
Hari ini (23/3/2020) telah masuk hari ke-6 tempoh sekatan kawalan pergerakan.
STAY AT HOME! Hanya ini yang diminta daripada rakyat sepanjang tempoh sekatan ini dilaksanakan.
Tidak cukup dengan perutusan kedua Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merayu agar semua rakyat untuk duduk di rumah, semalam Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pula sekali lagi menyeru agar semua rakyat meminimakan pergerakan dan duduk di rumah menerusi laman instagram.

Dalam gambar yang dimuatnaik oleh instagram rasmi Istana Negara itu, baginda, Al-Sultan Abdullah dilihat sedang duduk sambil memegang kad kuning bertulis #StayHome dan #DudukRumah.
Dengan kewujudan media sosial dan alat komunikasi yang canggih pada hari ini, penyebaran maklumat dibuat secara meluas dan hanya di hujung jari saja tanpa memerlukan tenaga atau wang yang begitu banyak.
Tetapi daripada apa yang dilaporkan beberapa hari yang lalu, seolah-olah rakyat tidak menerima apa-apa maklumat dan masih tidak mematuhi arahan perintah sekatan pergerakan.
Sepanjang tempoh sekatan pergerakan ini dilaksanakan, bermacam-macam-macam kerenah rakyat yang dapat kita lihat. Berjogging di taman, merempuh pihak polis yang menjalankan sekatan jalanraya, berkumpul beramai-ramai di pasar dan sebagainya. Apa lagi yang perlu dilakukan agar rakyat mematuhi perintah ini?
Siapa pernah mendengar tentang Hartal?

Merriam Webster mendefinisikan Hartal sebagai “concerted cessation of work and business especially as a protest against a political situation or an act of government”. Secara mudahnya, Hartal adalah satu bentuk protes yang dilakukan dengan menutup tempat-tempat penting seperti sekolah, pejabat dan premis-premis perniagaan yang mana akan melumpuhkan segala aktiviti ekonomi ketika itu.
Perkataan hartal ini sebenarnya berasal daripada India dan pertama kalinya digunakan semasa “Indian Independence Movement”.
Pada tahun 1947, rakyat di negara kita telah melakukan hartal dikenali sebagai Hartal All-Malaya sebagai tanda bantahan terhadap Cadangan Perlembagaan Federation yang digubal kerajaan British tanpa persetujuan rakyat Tanah Melayu ketika itu.
Ramai di antara rakyat ketika itu menyokong Perlembagaan Rakyat yang menuntut kemerdekaan namun tidak diterima oleh pihak British. Hal ini menyebabkan rakyat sedar bahawa mereka perlu mengambil langkah yang lebih besar.

Satu pengumuman dibuat, “ PUTERA –AMCJA akan menganjurkan Hartal di seluruh Malaya pada 20 Oktober 1947 iaitu pada hari Parlimen British akan membahaskan cadangan perlembagaan. Hartal tersebut akan dimulakan pada pukul 6 pagi hingga ke tenggah malam”.
400,000 risalah Manifesto Hartal dicetak dan disebar kepada rakyat.
300,000 poster Hartal dilukis dan ditampal diseluruh Malaya.
300 “Pasukan Propaganda” menjelajah seluruh negara untuk memberikan penerangan terakhir kepada rakyat.
Begitu besar usaha yang dilakukan untuk menyebarkan maklumat kepada seluruh rakyat di Malaya. Jika dibandingkan dengan pada masa kini, kemudahan untuk menyebarkan maklumat pada waktu itu jauh lebih terhad namun maklumat berjaya disampaikan kepada seluruh rakyat tak kira dibandar mahupun dikampung.

Pada hari itu rakyat secara sukarela bertindak untuk tidak melakukan apa-apa aktiviti semasa tempoh Hartal dilaksanakan. Kedai-kedai ditutup tidak mengira kaum sama ada kedai bangsa Melayu, Cina atau India.
Tiada kereta,bas atau teksi kelihatan, pawagam dan taman hiburan ditutup, semua estet menghentikan operasi, nelayan-nelayan tidak keluar untuk menangkap ikan seperti kebiasaannya, buruh-buruh yang bekerja di pelabuhan juga bercuti pada hari ini. Semua orang bersatu hati untuk menjayakan Hartal demi menuntut kemerdekaan.
Walaupun Hartal berjaya dilakukan namun pihak British masih enggan menerima Perlembagaan Rakyat. Pada Jun 1948 British mengisytiharkan darurat di seluruh Malaya atas alasan untu membanteras komunis. Ramai ahli PUTERA-AMCJA ditangkap dan dipenjarakan.
Namun apa yang boleh kita pelajari dari peristiwa ini adalah bagaimana rakyat pada masa itu bekerjasama dan bersatu hati untuk menjayakan sesuatu. Dalam keadaan yang mendesak untuk memastikan jangkitan wabak Covid-19 dapat dihentikan, rakyat seharusnya bekerjasama dengan pihak kerajaan dengan cara mematuhi segala arahan yang dibuat. STAY AT HOME!
Untuk mengetahui lebih lanjut, anda boleh tonton video youtube berkaitan Hartal ini di sini.
DISCLAIMER:
Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.