
Sahabat saya ini, adiknya sudah menetapkan tarikh untuk majlis perkahwinan tetapi terjadi pula PKP. Duit katering telah pun dibayar kerana hendak tempah awal. Masa hendak melangsungkan majlis ini banyak pakai duit. Majlis nikah lagi, bersanding lagi. Baju, katering, make up, hiasan. Macam-macamlah.
Jadi setiap sen pun bernilai, tambah pula kalau pasangan yang baru bekerja dan hendak memulakan hidup. Habis majlis, rumah lagi dan segala tanggungan. Jadi kalau tiada bantuan dari ibu bapa, memang payah.
Sebelum PKP adiknya telah membayar wang deposit untuk katering tetapi kemudian majlis tidak diteruskan. Jadi adiknya minta semula agar deposit dipulangkan dan pihak katering berkeras untuk tidak memulangkan. Kata katering mereka mengalami kerugian dan tidak dapat memulangkan wang.

Jadi dari sudut undang-undang, boleh atau tidak sekiranya pihak katering berbuat demikian? Atau bolehkah adiknya sebagai pelanggan menuntut jumlah deposit?
Dalam kes ini, terdapat tawaran dan penerimaan oleh kedua-dua pihak iaitu bagi menyediakan makanan sewaktu majlis dan pihak-pihak bersetuju sebagai balasan kepada penyediaan makanan, bayaran akan disediakan seperti yang dipersetujui. Sekarang ini majlis tidak jadi. Tidak berlaku.Soalannya perlu bayar atau tidak?
Tiada makanan yang disediakan, tiada kos yang dikeluarkan jadi mengapa katering enggan memulangkan wang deposit sedangkan khidmat dan makanan langsung tidak disediakan.
Dalam keadaan ini, pelanggan berhak menuntut bayaran balik BERBEZA sekiranya, terdapat terma yang dimaklumkan oleh peniaga iaitu ‘deposit is not refundable’. Malahan jelas juga wang deposit yang telah dibayar digunakan untuk tujuan kontrak.

Misalnya pihak katering telah membeli ayam, daging dan segala bahan untuk tujuan penyediaan makan majlis, jadi adalah tidak adil sekiranya deposit diminta semula memandangkan kos dan kerja-kerja telah dikeluarkan. Malahan pelanggan tidak berhak menuntut deposit dalam situasi ini.
Selalunya deposit tidak dipulangkan apabila pembatalan ‘last minute’ sehingga menyebabkan kerja-kerja telah dijalankan tetapi kalau deposit telah dibayar 30 hari awal dan kemudian PKP selepas 5 hari bayaran, tiada kerja-kerja dijalankan. Majlis juga dibatalkan bukan atas kehendak pengantin tetapi situasi, pulangkanlah semula deposit.

Kalau hendak kira kerugian, tidak boleh bayar gaji pekerja dan lain-lain, ini adalah kerugian perniagaan.
Perniagaan sentiasa ada risiko, sebab itu kita sebagai peniaga perlu mempunyai simpanan untuk menampung kos selama beberapa bulan, takkanlah kita hendak menyalahkan pelanggan yang langsung belum menggunakan kos dan khidmat kita tetapi majlis dibatalkan kerana Covid-19.
Tak patut.
Berkenaan isu pembatalan, bukan sahaja terhad kepada katering, sama ada perlu pulangkan deposit atau tidak ?

Boleh guna hujah undang-undang seperti di atas. Contohnya deposit sewa rumah yang tidak jadi masuk disewa, deposit menyewa dewan yang tidak jadi diteruskan.
Sebagai pihak-pihak kita juga perlu bertimbang rasa, sekiranya pihak peniaga maklumkan ada menggunakan deposit untuk membayar sedikit kos seperti tempahan atau lain-lain.

Berbincang, kalau tidak dapat semua, sebahagian pun jadilah. Lebih elok kalau penyelesaian yang “win-win situation”
DISCLAIMER:
Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.
Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.