Sekarang musim durian, sejak PKPB selalu saya tengok orang upload pasal durian
ni. Balik dari Mahkamah, saya lalu disekitar Prima Gombak. Ada pula brother yang jual durian tu.

Teringin punya pasal, saya berhenti. Makan tak boleh sorang-sorang, kena ajak team NZC sekali. Sekali timbang dekat 6 kg Durian Merah, dapatlah RM145.00. Terperanjat badak mula-mula. Itulah pakai letak je. Pujuk hati, tak apalah nak makan ramai-ramai.

Saya memerhatilah mesin timbang brother tu. Masa inilah terlupa pula hendak keluarkan duit dari bank. Nasib baik dalam purse saya ada RM5 dengan RM1, yang berbaki banyak. Kira punya kira, cukuplah RM145.00 tu. Dah macam korek tabung. Kalau tidak terpaksa menebalkan muka tinggal saja durian. Haha!

Saya tengok mesin timbang brother tu ada guna cap kelulusan bagi mesin timbang. Saya kongsikan sikit ya, bagaimana kita, hendak tahu sama ada peniaga melakukan kesalahan timbang?

Kalau peniaga melakukan kesalahan berkaitan timbang maka mereka boleh disabitkan kesalahan dibawah Akta Timbang Dan Sukat 1972 (Akta 71).

Bawah Seksyen 14, Akta 71 tiap-tiap alat timbang bagi kegunaan untuk perdagangan hendaklah ditentusahkan dan ditandakan dengan cap oleh Inspektor.

Siapa Inspektor ni? Bukanlah Inspektor polis tetapi Inspektor Timbang dan Sukat yang dilantik di bawah seksyen 26. Jadi janganlah kita pergi mengadu kes tentang hal timbang-menimbang ni pada Inspektor polis.

Berdasarkan Seksyen 26, Akta ini Menteri ada kuasa untuk lantik Ketua Inspektor Timbang dan Sukat dan beberapa orang Timbalan Ketua Inspektor Timbang dan Sukat dan Inspektor Timbang dan Sukat. Jadi bermakna, ada satu badan yang dilantik Menteri untuk menguruskan tentang hal berkaitan timbang-menimbang

Seksyen 14 juga memperuntukkan mana-mana orang yang menghendaki alat timbang supaya ditentusahkan dan ditandakan dengan cap mengemukakan alat timbang kepada seorang Inspektor yang hendaklah menguji alat timbang dengan kelengkapan penguji sebagaimana yang difikirkannya sesuai.

Alat timbang punya isu ini sampai wujudnya Akta 71 ini, bukan mudah-mudah. Ada lebih kurang 35 Seksyen dalam Akta ini tidak termasuk subseksyen. Bayangkan betapa terperincinya undang-undang timbang ini. Kita juga ada Akta Sistem Pengukuran Kebangsaan 2007. Macam-macam kan sebenarnya, undang-undang yang kita kurang peka.

Jadi sekiranya ada peniaga yang tidak ada cap pengesahan, apabila disabitkan dibawah Seksyen 14 ini, didenda tidak melebihi RM40,000.00 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,

Pada alat timbang bagi tujuan dagangan,patut ada pelekat yang dikeluarkan oleh Metrology Corporation Malaysian Sdn Bhd (MCM), sekiranya gagal boleh didenda maksimum RM40,000 seperti di atas.

Pelekat ini turut menyatakan tarikh luput iaitu dibahagian “SAH SEHINGGA”, penentusahan,kapasiti timbang dan nombor siri. Bermakna jika luput adalah merupakan kesalahan yang boleh didenda dengan jumlah yang sama.

Kalau peniaga mengikuti semua prosedur dan penetapan pada Akta 71 ini, pastinya tidak berlaku kes tipu timbang. Sebab undang-undang timbang itu sendiri sudah ketat.

Sekiranya seorang peniaga mengguna atau memiliki alat timbang untuk tujuan menipu bermakna dia ada modify mesin timbang yang tidak disahkan, ini adalah kesalahan dibawah Seksyen 17 iaitu apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya.

Kalau kita baca laporan berita, ramai juga pengguna yang bijak buat laporan. Sekiranya berlaku kejadian penipuan seumpama ini, anda boleh buat laporan di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Saya letak gambar, lepas ni boleh ceklah sendiri dari pandangan mata kasar, mesin timbang itu ikut atau tidak spesifikasi bawah Akta 71.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: