost island.

Apa yang menyebabkan pulau ini terkenal bukanlah kerana sejarah perindustrian di situ, sebaliknya disebabkan oleh apa yang berlaku semasa lombong arang di pulau ini beroperasi.

Tempoh lombong arang di Pulau Hashima beroperasi juga merupakan tempoh di mana berlakunya Perang Dunia Kedua atau World War II.

Perang ini berlangsung daripada tahun 1939 hingga 1945 dan merupakan peristiwa bersejarah yang tak mungkin dilupakan oleh seluruh dunia.

Selain peristiwa Jepun menyerang Pelabuhan Pearl Harbor di Hawaii, Jepun juga turut menyerang negara-negara lain terutamanya negara jirannya seperti Korea dan China.

Semasa peperangan berlaku, rakyat Korea dan juga banduan daripada China dijadikan buruh paksa (forced labour) untuk bekerja di lombong arang Pulau Hashima.

Menurut cerita daripada bekas pekerja di situ, keadaan semasa bekerja di pulau itu sangat sukar dan tidak berperikemanusiaan. Ini kerana bekalan makanan tidak mencukupi dan keadaan cuaca di pulau itu yang tidak menentu.

Apabila ada pekerja yang kepenatan mengambil peluang untuk berehat seketika, mereka akan dipukul. Sepanjang lombong ini beroperasi, dianggarkan sebanyak 1000 orang pekerja maut.

Antara faktor yang menyebabkan kematian ialah keadaan pekerjaan yang berbahaya, malnutrisi dan kepenatan.

Ada sebuah filem dari Korea Selatan bertajuk The Battleship Island (2017), yang menggambarkan betapa sukarnya kehidupan yang terpaksa dilalui oleh buruh-buruh paksa ini semasa bekerja di dalam lombong arang.

Walau bagaimanapun, filem ini bukanlah sepenuhnya berdasarkan kisah sebenar, terdapat unsur-unsur “fiction” telah dimasukkan. Dalam filem ini, seramai 400 orang warga Korea dipaksa untuk bekerja di Pulau Hashima.

Pada tahun 2009, kerajaan Jepun telah memohon kepada pihak UNESCO untuk menjadikan Pulau Hashima sebagai salah satu tapak warisan dunia UNESCO namun telah dibantah oleh kerajaan Korean Selatan kerana sejarah pulau ini yang melibatkan buruh paksa dari Korea dan China.

Hal ini bagaimanapun telah diselesaikan apabila kerajaan Jepun bersetuju untuk menggunakan istilah “forced labor” dalam mana-mana keterangan atau penjelasan yang berkaitan pulau ini. Dalam erti kata lain, kerajaan Jepun perlu mengakui bahawa isu buruh paksa ini benar-benar berlaku di pulau Hashima.

Pihak UNESCO juga telah menetapkan satu jawatankuasa yang bertanggungjawab untuk menilai usaha-usaha kerajaan Jepun dalam memperingati mangsa-mangsa buruh paksa ini.

Pada tahun 2015, UNESCO telah menyenaraikan pulau ini sebagai salah satu lokasi bagi kategori “Sites of Japan’s Meiji Industrial Revolution: Iron and Steel, Shipbuilding and Coal Mining”.

Pada hari ini, Pulau Hashima telah dibuka sebagai salah satu tarikan pelancongan di Jepun. Tumbuhan-tumbuhan hijau dilihat melatari dinding bangunan-bangunan terbiar di situ.

Para pelancong yang datang perlu mematuhi segala arahan berkaitan keselamatan memandangkan keadaan bangunan-bangunan di situ yang sudah lama dengan struktur yang telah mereput.

Menurut laman web Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), “forced labour” bermaksud pekerjaan yang dilakukan secara paksa dan di bawah ancaman mana-mana penalti. Contohnya melalui keganasan atau intimidasi atau cara lain seperti manipulasi hutang.

Di Malaysia, perkara ini tertakluk di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007. Seksyen 2 akta ini mendefinisikan perdagangan orang sebagai perekrutan, pengangkutan, pemindahan, pelindungan, penyediaan atau penerimaan seseorang bagi maksud eksploitasi.

Eksploitasi di sini bermaksud segala bentuk eksploitasi sama ada seks, kerja atau perkhidmatan paksa, perhambaan atau amalan yang menyerupai perhambaan, pengabdian atau aktiviti yang menyalahi undang-undang atau pemindahan organ manusia.

DISCLAIMER:

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: