Kalau melanggar orang akibat mabuk atau kerana kecuaian sehingga menyebabkan kematian boleh dihukum bunuh atau tidak?

Saya hendak kongsi satu kisah atau kes yang dilaporkan di mahkamah pada tahun 2018, apabila mahkamah memutuskan lelaki yang melanggar mati seseorang pada asalnya disiasat bawah Seskyen 41 Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 (APJ) kemudian disabitkan dibawah kesalahan Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK), hukuman bagi membunuh.

Jarang-jarang berlaku pemandu mabuk atau cuai yang melanggar orang sehingga mati didakwa dan dihukum bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Apa itu Seksyen 302? Seksyen ini pendek, tentang hukum mati bagi kesalahan membunuh . Jadi bermakna orang yang membunuh, hukumnya mati.

Paling utama kesalahan membunuh ini mempunyai dua pembuktian iaitu actus reus (perbuatan) dan men reas (niat). Kedua-duanya perlu ada. Tidak boleh wujud satu sahaja.

Misalnya seseorang terlalu marah dan dendam, dalam kepalanya hendak membunuh mangsa tetapi dia langsung tidak melakukan perbuatan bunuh. Niat dalam minda tanpa perbuatan membunuh, tidak dikira sebagai kesalahan membunuh.

Begitu juga sekiranya seorang itu tiada niat untuk membunuh, misalnya sedang seseorang memandu, tetapi kerana keadaan jalan yang sama dan penunggang basikal memakai baju gelap, dia tidak sengaja merempuh penunggang basikal.

Oleh itu, dikatakan dia tiada niat dan tidak boleh disabitkan dengan kesalahan membunuh tetapi kecuaian dalam pemanduan dibawah APJ.

Dalam kes SENGGUTUWAN CHANDRA SEGARAN Lwn PENDAKWA RAYA [2018] 1 LNS 305, Senggutuwan ini pada asalnya disiasat dibawah Seksyen 41 APJ dan kemudiannya dituduh di mahkamah dibawah Seksyen 302 dan Seksyen 307 (cubaan membunuh).

Yang Arif Hakim bicara seterusnya menjatuhkan hukuman mati mandatori bagi pertuduhan dibawah s. 302 KK dan 10 tahun penjara bagi kedua-dua pertuduhan di bawah s. 307 KK.

Terkilan dengan keputusan Hakim, Senggutuwan merayu di Mahkamah Rayuan. Jadi apa yang menyebabkan siasatan Senggutuwan (Perayu) pada asalnya dari kesalahan dibawah APJ tetapi dituduh dibawah Seksyen 302 dan 307. Jom kita baca fakta kes dahulu.

Pada 25.5.2013, lebih kurang pukul 11.00 malam, di sekitar kawasan Gopeng, Perak, Perayu cuba melarikan diri dari dikejar oleh seorang pegawai Polis. Perayu dikehendaki polis berhubung satu kes rusuhan di bawah seksyen 148 (KK). Berlaku kejar-mengejar antara kereta polis dengan kereta Perayu.

Sampai ke satu kawasan kereta Perayu dihalang oleh satu khemah perkahwinan pasangan pengantin berbangsa India. Keadaan majlis terang benderang dengan cahaya lampu dan dikunjungi oleh para jemputan yang berdiri dan yang sedang menjamu selera.

Perayu memberhentikan dan memadamkan lampu keretanya seketika, kereta polis juga diberhentikan tidak jauh di belakang kereta Perayu.

Beberapa saat kemudian, enjin dan lampu kereta yang dipandu perayu telah dihidupkan dan dipandu dengan laju ke arah khemah. Khemah majlis tersebut telah dirempuh oleh perayu sebanyak dua kali. Dalam rempuhan pertama, telah melanggar mangsa pertama dan mangsa kedua berusia 2 tahun (si mati).

Kereta tersebut bagaimanapun tersekat pada kerusi dan meja di bawahnya yang menyebabkan perayu mengundurkan kereta itu. Proses pengunduran tersebut telah menyebabkan si mati tersepit di bawah kereta itu.

Dalam rempuhan kedua pula, iaitu semasa hendak ke hadapan semula, kereta yang dipandu perayu itu telah menggilis kaki mangsa kedua, melanggar seorang lagi kanak-kanak bernama Tarmenthiran, dan melanggar lagi si mati sehingga tercampak. Kepala si mati turut juga digilis dalam rempuhan tersebut.

Perayu kemudiannya terus melarikan diri dengan memecut laju kereta yang dipandunya keluar dari tempat kejadian. Mangsa-mangsa kemudiannya telah dihantar ke Hospital untuk mendapatkan rawatan. Bagaimanapun, si mati telah disahkan meninggal dunia akibat kecederaan serius di kepalanya.

Nampak perbuatan Senggutuwan ini? Jelas atau tidak niatnya hendak membunuh? Apabila dia memberhentikan kereta beberapa saat dan kemudian menghidupkan kenderaan dan merempuh khemah yang terang berderang dan ada orang ramai.

Bukankah perbuatannya itu dikatakan ada niat dan perbuatan membunuh? Cukup semua elemen.

Bukankah ini juga dikatakan satu pembunuhan? Pembelaan Senggutuwan kononnya dia tidak nampak khemah dihadapannya, adalah dianggap tidak munasabah oleh Mahkamah.

Malahan hujahan peguam mengatakan pada asal siasatan dibawah APJ, kemudian tidak adil disabit bawah S.302 KK dan S.307, juga dianggap tidak munasabah kerana berdasarkan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, Pendakwaraya mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

Mahkamah berpendapat dalam kes ini elemen- elemen yang perlu dibuktikan di bawah S.302 KK telah berjaya dipenuhi oleh pihak pendakwaan secara prima facie.

Mahkamah berpuas hati bahawa perbuatan Senggutuwan jatuh di bawah S.300(d) KK di mana Senggutuwan mempunyai pengetahuan bahawa perbuatannya amat atau sebegitu berbahaya yang boleh mendatangkan kematian atau bencana tubuh yang boleh menyebabkan kematian.

Jadi begitulah keputusan mahkamah. Saya amat bersetuju dengan tindakan polis yang ingin membuka kes siasatan dibawah Seksyen 302 bagi kes pelanggar mabuk yang melanggar penunggang Food Panda.

Pendapat saya, jelas bahawa setiap kita tahu perbuatan memandu sehingga mabuk berbahaya yang boleh mendatangkan kematian atau bencana tubuh yang boleh menyebabkan kematian, jadi kenapa masih memandu ketika mabuk?

Tindakan keras perlu dilakukan terhadap pemandu mabuk. Kalau di Kanada pemandu mabuk yang menyebabkan kematian boleh dihukum dihukum penjara seumur hidup. Malam ini, nantikan saya di rancangan 999, TV3, 9 malam bagi menghuraikan tentang topik ini.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: