Buruk siku ini membawa maksud sesuatu yang telah diberikan oleh pemilik tetapi diminta semula oleh pemilik.

Misalnya boleh atau tidak setelah kita memberikan sejumlah wang sebagai hadiah. Kemudian kita mahu tuntut semula di mahkamah?

Pemberian sesuatu, wang atau barangan atas kerelaan dan tiada paksaan tidak boleh dituntut semula kerana ia bukan hutang dan tiada perjanjian yang mengikat sesuatu yang diberikan secara percuma.

Saya faham kenapa berlaku situasi buruk siku ini berlaku, kadangkala kita ini niat hendak berbudi dengan orang. Kita pun berikan sejumlah wang misalnya, kemudian tiba-tiba orang tersebut berubah sikap. Dia tunjuk perangai sebenar, kita jadi jelik dan marah. Kita ingin minta semula.

Dalam undang-undang sesuatu pemberian dan derma tidak boleh dituntut semula. Sebab itulah kalau di mahkamah kebanyakan orang yang menafikan nilai hutang, dia katakan ini hadiah.

Plaintif beri hadiah pada saya dan dia tidak boleh menuntut wang tersebut. Atas kerelaan dan keinginan sendiri tanpa paksaan.

Jadi kalau hendak pinjamkan kepada seseorang terutama secara pindahan online, dibahagian butiran letaklah secara jelas perkataan “Pinjaman”. Kalau perlu lebih spesifik lebih bagus, contohnya “Pinjaman Beli Motor”.

Hendak lebih jelas, whatsapp kawan “Duit kau hendak pinjam beli motor yang tak cukup RM1,000. Aku dah transfer tadi RM1,000.00. Jangan lupa bayar”. Screenshot simpan. Dia tak boleh berdolak dalih, hadiah lagi.

Sebagai peguam, saya memang galakan buat perjanjian dan bukan whatsapp begini tetapi secara jujurnya saya tahu, bukan ramai hendak buat perjanjian pada hal kurang dari seribu dua ringgit.

Bukan setakat pemberian begini, saya juga ada ditanya beberapa kali tentang isu hubungan sesama kekasih. Ada wanita yang telah terlanjur tetapi kemudian hubungan mereka putus ditengah jalan. Sekarang mereka hendak menuntut ganti rugi kerana telah terlanjur.

Boleh atau tidak? Hubungan seks itu atas kerelaan. Wanita itu adalah pemilik tubuh yang mengizinkan hubungan seksual berlaku. Jika ada paksaan buat laporan polis rogol. Jika secara rela, tidak boleh menuntut kerana atas kerelaan. Tiada ganti rugi begini yang dibenarkan.

Untuk saya sentuh ilmu agama, semua sedia maklum halal haram. Haram hal begini dari sudut agama dan undang-undang juga tidak membenarkan.

Hak kita, milik kita, jadi kita perlu bijak dalam menilai sesuatu hal sebelum memberi.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: