Orang tak bayar hutang ni, memang buat kita sakit hati. Minta punya minta, dia buat tak faham. Kemudian tukar nombor, kemudian menghilangkan diri.

Boleh tidak kita tuntut dari ahli keluarganya. Maksud, isteri, suami atau mak ayah dia yang bayar. Boleh atau tidak?

Jawapan ini dari sudut undang-undang ya. Dalam undang-undang, hanya pelaku sahaja bertanggungan. Maksudnya dia buat, dia tanggung. Tidak boleh melibatkan pihak ketiga, melainkan pihak ketiga bersetuju jadi penjamin atau penama. Kalau jadi penjamin dengan penama, kenalah tanggungkan.

Jadi fikirlah secara bijak sebelum hendak menanggung atau menjamin hutang orang, kalau orang cabut, kita merana.

Tidak kiralah undang-undang sivil atau jenayah, orang yang melakukan sahaja tanggung. Kalau anak mencuri, takkan kita hendak paksa emak dia hendak bayar.

Kalau emak dia hendak bayar juga, itu sebenarnya atas dasar kehendak sendiri, mungkin kesian kepada mangsa atas perbuatan anaknya tetapi dari segi undang-undang memang emaknya tak salah pun langsung.

Begitulah juga hutang. Kalau yang hutang itu suami, isteri tidak perlu bayar. Melainkan isteri jadi penjamin atau penama. TETAPI dalam kes kematian, berdasarkan undang-undang memang ahli keluarga perlu bayar hutang si mati. TETAPI bukanlah dibayar dari poket ahli keluarga, TETAPI dibayar dari aset atau harta tinggalan si mati.

Kalau si mati meninggal dunia, ahli keluarga perlu bayar hutangnya dahulu kemudian baru diagih-agihkan. Yang menguruskan hutang ini selalunya ahli keluarga, jadi pemiutang pergilah bertemu dengan ahli keluarga, sebelum harta tersebut selamat diagihkan kepada sesama mereka.

Selalu kalau sudah diagihkan, teramatlah liatnya mereka hendak bayar, tetapi kalau sudah diagihkan juga, masih boleh tuntut juga.

Kalau ahli keluarga enggan tetapi mereka menikmati harta si mati, saman jumlah yang terhutang oleh si mati dan tuntut dari aset si mati yang telah diagihkan kepada ahli keluarga. Boleh.

Keadaan begini memang ahli keluarga perlu bayar hutang si mati, sebab mereka mewarisi duit si mati TETAPI jika si mati tidak berharta atau berduit, maka ahli keluarga tidak perlu membayar langsung jumlah yang terhutang kerana ahli keluarga tidak terikat secara undang-undang.

Cuma kita ini orang Islam, hutang-piutang perlu bayar. Janganlah nanti kita dihitung di sana nanti.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: