
Kebiasaannya yang saya dengar sejak kecil, ramai yang bercita-cita hendak jadi peguam. Jarang saya dengar ada kanak-kanak atau remaja yang ingin jadi hakim di Mahkamah. Sekiranya ada pelajar yang di bangku sekolah berminat untuk menjadi hakim, apakah hala tuju atau strategi anak-anak ini untuk memastikan cita-cita mereka tercapai?
Bagi mereka yang berminat untuk menjadi hakim di Mahkamah, mereka perlu sekurang-kurang mempunyai Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) atau LLB sebelum boleh memulakan kerjaya. Sama juga seperti peguam, sekiranya adik-adik bercita-cita untuk menjadi hakim selepas tamat Sijil SPM, pastikan adik-adik menyambung pelajaran dalam bidang undang-undang dan memperolehi LLB.

Seterusnya berkenaan dengan keperluan sama ada perlu lulus SPM dengan cemerlang atau tidak untuk membolehkan seseorang itu menjadi hakim? Adik-adik perlu menyemak dahulu syarat-syarat kemasukkan minimum di Universiti bagi jurusan undang-undang. Apakah kelayakan minima yang perlu dipenuhi?
Pastikan adik-adik memenuhi kriteria dan perlu diingatkan, melepasi syarat minimum sahaja tidak mencukupi. Perlu diambil kira juga faktor persaingan yang semakin banyak dan penempatan yang mungkin terhad. Sekurang-kurangnya perlu cemerlang dalam subjek yang memerlukan pembacaan dan penulisan seperti Sejarah. Ingat, kita baru hendak bermula.
Sebelum menulis dengan lebih lanjut ada baiknya saya terangkan terlebih dahulu perbezaan di antara Majistret, Hakim Mahkamah Sesyen dan Hakim Mahkamah Tinggi, supaya mudah faham tentang hierarki jawatan hakim di Malaysia dan hierarki Mahkamah di Malaysia.

Mahkamah di Malaysia ada beberapa peringkat iaitu dimulakan dengan peringkat Mahkamah Rendah. Komponen hakim di sini terdiri daripada Majistret, diikuti dengan Hakim Mahkamah Sesyen.
Selanjutnya kita melihat kumpulan Mahkamah Tinggi dan akhir sekali dua mahkamah teratas, yang digelar sebagai apex court iaitu Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Dua mahkamah terakhir ini adalah mahkamah yang paling tinggi di dalam sistem kehakiman di Malaysia.
Berbanding semua mahkamah yang disenaraikan di atas, Mahkamah Majistret adalah mahkamah yang paling kecil bidang kuasanya. Hakim yang bertugas di Mahkamah ini dipanggil Tuan/Puan Majistret. Mereka tidak dipanggil sebagai Hakim, manakala hakim yang bertugas di Mahkamah Sesyen (iaitu satu lagi kelompok Mahkamah Rendah) akan dirujuk sebagai Puan/Tuan Hakim.

Istilah yang digunakan di Mahkamah Tinggi dan ke atas pula akan dirujuk sebagai Yang Arif (YA) dan akhir sekali Yang Amat Arif (YAA).
Sewaktu bersidang Mahkamah Majistret akan diadili oleh seorang Majistret. Keadaan sama berlaku dalam persidangan di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi. Hanya seorang hakim akan mendengar dan memutuskan kes dalam satu-satu masa tanpa penglibatan hakim yang lain.
Perbezaan dapat dilihat pada jumlah individu/panel atau koram yang bersidang di Mahkamah Rayuan dan akhir sekali di Mahkamah Persekutuan. Proses rayuan di Mahkamah Rayuan didengar dan diputuskan oleh tiga orang panel Hakim yang dirujuk sebagai Yang Arif- Yang Arif untuk membuat keputusan.

Di peringkat ini, keputusan rayuan akan berpihak berdasarkan kepada jumlah majoriti (3-0) atau (2-1) dan alasan penghakiman akan dikeluarkan oleh mereka secara kolektif.
Sudah semestinya proses lantikan setiap hakim-hakim akan bermula dari paling bawah, kemudian menimba pengalaman dan seterusnya dinaikkan pangkat mengikut garis panduan, syarat-syarat, pengisian jawatan kosong, pengalaman dan beberapa faktor penentu yang lain.
Keadaannya sama dengan bagaimana seseorang memulakan kerjaya si sebuah syarikat, mungkin berpindah ke syarikat lain, sehingga berkelayakan menerajui sebuah syarikat sebagai pengurusan tertinggi. Tidak mungkin kita terus bekerja dan di lantik sebagai CEO, semuanya perlu bermula dari bawah, bukan?

Selepas memperolehi Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang atau LLB, adik-adik boleh membuat permohonan kemasukan melalui laman rasmi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. Janganlah berharap setelah tamat pengajian, terus adik-adik ingin menjadi hakim.
Adik-adik akan bermula dari bawah iaitu jawatan sama ada Majistret atau Penolong Kanan Pendaftar (pegawai mahkamah) atau di bahagian pendakwaan dan penempatan ini bergantung kepada nasib dan kekosongan jawatan yang akan dipertanggungjawabkan kepada adik-adik.
Tidak semestinya jika dari awal dipilih menjawat jawatan sebagai Majistret, adik-adik akan terus menerus akan memegang jawatan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi dan begitu juga sebaliknya.
Saya merujuk kepada perjalanan karier Ketua Hakim Negara, Yang Amat Arif Tan Sri Dato’ Seri Utama Tengku Maimun binti Tuan Mat. Yang Amat Arif Tan Sri telah lulus dalam bidang pengajian undang-undang dengan memperolehi Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Malaya pada tahun 1982.

Yang Amat Arif telah memulakan kerjaya sebagai Pegawai Undang-Undang terlebih dahulu pada tahun 1982 dan kemudiannya mula memasuki Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan pada tahun 1986 sebagai Penolong Penggubal Undang-Undang, Bahagian Gubalan di Jabatan Peguam Negara.
Maklumat beliau boleh dilihat lebih lanjut dalam pautan ini.
Lihat bagaimana Yang Amat Arif telah bertugas dan ditempatkan mengikut jawatan yang berbeza dan menimba pelbagai pengalaman sehingga berada pada kedudukan sekarang. Begitulah juga sekiranya adik-adik memasang cita-cita ingin menjadi hakim di Mahkamah, banyak faktor yang menjadi penentuan.
Apa-apa pun yang paling utama adalah memasang cita-cita, mempunyai matlamat hidup dan merencanakan langkah-langkah serta hala tuju yang jelas.

Setelah kita berjaya mencapai cita-cita, usaha kita tidak terhenti disitu, banyak cabaran, dugaan yang perlu kita tempuhi. Kota Rom yang megah tidak dibina dalam tempoh sehari. Timba pengalaman, tetapkan matlamat dan pilih jalan yang tepat dan betul dan hanya selepas itu barulah kita serahkan kepada nasib dan ketentuan-NYA.
Saya sentiasa mendoakan kalian supaya menjadi pelapis yang bakal mencorakkan kejayaan dan menempa nama dalam apa jua bidang yang dihajatkan.

DISCLAIMER:
Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha. Peguamcara dan Peguambela.
Beramal dan berdaftar di Mahkamah Tinggi Malaya sejak 2009 dan turut ditulis oleh Puan Johnna Analia yang mempunyai pengalaman dalam perundangan sejak 2009.
Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.