Mitos-mitos tentang kerjaya sebagai peguam.

Sebelum saya menceburi kerjaya sebagai seorang peguam, banyak cerita-cerita tentang profesion ini yang saya dengar dan saya tidak dapat memastikan tentang kesahihan cerita-cerita ini. Kenapa saya gelarkan mitos? Antara salah satu maksud mitos dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka adalah cerita tentang sesuatu tidak benar atau direka-reka.

Sebab itu, saya guna tajuk mitos kerjaya sebagai peguam. Bermaksud cerita-cerita tidak benar tentang profesion peguam. Dalam keluarga saya, tidak ada seorang pun yang pernah belajar undang-undang di Universiti atau bekerja sebagai peguam. Ini adalah pengalaman pertama saya, saya tiada rujukan untuk bertanya dan untuk saya jadikan sebagai contoh atau tunjuk ajar.

Sama seperti mereka yang tidak langsung mempunyai individu untuk dirujuk bagi bertanyakan tentang profesion peguam ini, maka kita mudah mempercayai cerita-cerita yang direka ini sehingga kadang-kadang menjadi sebab ramai yang tidak meneruskan cita-cita sebagai peguam. Saya hanya tahu sebenarnya banyak mitos ini adalah rekaan setelah saya beramal atau bekerja sebagai peguam.

5 mitos-mitos kerjaya sebagai seorang peguam.

MITOS 1: Kerjaya peguam PERLU atau WAJIB mewakili penjenayah dan orang yang bersalah.

Ini antara salah faham yang popular di kalangan masyarakat. Mereka faham bahawa peguam dan penjenayah berpisah tiada. FAHAMAN INI MEMANG TIDAK BENAR, anda ada pilihan. Sekiranya anda faham bahawa peguam mempunyai kategori pengkhususan bidang, anda tidak bersetuju dengan mitos ini. Misalnya kerjaya sebagai doktor, ada pelbagai pecahan bidang, pakar jantung, doktor gigi, pakar mata dan pelbagai lagi.

Begitulah juga peguam, peguam ini ada pelbagai bidang. Misalnya peguam dalam bidang hartanah atau kita panggil ‘covenyancing’, peguam ini tidak ke mahkamah. Mereka menyediakan Perjanjian di antara penjual dan pembeli rumah.

Mereka akan mengendalikan segala proses jual beli, misalnya memastikan segala prosedur berjalan dengan lancar sehinggalah pembeli membuat bayaran ke atas rumah dan penjual mendapat wang jualan dan hartanah telah dipindahmilik dari penjual kepada pembeli.

Ada pelbagai kategori lain juga seperti peguam korporat yang menguruskan segala urusan korporat dan sebagai penasihat kepada syarikat-syarikat korporat.

Ada peguam sivil, mereka ini memang ke mahkamah dan tidak mewakili orang yang dituduh kes jenayah tetapi mereka mewakili kes yang kebiasaanya menuntut hutang, gantirugi sesuatu perbuatan yang diakibatkan kecuaian.

Biasanya tuntutan ini melibatkan antara satu pihak dengan pihak lain bagi mendapatkan ganti rugi melalui wang. Peguam sivil juga boleh terbahagi kepada beberapa cabang yang lain bergantung kepada pengkhususan kes, misalnya tuntutan kes pekerja, tuntutan kemalangan, tuntutan kecuaian perubatan dan banyak lagi.

Manakala peguam jenayah adalah peguam yang mewakili kes jenayah seperti rogol, curi, rompak dan apa-apa kesalahan jenayah. Mereka in akan mewakili pelaku atau tertuduh tetapi peguam jenayah kebiasaanya berpegang kepada prinsip ‘Innocent until proven guilty’ iaitu hak tertuduh yang dibicarakan di Mahkamah Jenayah. Boleh rujuk lanjut sedikit informasi dalam link ini.

Jadi sebenarnya kerjaya peguam ini bergantung kepada pilihan kita sama ada ingin menjadi peguam hartanah, peguam korporat, peguam jenayah, peguam sivil dan banyak lagi cabang. Ini antara yang popular. Pilih hala tuju anda dan pastikan cabang yang sangat anda minati.

MITOS 2: Kerjaya peguam- sebelah kaki di neraka.

Mitos ini antara yang ‘legend’ yang biasa saya dengar sejak dibangku sekolah lagi, sehinggakan ada yang langsung tidak mahu memilih kerjaya peguam. Takut ke neraka nanti. Kebiasaannya kenapa mitos ini dipercayai dikalangan masyarakat kita kerana berbalik kepada MITOS 1 di atas. Mereka benar-benar percaya setiap peguam MESTI AKAN BEKERJA MEMBELA ORANG SALAH DAN PENJENAYAH.

Tanggapan ini salah, seperti yang saya nyatakan jika anda pilih cabang yang betul dan jujur bekerja, pasti anda akan memperoleh keberkatan. Pada pendapat saya kebanyakan kerjaya di dunia ini adalah baik dan yang menjadikan kerjaya mendapat nama tercemar kerana orang yang mendukung profesion tersebut.

