Arak dan memandu.

Arak dan memandu. Manusia yang minum sehingga tahap hendak berjalan pun tidak kemas dan terus memandu kenderaan memang jenis manusia, pentingkan diri sendiri dan tidak fikirkan orang lain.

Tengok berapa banyak video yang meragut nyawa pemandu mabuk ini, kebanyakan mangsa dirodok, mangsa diseret dan nyawa mangsa yang tidak berdosa ini diragut sekelip mata. Memang celaka. Bayangkan pula jika mangsa itu, suami, ayah atau abang kita sendiri.

Dek kerana sikap mementingkan satu manusia yang hendak berhibur sakan dan berseronok dengan cara minum arak dan kemudian memandu, akibatnya sehingga meragut nyawa orang lain.

Pada waktu si pemabuk ini memutuskan untuk memandu dalam keadaan mabuk, tahu dan sedar dia akan mendatangkan bahaya, jadi dia memang jenis manusia yang mementingkan diri sendiri dan jahat. Memang celaka.

Ramai berdebat tentang perketatkan undang-undang dibawah Akta Pengangkutan Jalan Raya bagi pemandu mabuk. Saya pun pernah mengutarakan pandangan ini sewaktu ditemuramah wartawan. Ada juga peguam yang berkongsi tentang tuntutan ganti rugi dan tindakan undang-undang yang diambil oleh ahli keluarga.

Benar tetapi bagaimana pula kesnya sekiranya pemandu mabuk tidak dilindungi insurans? Bagaimana pula sekiranya si pemandu mabuk itu tidak mampu membayar jumlah tuntutan?

Nilai tuntutan ganti rugi akibat kemalangan sehingga menyebabkan kematian oleh ahli keluarga memang ada, tetapi jumlah tuntutan yang dibenarkan oleh mahkamah adalah berdasarkan asas kiraan yang ditetapkan oleh undang-undang.

Mahkamah tidak memberikan jumlah ganti rugi berdasarkan simpati atau kisah sedih kehidupan si mati atau ahli keluarga. Kebanyakan ganti rugi yang dibenarkan di mahkamah prinsipnya adalah “to protect and not to pocket”.

Semuanya asas tuntutan adalah berdasarkan umur si mati, gaji terakhir si mati, bukti tanggungan si mati kepada ahli keluarga sewaktu hidup. Hendak buktikan yang si mati ada menanggung ahli keluarga waktu hidup, perlu ada bukti pindahan duit atau keterangan ahli keluarga mengesahkan memang si mati menanggung dan memberikan jumlah sekian dan sekian. Jika tiada bukti?

Sepanjang pengalaman saya menuntut, memang ada tuntutan sehingga ratusan ribu ringgit atau mencecah juta tetapi sekiranya gaji terakhir mangsa adalah belasan ribu atau puluhan ribu ringgit.

Tambah pula umur si mati yang muda, kerana kiraan baki umur yang masih panjang sebelum hari tua sewaktu nyawanya diragut kerana kecuaian pemandu, maka asas kiraan tahun tuntutan lebih banyak dan nilainya lebih tinggi.

Kalau gajinya sedikit? Kalau umurnya lebih tua? Semuanya memang mengurangkan nilai tuntutan. Sehinggakan ada yang tuntutan yang kurang dari 100 ribu ringgit. Jadi berbaloikah satu nyawa itu, harga pampasan kurang dari 100 ribu ringgit. Setiap si mati ini, sangat-sangat bermakna kepada ahli keluarganya.

Si matilah tunggak keluarga, pengarang jantung, cinta hati bagi sesebuah keluarga. Tiada nilai wang ringgit yang mampu menggantikannya. Saya tahu kita perlu percaya Qada dan Qadar’ dan itulah kekuatan iman kita sebagai orang Islam.

Perlu percaya ketentuan dan takdir Ilahi tetapi persoalannya keadilan kepada si pelaku. Kalau dalam kes kemalangan oleh pemandu mabuk saya rasakan ini lebih kepada pembunuhan kerana pemandu sedar memandu dalam keadaan mabuk meragut nyawa. Jadi kenapa perlu memandu? Masih juga memandu. Degil. Pentingkan diri sendiri.

Prevention is better than cure. Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Ramai berdebat tentang undang-undang untuk menghukum pemandu mabuk. Saya setuju pemandu mabuk perlu dihukum paling setimpal dan paling dasyat kerana sikap celaka yang meragut nyawa. Kita gesa untuk gubal undang-undang sebelum berlaku kemabukan dan hukuman akibat kemabukan.

Saya menyokong seruan bagi undang-undang mencegah, supaya aktiviti arak ini jangan merata-rata. Jangan ikut suka. Jangan sampai mabuk sehingga jadi hilang akal buat bising, cari gaduh, cetuskan pergaduhan atau sehingga memandu dan meragut nyawa.

Saya tahu negara kita ini pelbagai kaum dan agama dan tidak wajar menyekat hak minum bagi agama lain. Kita hidup berbilang agama dan kebebasan yang lain tidak boleh disekat. Cumanya biar terkawal dan dihadkan supaya tidak lagi mendatangkan maut dan kematian pada yang lain-lain.

Saya menyokong gesaan (PPIM) tahun lepas yang menggesa kerajaan mewujudkan undang-undang khas atau menguatkuasakan larangan meminum arak di tempat tertentu atau secara terbuka. Masalah ini kian menjadi-jadi.

Kita cari puncanya dan kita cuba mengurangkan punca. Lebih baik menghalang dari menuntut keadilan selepas berlaku kematian. Bila berlaku kematian, tidak kiralah apa jenis ganti rugi atau hukuman, tidak akan sama dengan nyawa yang menjadi ganti.

Walaupun pada 29/11/2019, Timbalan Menteri Kesihatan yang terdahulu menyatakan bahawa KKM belum ada perancangan untuk melarang orang ramai dari minum arak di tempat terbuka, mungkin ini adalah waktunya untuk mempertimbangkan semula.

Jika undang-undang larangan meminum arak di tempat awam atau secara terbuka ini, biarlah hukuman yang sangat berat. Jangan didenda seribu dua sahaja. Biar denda yang orang awam takut hendak buat. Perketatkan juga usia minum dibawah umur.

Perketatkan juga undang-undang Syariah di Malaysia bagi kesalahan orang Islam yang minum arak, kerana setakat ini denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

Saya pernah mengendalikan kes tuntutan bagi ahli keluarga mangsa yang kematian bapa mereka kerana seorang pemandu beragama Islam yang memecut dan melanggar lampu isyarat selepas pulang berhibur dari kelab malam. Tidak tergambar perasaan ahli keluarga, nyawa ahli keluarga diragut kerana orang lain yang ingin berseronok.

Ini bukan isu kaum atau agama tetapi ini tentang bahaya alkohol sekiranya tidak dicegah atau dikawal, seperti mana dadah walaupun digunakan untuk tujuan perubatan perlu dikawal, begitulah juga isu arak ini. Dadah dan arak ini sama-sama, mengkhayal dan memabukkan. Kedua-duanya juga bahaya, kita tidak boleh dipandang ringan.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: