Kalau ada majikan yang masih memaksa pekerja bekerja semasa tempoh sekatan pergerakan. Apa perlu dilakukan? (COVID-19)

Maaf saya terus terang, majikan begini saya rasakan yang jenis pentingkan diri sendiri. Orang lain berniaga juga, orang lain pun hendak bayar pekerja dan dapat keuntungan. Orang lain juga perlukan wang untuk kelansungan. Tapi orang lain ikut arahan dan tutup, kami pun tak untung.

18/3/2020, kes positif Covid-19 ini adalah sebanyak 790 orang. Naik lagi. Ini bukan perkara main-main. Kalau terkena jangkitan virus ini, kebarangkalian maut itu terlalu tinggi.

Malahan, ahli keluarga tidak dapat melawat. 2 kematian telah pun dilaporkan di Malaysia. Dikebumikan tanpa dilawati oleh keluarga dan sahabat handai. Sedih. Kerajaan, Kementerian Kesihatan dan semua yang terlibat benar-benar hendak pastikan kita selamat.

Di hospital, doktor, jururawat, kakitangan bekerja keras merawati dan menyembuhkan pesakit. Mereka terpaksa berdepan risiko. Kau pula merisikokan nyawa orang lain. Tambah sakit hati dengar ada yang pentingkan diri sendiri sebab takut rugi, bila ramai yang berkorban untuk menyelamatkan.

Ini bukan penyakit yang main-main. Jauh lebih bahaya dari kanser yang mengambil masa untuk merebak. Masih dilawati dan didekati oleh ahli keluarga. Jauh lebih bahaya dari HIV yang juga mengambil masa. Sekejap sahaja Covid ini meragut nyawa jika gagal dirawat.

Yang kerajaan arahkan bekerja dalam kategori perkhidmatan berkepentingan, ingat suka-suka ke? Sebab kalau mereka tidak ada, lumpuhlah kerajaan dalam masa 14 hari perintah ini. Akan mencetuskan masalah yang lebih besar.

Yang diarahkan bekerja adalah yang berkaitan dengan api, air, makanan dan lain-lain. Kalau mereka tak ada kita susah. Kalau dipaksa bekerja, bukan sahaja pekerja berisiko dihidapi, dia balik dan bertemu keluarga juga berisiko. Kenaikan sudah jadi 120 orang positif sejak 2 hari lalu.

Berkenaan persoalan kalau majikan paksa juga bekerja, ini langkah yang paling relevan kalau kita tak nak kantoi dengan majikan, kalau dia tahu kena buang kerja pulakan. Telefon polis, minta mereka hantar pasukan Polis Peronda. Minta dirahsiakan identiti anda sewaktu anda hubungi, biar Polis Peronda. Halau semua balik, duduk dalam rumah diam-diam.

Kalau majikan kata, kalau anda ingkar anda dibuang kerja serta-merta atau ada diugut buang kerja. Pergi balai buat laporan polis. Kalau kena buang, lepas perintah kawalan ini pergi tenaga kerja atau Jabatan Perusahaan tuntut dari mereka. Kalau kes diadukan ke Jabatan Perusahaan kemudian dibawa ke Mahkamah Industri, boleh tuntutan sehingga 24 bulan maksimum gaji.

Majikan yang dilaporkan kepada pihak polis bukan sahaja berhadapan dengan hukuman penjara atau denda bawah Seksyen 24 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. Kalau anda dijangkiti sebab dipaksa oleh majikan untuk bekerja, anda boleh juga menuntut ganti rugi secara sivil.

Kalau ada majikan yang begini dan perlukan nasihat proses menyaman atau menuntut, saya sedia membantu sebab perbuatan mereka ini menyusahkan yang lain-lain.

Anda juga boleh laporkan sebarang pelanggaran Perintah Kawalan ke Bilik Gerakan KDN seperti dalam gambar di bawah.

DISCLAIMER:

Tulisan ini di tulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: