
Pada hakikatnya majikan tidak boleh membuang kerja para pekerja atas alasan keadaan kewangan syarikat yang tidak memuaskan yang diakibatkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan(PKP).
Ini adalah kerana PKP telah dibuat oleh Kerajaan untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.
Mengikut Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang diumumkan oleh Perdana Menteri kita pada petang tadi, Program Subsidi Upah telah diperkenalkan untuk membantu majikan mengekalkan pekerja daripada di buang kerja di mana Kerajaan akan menyediakan upah sebanyak RM600 sebulan bagi setiap pekerja untuk tempoh tiga bulan.

Ia disasarkan kepada pekerja yang berpendapatan di bawah RM4,000.00 di mana pihak majikan mengalami penurunan pendapatan lebih 50% sejak 1.1.2020.
Majikan mesti memastikan mereka tidak membuang pekerja dan mengarahkan mereka mengambil cuti bagi tempoh 3 bulan selepas program ini dijalankan. Namun demikian perincian mendalam pelaksanaan program ini masih belum lagi dinyatakan secara mendalam.
Apakah hak pekerja sekiranya dibuang oleh Majikan dalam tempoh atau selepas tamat PKP?
Memandangkan ini adalah satu situasi baru di Malaysia, jawapannya belum boleh ditentukan buat masa ini.
Tetapi pada kebiasaannya (dalam keadaan yang tidak melibatkan situasi PKP) majikan tidak boleh sewenang-wenangnya menamatkan perkerjaan seseorang pekerja tanpa mengambil langkah yang wajar.
Apakah langkah-langkah wajar yang perlu di ambil oleh Majikan sebelum menamatkan perkhidmatan pekerjaan dalam kes pembuangan pekerja?
Jika Majikan mendapati pekerja mengingkari terma-terma kontrak pekerjaan seperti datang lewat, prestasi kerja yang tidak memuaskan (“non-performance”), dan/atau salah-laku (“misconduct”) dan sebagainya, majikan tidak akan terus memberhentikan pekerja.

Kebiasaannya, majikan perlu memberi surat amaran kepada pekerja untuk membolehkan pihak pekerja memperbaiki kesilapannya sebelum menamatkan perkhidmatan(kecuali dinyatakan sebaliknya di dalam Kontrak Pekerjaan).
Sekiranya pekerja masih gagal untuk memperbaiki kesilapan, maka majikan akan mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada pekerja tersebut di mana pihak pekerja haruslah membalas surat tunjuk sebab tersebut.
Kegagalan pihak pekerja membalas surat tunjuk sebab dalam tempoh masa yang ditetapkan oleh majikan boleh memudaratkan pembelaan kes pekerja terhadap majikan.
Seterusnya, jika majikan masih tidak puas hati dengan alasan yang diberikan oleh pihak pekerja tersebut, maka pihak Majikan akan mengadakan satu siasatan dalaman (Domestic Inquiry) untuk menjalankan satu “perbicaraan secara dalaman” di antara pihak Majikan dan pihak pekerja untuk menentukan pertikaian penamatan perkhidmatan pekerja tersebut.
Jika pihak Majikan tidak berpuas hati dengan penerangan dan bukti yang dikemukakan oleh pihak pekerja semasa siasatan dalaman, maka barulah majikan akan mengeluarkan surat penamatan perkhidmatan terhadap pekerja tersebut.
Sekiranya pekerja yang terbabit berpendapat bahawa tindakan pembuangan kerja yang diambil terhadap dirinya adalah tidak adil, pekerja berkenaan mempunyai hak untuk mengemukakan representasi pemulihan kerja di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan (APP) 1967 kepada Ketua Pengarah Jabatan Perhubungan Perusahaan dan bukannya merujuk terus ke Mahkamah Perusahaan.

Nampak? Bukan mudah hendak membuang pekerja. Banyak langkah-langkah. Banyak cara-caranya.
Apa entah lagi, membuang pekerja dalam keadaan rumit iaitu, selepas Perintah Kawalan ini adalah amat tidak wajar. Hak pekerja sepatutnya dipelihara. Sekiranya ada pekerja yang dibuang kerja, dan anda ingin menuntut bagi pemulihan kerja, anda boleh membuat aduan di Jabatan Perhubungan Perusahaan.
Sekiranya anda ingin membuat aduan di sini, sediakan dokumen-dokumen sokongan seperti berikut:
a) Sesalinan Kad Pengenalan;
b) Surat Lantikan/Kontrak Perkhidmatan;
c) Slip Gaji
d) Surat Tunjuk Sebab
e) Surat Balasan Kepada Surat Tunjuk Sebab
f) Surat Penamatan Kerja
g) Dokumen-dokumen lain yang berkaitan dengan penamatan kerja.
Ketua Pengarah Jabatan Perhubungan Perusahaan akan mengadakan satu runding damai di antara majikan dan anda bagi menyelesaikan perkara ini secara aman.
Sekiranya, runding damai itu gagal mencapai suatu penyelesaian, maka tuntutan pekerja tersebut akan dirujuk ke Mahkamah Perusahaan dengan izin Kementerian.
DISCLAIMER:
Artikel ini disediakan oleh Nor Zabetha dan Geetha Arumugam. Peguam-peguam dari Team Tanya Peguam Anda.
Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.