
Siapa George Floyd dan mengapa berita tentangnya mendapat liputan ramai sehinggakan banyak negeri-negeri di USA mengadakan perhimpunan tunjuk perasaan beramai-ramai di USA sambil melaungkan perkataan “I can’t breathe. I can’t breathe”.
Sehinggakan selebriti terkenal seperti The Rock telah membuat satu video bertajuk “Where are you?”, video yang dikatakan ditujukan kepada Trump. Mempersoalkan mana pemimpin USA yang sepatutnya mengendalikan isu ini dan memastikan keadilan serta keselamatan rakyatnya. Video ini kerana gerakan Black Lives Matter.
Bukan The Rock sahaja ramai sebenarnya selebriti, orang awam malahan polis sendiri yang mengecam tindakan polis sehingga menyebabkan kematian kepada George Floyd. Sehinggakan balai polis di Minneapolis daerah berlaku kematian George Floyd dibakar.

Kenapa orang jadi marah? Ini bukan kali pertama berlaku kematian orang berkulit hitam disana?
Siapa George Floyd ini? George Floyd adalah warganegara USA dan berkulit hitam. Pada 25 Mei 2020, Floyd ditahan kerana menggunakan 20 dollar palsu untuk membeli barangan. Satu video telah dimuatnaik di sosial media, kelihatan Floyd telah digari dan seorang polis sedang menekan leher Floyd dengan lutut sambil diperhatikan oleh 3 pegawai polis yang lain.
Pada pendapat saya, kalau sudah digari, tiada keperluan lagi untuk polis meletakkan tekanan ke atas lehernya dengan menekan lutut kerana dia bukan lagi ancaman, tambah pula dia tidak bersenjata. Malahan perbuatan itu, tidak langsung ada dalam SOP polis di USA.

Pada saat-saat terakhirnya, Floyd merayu sambil berkata “Please man”. “I can’t breathe. I can’t breathe”. Paling menyayat hati apabila dia memanggil ibunya “Momma!” “Momma! I’m through”. Ibunya telah meninggal dunia 2 tahun sebelum. Bermakna Floyd sudah menjangkakan inilah saat-saat terakhir hidupnya apabila dia menyatakan “I’m through”.
Mereka yang lalu-lalang disitu meminta agar pihak polis jangan menekan Floyd dengan lututnya. Masih tidak diendahkan oleh kesemua polis disitu. “Let him breathe man”, “He is human being”, “You’re fu**ing killing him”, kata mereka yang lalu lalang tidak tahan melihat kekejam polis. Kemudian, Floyd meninggal dunia kerana sesak nafas.
Kenapa orang jadi marah? Kerana video ini yang menyayat hati. Kerana kita dapat lihat sendiri betapa hitamnya hati si perlaku tidak mengendahkan rayuan mangsanya sebelum mati sedangkan mangsanya tidak berdaya melawan dan orang kiri dan kanan bantu sama untuk merayu. Masih tidak diendahkan.
Kerana video itu menunjukkan tiada beza nyawa satu manusia dilakukan dengan seekor haiwan. Terima kasih kepada bukti yang ada. Terima kasih kepada video, kalau tidak polis USA akan putar alam cerita.
Ini bukan kali pertama warga kulit hitam mati tanpa mendapat keadilan. Terdahulu pada February 2020 Ahmaud Arbery yang sedang berjongging di taman, ditembak mati oleh ayah dan anak berkulit putih.

Pada 13/3/2020, seorang wanita berusia 26 tahun berkulit hitam ditembak mati sewaktu serbuan oleh pihak polis bagi kes dadah. Polis melepaskan 20 tembakan sedangkan dia tidak bersalah dan polis tidak mengikut SOP yang betul. Yang ini tidak ada rakaman video jadi, polis ada versi mereka sendiri.
Sejarah layanan terhadap nyawa orang berkulit hitam ini, memang menjadi topik hangat dan kebanyakan kes memang tiada keadilan. Sebab itulah orang semakin marah.
Paling tidak adil pada pendapat saya adalah kes Amadou Diallo ini adalah lelaki kulit hitam, beragama Islam yang berasal dari Guinea. Dia menyambung pelajaran di USA. Dia memaklumkan pada ibunya, dia ingin mengejar cita-citanya. Kebanyakan warga asing ke sana memang untuk mengejar “American Dream”.
Pada 4/2/1999 di New York, Amoudu pulang dari membeli makan malam. 4 orang polis lelaki tanpa uniform telah menghampirinya dan melepaskan 41 tembakan. Menurut kata saksi, polis langsung tidak memberikan amaran sebelum menembak. Pada waktu itu Amoudu tidak bersenjata.
41 tembakan. Bayangkan. Tembak dan tembak dan tembak dan tembak sehingga 41 kali. Bayangkan, kalau satu dua tembakan sahaja sudah mampu membunuh seseorang. Ini umpama seperti dipadang sasar, tembakan demi tembakan tanpa tembak balas. Atas desakan orang awam keempat-empat polis ini didakwa di Mahkamah kerana membunuh Amadou.
Pembelaan polis-polis ini, kononnya rupa Amadou menyerupai perogol bersiri yang dikehendaki dan menyangkakan dompet yang dikeluarkan oleh Amadou adalah senjata.
Waktu ini, ibu Amadou datang dari Guinea untuk menuntut keadilan terhadap anaknya. Kerajaan cuba mengula-gulanya ibu dengan memberikan pengangkutan dan penginapan mewah tetapi ibunya tidak terperdaya. Ibunya menolak pelawaan tersebut dengan pendirian kerajaan tidak boleh menutup kesalahan mereka dengan layanan mewah kepada ibunya.

Waktu ini berlaku banyak tunjuk perasaan oleh orang awam menuntut kerajaan mengambil tindakan terhadap polis-polis dan agar kematian Amadou mendapat keadilan.
Laung mereka “41 tembakan. 41 tembakan”. “Maybe I will be next”. Ramai orang awam ditangkap malahan bekas Datuk Bandar mereka David Dinkins juga ditangkap kerana menyokong perhimpunan protes ini. Kes perbicaraan ini tidak dibicarakan di New York tempat kejadian tetapi dibicarakan di Albany yang majoriti penduduknya adalah warga kulit putih.
Sepatutnya kes ini memang dibicarakan di New York, kerajaan berpendapat bahawa membicarakan di Albany adalah lebih telus dan adil mengambil kira kemarahan penduduk New York pada waktu itu. Ptff! Keadilan kepada polis-polis ini tetapi tidak pada Amadou.

Keputusan akhir keempat-empat polis ini dibebaskan dari dakwaan membunuh Amadou. Perjalanan perjuangan yang terlalu panjang untuk menuntut keadilan nyawa warga kulit hitam. Sebab itulah slogan “Black Lives Matter” diangkat.
Keadaan tambah teruk dengan sikap presiden mereka kini iaitu Trump yang dikatakan rasis dan saya percaya juga kerana tekanan masalah ekonomi dan Covid-19, tambah lagi mencetuskan api kemarahan mereka di sana. Semoga keluarga mangsa ini mendapat keadilan. Semoga keputusan kes kali ini lebih baik.
“Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri”. Lebih baik negeri sendiri.
DISCLAIMER:
Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.
Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.