Misalnya profesion guru itu mulia tetapi guru yang melakukan gangguan seksual terhadap pelajar menyebabkan kemurnian profesion itu tercalar. Polis ditugaskan menjaga keamanan dan mereka berhempas pulas memastikan orang awam selamat tetapi polis yang mengambil rasuah mencemarkan profesion.

Begitu juga dengan peguam, peguam membela sekiranya melakukan sesuatu perkara yang salah dan tidak beretika akan mencemarkan profesion peguam. Semuanya terletak pada individu, pilihan pada anda sendiri untuk bekerja secara amanah.

MITOS 3: Peguam mesti pandai bercakap.

Secara amnya menjadi seorang peguam mestilah berkeyakinan dan pandai bercakap tetapi tidak juga sebenarnya. Ramai juga kawan saya jenis pemalu atau pendiam yang menjadi peguam dan ada juga yang bercakap bila perlu sahaja. Semuanya bergantung kepada cabang profesion guaman yang anda pilih.

Mungkin berbeza dengan peguam yang ke mahkamah, mereka perlu mewakili anak guam. Untuk mewakili anak guam di mahkamah, peguam perlu berhujah dalam mahkamah terbuka. Jadi sekiranya anda nampak yakin, pertuturan jelas, ini sangat membantu kes anda. Seperti saya katakan, semua terpulang kepada cabang yang ada ingin pilih di Mahkamah.

MITOS 4: Jangan ambil subjek undang-undang kerana susah hendak mendapat peluang pekerjaan.

Sewaktu saya tamat SPM dahulu dan apabila saya menyatakan niat untuk menjadi peguam, ada beberapa saudara saya yang memberi pendapat bahawa ianya bukan pilihan yang baik. Saya dinasihatkan untuk memilih kursus yang lain. Kata mereka peguam susah cari makan. Kata mereka, ada rakan yang ambil subjek undang-undang tetapi sudahnya menganggur.

Saya ini memang tak suka mendengar cakap-cakap orang, saya lebih suka buat dan cuba. Sekurang-kurangya saya puas hati kerana pernah mencuba. Mujurlah saya tidak dengar cakap mereka. Alhamdulilah, saya berjaya buktikan bahawa tanggapan itu salah. Kalau anda tidak berminat menjadi peguam, kursus undang-undang masih relevan.

Banyak peluang pekerjaan bagi pelajar yang memperolehi ijazah undang-undang sebenarnya dan kerana kandungan pelajaran bagi ijazah undang-undang yang sangat relevan menjadikan pemegang ijazah undang-undang senang mencari pekerjaan.

Belajar undang-undang tidak bermaksud anda semestinya jadi peguam. Anda boleh menjadi penasihat undang-undang dalam sesebuah syarikat, anda tidak perlu ke mahkamah tetapi perlu merujuk dokumen undang-undang, menasihatkan hak syarikat tentang kedudukan undang-undang.

Anda boleh memilih menjadi pensyarah atau tenaga pengajar di Universiti. Malah ada rakan saya adalah guru, tidak ada isu. Anda juga boleh memilih untuk menjadi pegawai kerajaan. Semuanya terpulang. Memang sebagai pemegang ijazah undang-undang peluang pekerjaan adalah cerah.

MITOS 5: Perlu dapat keputusan straight A untuk menjadi peguam.

Tidak juga. Tidak semestinya adik-adik perlu dapat semua A atau pelajar yang ‘super duper cemerlang’. Jika adik-adik adalah kategori ‘average’ di sekolah, adik-adik masih berpeluang untuk menyambung pelajaran dalam ijazah undang-undang. Paling utama keputusan jangan yang terlalu corot dan adik-adik mempunyai minat dan berkemampuan untuk belajar undang-undang. Adik-adik boleh pilih di antara IPTA atau IPTS.

Subjek undang-undang ini banyak kepada pemahaman, misalnya diberikan antara situasi individu A dan individu B, jadi apakah hak mereka dalam undang-undang? Untuk menjawab adik-adik perlu faham tentang kedudukan undang-undang dan apa yang menyebabkan tindakan boleh diambil.

Perlu kenal pasti tuntutan dibawah kategori undang-undang yang mana misalnya pengingkaran kontrak? Tuntutan kecederaan? Untuk jawab soaalan begini perlu banyak pengetahuan Akta-Akta yang relevan, prinsip undang-undang. Jika kita faham subjek undang-undang bukanlah sesuatu yang pecah kepala.

Setakat ini, saya kongsikan 5 mitos-mitos yang biasa saya dengar. Sekiranya terdapat apa-apa soalan berkenaan mitos ini. Boleh email kami ke tanyapeguamanda@gmail.com atau boleh ajukan soalan di messenger Facebook saya, ini link akaun saya.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha. Peguamcara dan Peguambela.
Beramal dan berdaftar di Mahkamah Tinggi Malaya sejak 2009.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: