
Apakah itu moratorium?
Saya merujuk kepada ucapan YAB Perdana Menteri yang mengumumkan berkenaan pengecualian pembayaran pinjaman individu dan PKS kepada bank-bank selama tempoh enam (6) bulan. Istilah undang-undangnya ialah ‘moratorium’.
Pengenalan moratorium ini membawa maksud kelonggaran akan diberikan kepada peminjam-peminjam untuk dikecualikan daripada membuat pembayaran pinjaman daripada institusi perbankan yang terlibat bermula pada bulan April 2020 sehingga September 2020.
Berdasarkan pengumuman, moratorium ini akan berfungsi secara AUTOMATIK bermakna tiada keperluan bagi peminjam untuk mengisi borang atau sebagainya.

Namun demikian, semak kembali SOP bank masing-masing kerana dimaklumkan Maybank meminta peminjam membalas SMS yang dihantar kepada peminjam.
Namun begitu, kadar faedah yang dikenakan oleh pihak bank boleh dicaj ke akaun anda seperti biasa tertakluk kepada pendekatan yang dipilih oleh pihak bank tersebut.
Oleh itu, anda boleh melakukan semakan berkenaan kadar faedah ini dengan pihak bank masing-masing.
Bolehkah sekiranya saya memilih untuk membayar pinjaman seperti biasa dan tidak menggunakan pilihan moratorium ini?
Ya, boleh. Sekiranya anda berkemampuan, anda boleh memilih untuk tidak menggunakan pengecualian ini dan membuat permohonan kepada pihak bank yang berkaitan untuk meneruskan pembayaran pinjaman bulanan seperti biasa.
Apakah kesan sekiranya saya masih gagal membayar pinjaman bulanan selepas tempoh moratorium tamat?

Harus diingatkan bahawa setakat 28/3/2020, tempoh moratorium yang dibenarkan oleh Kerajaan adalah selama enam bulan sahaja.
Oleh yang demikian, peminjam yang gagal melakukan pembayaran pinjaman bulanan selepas tamat tempoh moratorium adalah tertakluk kepada tindakan undang-undang yang boleh diambil oleh pihak bank terhadap anda selaras dengan Perjanjian Pinjaman yang telah dimasuki oleh pihak bank dan anda.
Dalam bahasa mudah, kegagalan anda membuat pembayaran selepas moratorium mempunyai implikasi yang serupa sekiranya anda gagal membuat pinjaman pembayaran sebelum pengecualian ini dibenarkan.
Contohnya, pihak bank boleh membuat tuntuan dan memfailkan saman terhadap anda di Mahkamah bagi menuntut semula jumlah wang yang terhutang oleh anda.
Oleh yang demikian, adalah dinasihatkan supaya anda selaku peminjam dapat melakukan pembayaran pinjaman seperti biasa selepas tempoh moratorium ini tamat dan menggunakan pengecualian pembayaran pinjaman ini dengan sebaiknya.
Ditulis oleh: Rizwana Jamal Abdul Nazar. Peguam dari Team Tanya Peguam Anda.
DISCLAIMER:
Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.