Haiwan dan Kosmetik (Animal Testing)

Semua orang suka untuk kelihatan cantik. Jadi pelbagai usaha dilakukan untuk mencapainya. Salah satunya adalah dengan menggunakan produk kosmetik.

Tapi tahukah anda sejak sekian lama, industri kosmetik telah menggunakan haiwan untuk menguji produk mereka?

Antara yang selalu digunakan ialah arnab dan juga beberapa spesis tikus. Bahan kimia akan disapu di kulit haiwan-haiwan ini.

Ada juga yang dititiskan kedalam mata untuk melihat sama ada bahan kimia itu akan menyebabkan kerengsaan mata.

Ada yang dipaksa untuk makan atau minum bahan-bahan kimia ini selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan untuk melihat sama ada bahan tersebut akan menyebabkan apa-apa penyakit seperti kanser atau kecacatan.

Ujian-ujian ini boleh menyebabkan buta, kulit berdarah, pendarahan dalaman, kerosakan organ, kecacatan dan juga kematian. Haiwan-haiwan ini selalunya tidak akan diberi bantuan perubatan dan akhirnya akan dibunuh.

Ujian kejam ke atas haiwan sebenarnya boleh dielakkan. Pengeluar boleh menggunakan kaedah lain untuk memastikan produk mereka selamat. Contohnya, ujian menggunakan kultur sel (cell cultures) dan model komputer.

Di Malaysia, undang-undang berkaitan penggunaan haiwan bagi penyelidikan, ujian dan pengajaran berada di bawah Seksyen 26, Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Negara-negara Kesatuan Eropah (EU), Australia dan India juga telah melarang penjualan produk kosmetik atau bahan kosmetik yang telah diuji ke atas haiwan. Malangnya, masih ada undang-undang yang membenarkan perkara ini berlaku.

Undang-undang di China contohya, mewajibkan ujian ke atas haiwan dilakukan bagi semua produk kosmetik yang diimport sebelum dibenarkan masuk ke pasaran mereka.

Jadi masih ada di antara syarikat kosmetik seperti L’oreal, Avon dan Estee Lauder yang menjalankan ujian ke atas haiwan supaya dapat memasarkan produk mereka di China.

Walaupun selalunya label produk-produk ini ada tertulis ‘Not tested on animal’, polisi syarikat ini juga mungkin mempunyai klausa “except when required by law”.

Pada tahun 2019, kerajaan China telah meluluskan 9 kaedah ujian tanpa melibatkan haiwan dan dijangka dikuatkuasa pada Januari 2020, namun ia mungkin ditunda lebih lama disebabkan pandemik Covid-19 yang dihadapi.

Apa yang pasti, kekejaman terhadap haiwan ini bukanlah berlaku dalam industri kosmetik saja malah industri lain seperti industri penyelidikan dan juga pelancongan.

Di Jerman, satu makmal penyelidikan telah ditutup tahun lepas (2019) selepas satu video yang menunjukkan monyet , anjing dan kucing di situ dilayan dengan kejam terdedah.

Tidak dinafikan penyelidikan adalah sangat penting demi kemajuan sains dan teknologi tapi itu tidak bermakna kita boleh berlaku kejam ke atas haiwan.

Jika ujian ini tidak boleh dielakkan, sekurang-kurangnya perlulah diminimakan dan dilakukan secara terkawal.

Kita sebagai pengguna sekurang-kurangnya perlu ambil tahu tentang pengeluar produk yang dibeli dan elakkan membeli dari mereka yang melakukan ujian ke atas haiwan sebagai tanda sokongan ke atas usaha menghentikan perkara kejam ini dilakukan.

Oleh Admin.

DISCLAIMER:

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: