
Seorang rakan saya minta nasihat kerana dia menerima ugutan saman, kerana serangan kucing jalanan yang dia beri makan. Cerita ini berlaku beberapa tahun lalu, tetapi saya ingin kongsi supaya kalian tahu tentang hak. Rakan saya ini pemilik kedai keperluan haiwan, kadangkala ada kucing jalanan yang berkeliaran di hadapan kedainya. Dia beri makan.
Kucing jalanan ini bukan semua yang boleh kita belai-belai. Ada sebahagian yang sedikit ganas dan jika kita pegang, ia menganggap kita cuba mengancamnya. Ia haiwan, maka ia akan bertindak balas mengikut ‘animal instinct’.
Tambahan pula, entah sebelum ini ia pernah didera, ditendang atau disepak manusia sehingga ia jadi terlalu takut untuk bertindak balas secara agresif dan ganas. Kebiasaannya haiwan memang begini, ia adalah mekanisme mempertahankan diri.
Pada suatu hari, ada seorang kanak-kanak lingkungan umur 3-4 tahun bermain disekitar kaki lima kedai rakan saya. Ibu dan bapa kanak-kanak itu sedang sibuk membeli di dalam kedai sebelah. Dibiarkan anak kecil ini berkeliaran tanpa pemantauan dihadapan kaki lima kedai.

Anak ini terlihat kucing jalanan di kaki lima kedai rakan saya. Kadangkala anak kecil, mereka jadi cepat teruja melihat haiwan, mungkin dipicitnya haiwan itu atau ditarik ekornya. Manalah dia tahu tentang ‘animal instinct’. Dia juga tidak tahu akan bahana yang bakal menimpa.
Kemudian kucing ini naik hantu, dicakar dan cakar dan diserang anak ini bertalu-talu. Dalam situasi ini, saya rasa kucing dan anak kecil ini, hanyalah bertindak sebagaimana seekor kucing jalanan dan kanak-kanak lakukan. Mereka tidak salah. Saya salahkan ibu bapa.
Anak berusia 3 tahun, apa yang dia tahu. Kenapa ibu bapa membiarkan dia berlegar-legar. Tidak takut diculik kah? Tidak takut anak jatuh longkang kah? Tidak takut anak berlari ke jalan raya dan dilanggarkah? Bukan sahaja bahaya diserang kucing, macam-macam boleh berlaku.

Anak tersebut dibawa ke hospital. Kemudian ibu dan bapanya mengugut untuk menyaman rakan saya kerana kedai keliling kata, kucing jalanan itu memang diberi makan oleh rakan saya.
Jadi ibu bapa mendakwa kucing ini, milik rakan saya. Rakan saya minta saya berikan nasihat undang-undang berkaitan isu ini, sama ada haknya boleh dilindungi.
Saya nasihatkan kalau benar memang pemilik haiwan, memang ada tanggungjawab mengawal haiwan tersebut supaya tidak menyerang orang tetapi bergantung kepada jenis haiwan juga.
Misalnya seseorang yang memiliki anjing besar. Adalah menjadi tanggungjawab pemilik untuk mengawal haiwan tersebut dari menyerang orang ramai. Sekiranya pemilik cuai, pemilik boleh disaman kerana kecuaiannya. Semuanya bergantung kepada jenis haiwan dan habitat haiwan dan faktor lain.

Namun dalam kes ini, kucing ini adalah kucing jalanan. Tidak ada dalam kawalan siapa-siapa pun. Jadi dalam kes ini sebenarnya yang bersalah adalah ibu bapa. Anak berusia 3 tahun begitu adalah tanggungjawab 100% ibu bapa. Untuk mengawal dan menjaganya.
Kenapa kecuaian sendiri hendak diletakkan beban kesalahan pada orang yang dituduh pemilik kucing? Salah sendiri tidak nampak?
Seksyen 31 (1)(a), Akta Kanak-kanak 2001 memperuntukkan bahawa sekiranya ibu bapa atau penjaga yang memelihara anak tersebut mengabaikan sehingga mendedahkan kanak-kanak kepada kecederaan fizikal atau emosi, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Kita sebagai individu perlu tahu undang-undang ini wujud bagi mengingatkan ibu bapa yang cuai disekeliling kita. Anak-anak tanggungjawab ibu bapa, jaga mereka dan jangan abaikan mereka.
DISCLAIMER:
Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.
Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.